Kembalilah ke pangkuan politik keluarga

SEKALIPUN politik itu pilihan sendiri mengikut siyasah dunia, tetapi PAS adalah siyasah jamaah yang umat Islam dikehendaki bersamanya. Namun dalam politik duniapun rata-rata anak-anak orang politik bersama politik keluarganya.

Advertisement

Amerika adalah paling bebas politiknya, anak-anak keluarga Kennedy akan bersama politik keluarganya Parti Demokrat baik mereka Katolik atau Protestan. Anak-anak mendiang Karpal Singh adalah bersama politik bapanya. Anak Kit Siang tidak akan memilih MCA. Payah bagi anak-anak para pemimpin MCA yang dekat mendiang itu menyertai DAP.

Falsafah politik Mahathir tidak bersama siyasah syariyyah. Anak-anaknya tidak lari politik ayahnya baik dalam Umno atau keluar Umno. Najib bakal bermasalah dengan Umno, tapi anak cucu Tun Razak selain dari zuriat Najib, kalau politik Umno itu ada lagi, bersama Umnolah mereka.

Pemimpin PAS baik semasa Asri dan selepasnya acap mengingatkan ahlinya akan maksud hadis riwayat Huzaifah ibni Yaman akan keutamaan umat bersama jamaah Islam. Jika tidak ada cari dulu jamaah Islam. Jika tidak ada juga baru adakan jamaah lain tapi Islam juga. Tiada sama sekali dibenarkan bersama jamaah nonIslamic.

Tetapi anak-anak pemimpin PAS sebelum TG Haji Abdul Hadi tidak terikat dengan mafhum hadis itu. Contohnya Nik Omar dari Kedai Lalat, Pulau Melaka, mengaku ahli PAS tetapi tidak lagi bersama politik keluarga Mursyidul Am PAS itu sejak PRU14, suatu yang tidak disenangi keluarga itu jauh dan dekat.

Sejak bila dia bersama politik yang disertainya itu? Orang-orang yang keluar PAS memulakan NGO bernama Pasma beberapa bulan sebelum TG Nik Aziz meninggal dunia. Mereka yang keluar PAS sebelumnya menjelajah bersama NGO itu tentang pembentukan parti menggantikan PAS. Beberapa bulan selepas itu baru parti itu ditubuhkan. Politik yang disertai Nik Omar iu dirancang semasa TG Nik Aziz masih hidup.

Tiba-tiba saja Nik Omar berpisah dari politik keluarganya menjelang jadi calon PRU14. Keluarganya terperanjat. Dipercayai ia tidak bermula dari kecenderungan Nik Omar sendiri tetapi dia dipersilakan. Keluarga itu tidak setuju dengannya tetapi baginya politik itu pilihan sendiri.

Dia ke situ kerana diajak. Diajak oleh orang-orang yang pernah menyokong dan setia kepada ayahnya.

Tindakan Nik Omar itu dengan sendirinya pertama bukan sekadar memecahkan politik keluarga, tetapi memecahkannya dari keluarga itu. Kedua, ia mengganggu kesatuan fikrah dan keamanan keluarga itu. Ketiga, ia menghina Tok Guru yang disanjung oleh semua kawan dan lawan. Keempat, Nik Omar sendiri terperangkap sebagai mangsa.

Telah saya sebutkan sebelum ini akan kepayahan Nik Omar sebagai imam di masjid Tok Guru itu dan sebagai mudir madrasah Tok Guru itu. Orang sudah payah berimamkannya dan kalau dia jadi imam penyokong Tok Guru yang mana redha berimamkan dia. Satu dari syarat imam yang elok itu diredha oleh makmum.

Orang belajar di sekolah itu kerana menyokong Tok Guru dan perjuangannya. Bila mudir tidak disenangi, bagaimana ibu bapa hendak menghantar anak bersekolah di situ?

Akan ada kesan hubungan isteri dan anak-anaknya dengan keluarga Tok Guru sepenuhnya. Boleh dikata tidak apa-apa, tetapi tidak sesenang psikologinya.

Tdak kurang pula ia mengganggu ketenangan ibunya Datin Tuan Sabariah yang disanjung oleh semua rakyat dan penyokong PAS. Tdak dapat dibayangkan gangguan yang dialami oleh seorang ibu.

Ubatnya ialah Nik Omar kembali kepada kesatuan keluarga dan politiknya. – HARAKAHDAILY 23/5/2018