Mesyuarat Exco pertama cukup memberi ilmu

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengadakan mesyuarat exco pertamanya hari ini selepas berjaya mempertahankan pemerintahan negeri pada PRU14 lalu.

Advertisement

Mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob itu diadakan di Kompleks Kota Darulnaim (SUK) hari ini.

Kesemua empat orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang baru dilantik turut menghadiri mesyuarat itu.

Mereka ialah Ustaz Tuan Saripuddin Tuan Ismail (Adun Selising) dipertanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar.Adun Kadok, Azami Mohd Nor (Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur dan Utiliti), Adun Kijang, Dr Izani Husin (Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan) dan Ustaz Wan Roslan Wan Hamat (Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO).

Turut hadir bermesyuarat Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah dan lima Exco yang dilantik semula.

Dr Izani Husin ketika dihubungi memberitahu mesyuarat Exco berkenaan dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain.

Katanya, sikap mesra yang diberikan pemimpin tertinggi kerajaan negeri dan Exco-Exco lama, membuatkan beliau tidak berasa kekok untuk menghadiri mesyuarat Exco kali pertama itu.

“Alhamdulillah mesyuarat Exco pertama ini cukup memberi ilmu dan bermanfaat untuk dikongsi bersama rakyat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/5/2018