Bolehkah Umno bangkit semula?

SEMUA bertanya boleh dan mampukah Umno bangkit semula dan bila?

Advertisement

Setakat ini ahli Umno memang ramai bukan saja di akar umbinya, bahkan yang status korporatnya pun ramai. Tetapi para saudagar yang ramai itu tidak pasti berhati Umno, sebaliknya dengan menjadi Umno itu masing-masing beroleh banyak peluang.

Jika pembangkang Umno tidak lagi dapat memberi apa-apa peluang, apakah mereka sedia menunggu?

Umno itu tidak dipastikan berhartakah? Mungkin di tiap-tiap tempat ada bangunannya. Bangunan itu adalah aset. Tetapi dapatkah aset itu dapat menampung keperluan kewangan Umno?

Dipercayai ia boleh menampung keperluan pentadbiran, tetapi hendak bermewah lama seperti dulu, tidak dapat difikirkan.

Dulu dirasakan Umno hidup atas sumbangan tak terhingga para saudagar yang dapat mengaut berbagai peluang tadi dan rata-rata merasakan tiap-tiap projek kerajaan ada harga tambahan, bukan harga sebenar. Harga tambahan kadang-kadang berganda dari harga asal adalah untuk Umno dan poket orang Umno.

Kalau duit itu sudah tiada payahlah Umno membeli orang masuk Umno dan jika peluang sudah payah, payah orang berlumba-lumba masuk Umno.

Umno itu dilihat rasuah. Jika kerajaan baru betul-betul dapat mengikis rasuah pada lima tahun pemerintahan pertamanya ini, hingga semua rakyat benci pada rasuah, maka parti yang dirasakan rasuah payah bangkit.

Kemudian bergantung pula kepada pemimpin-pemimpin selepas tiada Najib. Jika tindakan ke atas Najib atas bermacam-macam dakwaan, melibatkan terseretnya ramai pemimpin sekitar Najib, dan tidak ramai yang terlepas, maka menyebabkan orang belum Umno tidak jadi menyertai Umno dan orang Umno berjuang semata-mata Melayu dan Islam, bertambah ramai malu kekal dalam Umno.

Bagi mana-mana parti politik apabila pemimpinnya ditolak, orang-orang yang orang pemimpin itu lazimnya ditolak sama tidak kira mereka salah dan bersekongkol dengan pemimpin itu atau tidak.

Jika dalam pelan kebangkitan itu pemimpin dilihat geng pemimpin yang pergi, maka payah bagi Umno untuk bangkit semula.

Tunku dulu tidaklah teruk sangat, tetapi apabila Tun Razak mengambil alih Umno dan kerajaan, sekalian yang dikatakan orang Tunku semua tercicir. Jika yang setia kepada Tunku dipinggirkan oleh Umno Tun Razak, maka bagaimana Umno ditinggal Najib boleh terima orang Najib?

Umno hanya boleh bangkit kiranya pemimpin Umno selepas ini bersih dari sekongkolan Najib dan mereka yang dirasa/dilihat tidak rasuah. Jika kerajaan Harapan ini dapat mewarisi imej tidak rasuah Kerajaan PAS Kelantan, payah bagi Umno kembali berkuasa.

Jika Selangor dapat dijadikan contoh, tiada pemimpin Umno negeri itu meninggalkan parti apabila ia kalah. Umno kalah di negeri Selangor saja. Kerajaan pusat masih Umno. Noh Omar terus menyalurkan bantuan kepada Umno, tetapi sudah berturut-turut tiga PRU Umno tidak bangkit.

Sekarang Umno sudah tidak berkuasa di pusat dan kebanyakan negeri. Ajaib jika ia menang PRU15. Jika terpaksa tunggu tiga PRU lagi, siapa lagi tinggal dalam Umno. Ertinya ia tidak bangkit-bangkit.

Siapa Presiden Umno selepas ini? Apa nasib Najib boleh diagak. Payah memikirkan orang lupa kepadanya. Jika dia payah dilupakan, payah membayangkan bagaimana Zahid Hamidi dan Hishammuddin selera memimpin Umno. Harapan Zahid ialah melonggokkan kesalahan kepada Najib.

Siapa tidak menyalahkan Najib tidak mudah dapat jadi pemimpin Umno. Khairy Jamaludin Nampak masalah itu. Dia mengaku silap tidk menegur Najib. Tegur selepas kalah seperti tidak tegur. – HARAKAHDAILY 24/5/2018