Bubar JKKKP langkah tepat

TINDAKAN Kerajaan Persekutuan membubarkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) adalah satu langkah yang sangat tepat.

Advertisement

Sebenarnya penubuhan JKKKP itu sendiri adalah bercanggah dengan Perlembagaan. Kewujudannya bertindan dengan peranan jawatankuasa yang serupa yang wujud di bawah Kerajaan Negeri.

Sebenarnya pada zaman BN, Kerajaan Persekutuan telah menubuhkan JKKKP di negeri-negeri yang pernah diperintah oleh parti-parti selain BN seperti di Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Kedah dan Selangor.

Di Kelantan ia diwujudkan pada tahun 1991, setahun selepas BN kalah teruk dalam PRU 1990. Di Terengganu pula ia diperkenalkan pada tahun 2000 selepas BN kalah pada PRU 1999. Langkah serupa dibuat di Negeri-negeri Pulau Pinang, Kedah dan Selangor.

Bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas pada tahun 2000 pernah menyifatkan JKKKP ini sebagai ‘pertubuhan haram’ kerana ia melanggar Perlembagaan yang menetapkan perkara berkaitan Pihak Berkuasa Tempatan berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

JKKKP ini dilihat sebagai bermotifkan politik dan seolah-olah menjadi tapak bagi Umno di peringkat akar umbi untuk bergerak. Elaun mereka dibayar melalui duit pembayar cukai tanpa keperluan yang selayaknya.

Alhamdulillah kini ia telah tiada. Ia mula diperkenalkan pada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir (Era Lama), diteruskan zaman Pak Lah dan Najib, dan dihapuskan oleh Kerajaan Tun Dr Mahathir (Era Baru).

Kita mengharapkan banyak lagi langkah positif dibuat oleh Kerajaan Persekutuan bagi mengembalikan hak Kerajaan Negeri berasaskan konsep dan semangat Federalisme.

Diharap Kerajaan Persekutuan segera mengumumkan perkembalian hak royalti petroleum kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan memberikan hak royalti kepada Kerajaan Negeri Kelantan.

DR MUHAMMAD FATHI YUSOF 
24 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 24/5/2018