Geoeskatologi (8): Damsyik

DAMSYIK merupakan antara bandar paling tua yang wujud dalam sejarah peradaban manusia. Penempatannya telah bermula sebelum zaman gangsa lagi. Hari ini ia menjadi ibu kota Negara Syria dan terletak di sebelah Barat daya negara tersebut. Kedudukannya hampir dengan sempadan Lubnan, Jordan dan Palestin.

Advertisement

Damsyik dibuka oleh umat Muhammad pada zaman Khilafah Umar bin al-Khattab tahun ke-14 Hijrah. Menjadi Pusat Pemerintah Khilafah pada era Umawiyyah.

Meskipun Syria kini berdepan krisis perang saudara atau lebih tepat lagi perang proksi, Damsyik menjadi kota yang paling aman berbanding wilayah lain di sekeliling. Ini kerana ia berada di bawah kawalan Kerajaan Syria. Walau bagaimanapun, cubaan menawan Damsyik terus berlaku oleh berbagai pihak.

Sebagaimana Baitulmaqdis, Damsyik turut menjadi bumi jihad sehingga hari kiamat. Berasaskan Hadis Nabi S.A.W:

لا تزالُ طائفةٌ مِن أُمَّتي يُقاتِلونَ على أبوابِ دِمَشْقَ وما حولَه وعلى أبوابِ بيتِ المقدِسِ وما حولَه لا يضُرُّهم خِذْلانُ مَن خذَلهم ظاهرينَ إلى أنْ تقومَ السَّاعةُ

“Akan sentiasa wujud satu kumpulan di kalangan umatku berperang di pintu-pintu Damsyik dan sekelilingnya, juga di pintu-pintu Baitulmaqdis dan sekitarnya. Mereka tidak terkesan dengan golongan yang mengecewakan mereka. Mereka akan sentiasa teguh sehingga hari kiamat.”

[HR Thabrani]

Damsyik akan menjadi bumi turunnya Nabi Isa A.S di akhir zaman. Sabda Rasulullah S.A.W:

إن يخرج وأنا فيكم ! فأنا حجيجه دونكم ، وإن يخرج ولست فيكم ، فامرؤ حجيج نفسه ، والله خليفتي على كل مسلم ، فمن أدركه منكم فليقرأ عليه فواتح سورة الكهف ، فإنها جواركم من فتنته . قلنا : وما لبثه في الأرض ؟ قال : أربعون يوما : يوم كسنة ويوم كشهر ، ويوم كجمعة ، وسائر أيامه كأيامكم فقلنا : يا رسول اللهِ : هذا اليوم الذي كسنة أتكفينا فيه صلاة يوم وليلة ؟ قال : لا ، اقدروا له قدره ، ثم ينزل عيسى بن مريم ، عند المنارة البيضاء شرقي دمشق فيدركه عند بًاب لد فيقتله

“Sekiranya Dajjal keluar sedang aku bersama kalian, nescaya aku akan mempertahankan kamu. Namun sekiranya dia keluar dan aku tidak lagi bersama kalian, maka setiap orang mempertahankan diri masing-masing. Allahlah pelindung setiap Muslim. Barangsiapa yang bertemu dengan Dajjal maka bacalah permulaan Surah al-Kahfi. Itu adalah bentengmu daripada fitnah. Sahabat bertanya berapa lama dia di bumi? Jawab baginda: 40 hari. Sehari umpama setahun, sehari umpama sebulan, sehari umpama seminggu dan baki lagi umpama hari-hari biasa. Sahabat bertanya apakah cukup untuk kami solat sehari semalam pada hari umpama setahun itu? Jawab baginda: Tidak, bahkan sukatlah dengan kadar hari biasa. Kemudian Nabi Isa akan turun di sisi menara putih dari sebelah Timur Damsyik. Lalu akan menemui Dajjal dan membunuhnya.”

[HR Abu Daud]

Tiada siapa megetahui bilakah masanya akan berlaku. Namun apa yang pasti, Imam Mahdi akan terlebih dahulu pergi ke sana. Perkara ini akan berlaku selepas beliau dibaiahkan di Makkah sebagaimana dinyatakan pada Siri 1 dan selepas diserang oleh tentera Sufyani sebagaimana Siri 7.

Imam Mahdi pada waktu itu sedang bersedia untuk menunaikan Solat Subuh, lalu turun Nabi Isa sebagaimana dinyatakan dalam berbagai versi Hadis. Antaranya sabda Rasulullah S.A.W:

لا تَزالُ طائِفةٌ من أُمَّتي يُقاتِلونَ على الحقِّ ظاهِرينَ إلى يومِ القيامَةِ. قال، فيَنْزِلُ عيسَى ابنُ مَريَمَ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم فيقولُ أميرُهُم: تَعالَ صَلِّ لنا . فيقول : لا . إن بَعضَكُم علَى بعضٍ أُمَراءُ. تَكرِمَةَ اللهِ هذه الأُمَّةَ

“Akan sentiasa wujud dari kalangan umatku pihak yang berjuang atas jalan kebenaran sehingga hari kiamat. Maka akan turun Nabi Isa bin Maryam maka al-Mahdi berkata: Datanglah imamkan solat kami. Baginda A.S berkata: Tidak, sesungguhnya kalian menjadi pemimpin sesama kalian, sebagai memuliakan umat ini.”

[HR Muslim]

Tidak disebutkan secara tepat di manakah terletak menara putih tersebut. Ramai ulamak Syam berpendapat menara tersebut terletak pada Masjid Umawi di tengah kota Damsyik.

Mereka turut berpendapat Imam Mahdi akan mengimamkan solat di masjid tersebut. Namun sebahagian lagi berpendapat di hujung tembok Damsyik sebelah Timur, iaitu terletak di salah satu pintu masuk kota bernama Bab Touma.

Wallahualam.

(Petikan dari buku Geoeskatologi Islam yang bakal diterbitkan)

(ALANG IBN SHUKRIMUN)
8 Ramadan 1439
24 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 24/5/2018