Kotakan janji laksana pemisahan kuasa

riduan1

KENYATAAN Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu pemisahan kuasa antara badan perundangan, badan eksekutif dan badan kehakiman dilakukan bagi mengelakkan penyelewengan kuasa perhatikan dengan penuh hati-hati. Kenyataannya itu benar-benar diharapkan sebagai suatu kenyataan yang realitistik dan bukan bukan sekadar harapan palsu dari seorang yang baru mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Rakyat sendiri akan menilai sejauh mana beliau mampu mengotakan kata-katanya di penghujung usianya itu atau sekadar hanya kata-kata retorik politik bagi menyedapkan halwa telinga rakyat.

Advertisement

Rakyat berhak merasa was-was dengan janji PM itu kerana sejarah negara ini yang panjang di bawah pemerintahannya. Kita semua mengenang Perdana Menteri yang sama memerintah negara selama 22 tahun dari 1981-2003, dan dalam tempoh itu sistem demokrasi di negara ini hampir lumpuh dan hancur. Semua rakyat mengenali bagaimana sikap pemerintahan secara autokratik yang dilaksanakannya dengan mencengkam semua institusi dan agensi kerajaan sehingga tunduk di bawah pentadbirannya. Bukan setakat itu, kesemua pemimpin kanan di bawah beliau yang menjadi Timbalan Perdana Menteri terpelanting dihumban oleh beliau. Tun Ghafar Baba, Tun Musa Hitam, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah TPM yang dimangsakan beliau. Bahkan, beliau juga begitu berkuasa menumbangkan dua bekas Perdana Menteri iaitu, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Rakyat menghukum BN dan PM sebelum ini bukan kerana Barisan Nasional terlalu lama memerintah, tetapi terlalu banyak kerosakan pada sistem dalam negara ini. Kesemua badan perundangan, eksekutif dan kehakiman dilonggokkan di bawah kuasa besar Perdana Menteri. Sehingga akhirnya semua badan tersebut kaku dan lesu, takut bersuara apatah lagi bertindak dan akhirnya ruang kebebasan dan keadilan menjadi sempit. Justeru kenyataan Tun Dr Mahathir perlu dibuktikan dalam era 100 hari pemerintahannya bagi menyaksikan kebenaran janji Pakatan Harapan seperti di dalam manifesto.

Tidak keterlaluan dikatakan bahawa apa yang dilakukan oleh bekas PM, Datuk Seri Najib sehingga berlaku ketirisan, tuduhan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa adalah legasi dari sifu utamanya itu. Tidak hairan apa yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib persis apa yang dilakukan oleh sifu besarnya itu di era pemerintahannya.

Oleh sebab itu, PM perlu buktikan kata-katanya itu dengan tindakan. Memerdekakan segera semua badan kehakiman, perundangan dan eksekutif tanpa campurtangan orang politik adalah agenda besar bagi mengembalikan demokrasi di negara ini. Bebaskan badan perundangan dan kehakiman mengambil tindakan menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pesalah yang melakukan korupsi termasuk dirinya sendiri.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
24 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 24/5/2018