Geoeskatologi (10): Sungai Furat

SUNGAI Furat merupakan sungai terpanjang di Asia Barat. Mengairi tiga buah negara iaitu Turki, Syria dan Iraq. Ia berpunca dari hiliran Timur Turki, kemudian merentasi Syria, memasuki Iraq dan bertemu ulu Sungai Tigris sebelum berakhir di muara Shatt Arab, pesisir Teluk Parsi.

Advertisement

Sungai Furat bersama Sungai Tigris menjadi sumber air dan juga laluan penting yang menghidupkan tamadun awal manusia zaman gangsa Mesopotomia. Bahkan maksud Mesopotamia sendiri adalah tanah di antara sungai-sungai. Sehingga hari ini Furat masih membekalkan air bersih kepada jutaan pengguna sekitar Asia Barat.

Nabi S.A.W turut menyebutkan tentang Sungai Furat dalam satu Hadis:

يوشكُ الفراتُ أن يُحسِرَ عن جبلٍ من ذهبٍ . فإذا سمع به الناسُ ساروا إليه . فيقول من عنده : لئن تركنَ الناسَ يأخذون منه ليذهبنَّ به كلُّه . قال فيقتَتِلون عليه . فيُقتَلُ ، من كلِّ مائةٍ ، تسعةٌ وتسعون .

“Sungai Furat hampir menyingkapkan gunungan emas. Apabila manusia mengetahuinya, mereka akan pergi mendapatkannya. Maka berkatalah sesama mereka, sekiranya kita biarkan orang mengambilnya nescaya akan habislah semua emas itu. Lalu mereka berperang bagi mendapatkannya. Maka akan terbunuh 99 dari setiap 100 orang.”

[HR Muslim]

Nabi S.A.W menggambarkan sesuatu yang buruk bakal berlaku di sisi Sungai Furat iaitu peperangan yang sangat dahsyat sehingga 99 peratus yang terlibat akan terbunuh. Puncanya kerana berebutkan habuan emas yang terdapat di sungai tersebut.

Sebahagian ulamak menafsirkan Hadis ini dengan fenomena yang berlaku sekarang. Emas yang dimaksudkan di dalam Hadis adalah sumber petroleum dan gas ali yang menjadi komoditi utama dunia hari ini. Persaingan geo-politik melibatkan kuasa-kuasa besar di Syria, Iraq malah Turki antaranya kerana ingin menguasai sumber komoditi tersebut.

Emas dikiaskan dengan petroleum adalah kerana emas merupakan penentu nilai bagi mata wang sejak zaman dahulu termasuk zaman Nabi S.A.W. Tetapi hari ini, mata wang dunia tidak lagi bersandarkan kepada nilai emas sebaliknya berasaskan kepada sistem petrodollar, di mana nilai petrol yang diikat dengan US Dollar menjadi faktor utama nilai mata wang moden.

Sistem petrodollar diperkenalkan pada tahun 1971 bagi menggantikan Sistem Bretton Woods yang jatuh pada tahun 1970. Ketika berlaku Perang Arab-Israel, US memeterai perjanjian dengan Arab Saudi bagi menjual petrol hanya dalam bentuk US Dollar, sebelum diikuti negara-negara pengeluar utama minyak dunia dan membentuk OPEC. Sebagai balasan, US bersetuju untuk melindungi industri minyak negara-negara tersebut dengan teknologi dan juga ketenteraan.

Petroleum menjadi antara faktor utama persaingan geo-politik di rantau Asia Barat. Apabila dilihat kawasan-kawasan yang dikuasai ISIS adalah di kawasan Timur Laut Syria dan Barat Laut Iraq, dan kawasan tersebut memiliki telaga minyak yang sangat banyak. Kini puak Kurdis yang menduduki kawasan Utara Iraq dan Syria serta Tenggara Turki mula mengambil alih kawasan-kawasan ISIS.

ISIS dan Kurdis kedua-duanya dibiayai oleh fraksi antarabangsa US. Mereka sebenarnya bekerja bagi kepentingan politik negara musuh Islam itu. Malah dalam keadaan perang yang masih rancak, aktiviti penyeludupan minyak juga giat berlaku di kawasan terbabit.

Jika benar maksud Hadis Nabi S.A.W merujuk kepada situasi sekarang, boleh jadi 100 orang yang berperang merebutkan emas itu adalah kumpulan-kumpulan bersenjata yang wujud di Turki, Syria dan Iraq sekarang. Ubai bin Kaab menambah dalam riwayatnya: sekiranya kamu berada pada ketika itu, maka janganlah kamu terlibat langsung dengan peperangan tersebut.

Wallahualam.

(Petikan dari buku Geoeskatologi Islam yang bakal diterbitkan)

(ALANG IBN SHUKRIMUN)
10 Ramadan 1439
26 Mei 2018 –  HARAKAHDAILY 26/5/2018

FB IMG 1527325818654