PAS berjaya kuasai undi teras

ato

KUALA LUMPUR: Keputusan PRU 14 telah menyaksikan PAS kembali mentadbir semula Kerajaan Negeri Terengganu dan mengekalkan Kerajaan Kelantan.

Advertisement

Ini bukti PAS berjaya menguasai undi teras berbanding Pakatan Harapan kerana memperolehi peningkatan undi dengan gabungan berbeza dengan PAS.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata demikian dalam satu sesi temubual rancangan 100 Hari Malaysia Baru di stesen Astro Awani sebentar tadi.

Beliau turut menjelaskan tiga asas utama yang perlu dilihat dalam memastikan kemenangan iaitu kekuatan kewangan, media dan pengurusan.

“Formula yang PAS perlu diberikan perhatian seperti pengaruh media sehingga mampu mendatangkan impak.

“Dapat menguasai undi teras Islam adalah satu kelebihan yang menentukan gelombang dan ianya diterjemahkan di negeri Kelantan dan Terengganu,” katanya.

Justeru, tambahnya pengundi bukan Islam juga tidak boleh diketepikan, bahkan PAS sendiri telah menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS serta mengadakan kerjasama bersama parti bukan Islam.

“Selain itu, dalam PRU 14 juga PAS turut menghantar calon-calon bukan Islam untuk bertanding di beberapa kerusi sekali gus menjadikan usaha tersebut mendekatkan pengundi bukan Islam bersama PAS,” ujarnya.

Dalam temubual itu, Tuan Guru juga dilontarkan persoalan berkaitan usaha PAS dalam memastikan pentadbiran kerajaan negeri di bawah PAS berjalan dengan baik.

Beliau menyatakan bahawa perjuangan PAS bukan sahaja di peringkat negeri bahkan peringkat kerajaan Pusat.

Justeru, PAS menghormati pemerintahan yang dipilih rakyat dan berharap wujud kerjasama baik antara kedua-dua pihak agar mampu memberikan kebaikan kepada rakyat. – HARAKAHDAILY 28/5/2018

ato