Berinteraksi dengan cetusan TGHH

BAGI mereka yang biasa mendengar lontaran hujah dari Tuan Guru Haji Hadi (TGHH), pasti memahami kaedah penerangan beliau. TGHH akan mengkaitkan kemelut yang berlaku dengan persoalan-persoalan ideologi yang menjadi punca kepada pelbagai masalah negara dan masyarakat.

Advertisement

Sudah pasti ia kelihatan besar dan tidak menyentuh isu secara langsung. Namun itulah cara berfikir yang mahu diterapkan oleh TGHH, agar kita tidak terbawa-bawa dengan permainan isu tanpa mengamati punca utamanya.

Berikut beberapa penekanan beliau ketika diwawancara oleh Astro Awani tempoh hari:

●     Kestabilan negara kita ditentukan oleh taburan demografi undi teras, iaitu Melayu Islam. Sesiapa yang berkuasa mesti memelihara dominasi hak golongan tersebut.

●     Ideologi ekonomi dan politik yang lebih terarah kepada materialisme tidak mendidik integriti. Demi mencapai nilai integriti, manusia memerlukan pantauan spiritual iaitu sedar akan pertimbangan dosa pahala.

●     PAS lebih memilih untuk menjadi pembangkang yang menasihat. Bersedia untuk bersama dengan pihak lain demi kepentingan Islam. Tidak membangkang secara melulu. Oleh kerana itu PAS mengemukakan konsep Ta’awun Siyasi.

●     Islam adalah Islam. Tiada Ortodok, tiada Protestan. Justeru Islam tidak perlu dijenamakan kononnya dengan jenama ‘Islam progresif’. Kondisi Islam di Malaysia tidak seteruk Islam di Turki yang melalui tekanan Islamophobia yang dahsyat. Justeru tidak wajar PAS yang beroperasi di Malaysia, tiba-tiba meniru pendekatan Islam di Turki .

●     PAS perlu menangani masalah di kalangan anggota PAS yang semangat Islamnya tinggi tetapi jahil.

●     Diharapkan kepada Kerajaan PH agar berlaku adil ke atas semua negeri, terutamanya berkaitan polemik bayaran royalti petroleum. Jangan disebabkan negeri itu diperintah oleh parti pembangkang, maka hak mereka menerima royalti minyak disekat.

Teguran buat anggota PAS

Kita dipimpin oleh seorang tokoh yang hebat dari sudut akhlak dan ilmunya. Dalam pertarungan politik hujah pada hari ini, adalah penting untuk kita serius memasarkan manhaj ilmu TGHH. Menyambung lidah beliau.

Apabila kita hanya memuja tanpa mengemukakan hujah-hujah TGHH, kelakuan ini hanya membuka ruang kepada pihak musuh untuk membuat serangan-serangan liar ke atas kita. Berpadalah dengan romantisme. Sebaliknya budayakanlah ilmu dan pasarkanlah hujah-hujah bernas TGHH. Sementara beliau masih bersama kita.

ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD  
30 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 30/5/2018