NGO Islam sokong jihad ekonomi PPIM

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam baru-baru ini telah menyatakan sokongan terhadap jihad ekonomi yang telah dijalankan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Advertisement

Sokongan terhadap Kempen Sokong Peniaga Pembayar Zakat yang dijalankan oleh Impian bersama Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu telah dinyatakan dalam persidangan NGO-NGO Islam yang diadakan di sini kelmarin.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, persidangan anjuran Persatuan Gerakan Pembela Ummah (Ummah) diadakan bagi membincangkan mengenai isu-isu kepenggunaan khususnya yang berkait rapat dengan umat Islam.

Justeru, jelas beliau, PPIM telah membuat satu pembentangan mengenai Kempen Sokong Peniaga Pembayar Zakat (SPPZ) yang sedang dijalankan persatuan dan akan disertai oleh Lembaga Zakat Selangor itu kepada wakil-wakil NGO Islam yang hadir pada persidangan tersebut.

“Isu ekonomi merupakan satu perkara besar yang mempunyai kesan langsung terhadap kepentingan pengguna khususnya yang beragama islam yang juga merupakan antara kelompok terbesar pembeli dan pembekal barangan serta perkhidmatan.

“Ekonomi Islam tidak terkongkong hanya di Malaysia, perkara ini turut melibatkan kepentingan ummah di peringkat global menjadikannya satu isu yang tidak boleh dipandang remeh,” katanya.

Nadzim turut mengutarakan untuk cadangan memperluaskan keahlian Gerakan Tunai Zakat (GTZ) yang bergerak seiring dengan kempen yang bakal dilancarkan pada 29 Mei 2018 di Masjid Ar Rahah, Kampung Kerinchi.

Menurut beliau persidangan berkenaan secara sebulat suara telah menyatakan sokongan mereka terhadap usaha yang dijalankan itu.

SPPZ merupakan satu kempen yang diadakan untuk menggalakkan para peniaga Islam membayar zakat dengan pusat-pusat pungutan yang diiktiraf oleh kerajaan.

Usaha itu dijalankan bagi memastikan setiap kutipan zakat yang dibuat dapat disalurkan dengan cekap bagi mengelakkan ketirisan dan sampai kepada kelompok asnaf yang disasar secara menyeluruh. – HARAKAHDAILY 29/5/2018