Pemuda WP kekal semangat pasca PRU14

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia dan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan telah mengadakan Liqa’ Fikri Pasca PRU dan Iftar Jamaie di KUIZM, di sini kelmarin.
 
Program ukhuwah dan penghayatan Ramadan melibatkan seluruh Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu juga sebagai pembangkit semangat seusai PRU14.
 
Taujihat menyegar kembali kekuatan Pemuda selaku sayap PAS telah disampaikan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi yang juga Adun Batu Buruk.
 
Kata beliau dalam ucapannya, kalah menang dalam pilihan raya merupakan antara sunnatullah perjuangan Islam yang menguji jihad setiap penggerak parti.
 
Serunya, sebagai hamba yang berjuang di jalan-Nya, perlulah sentiasa berbaik sangka kepada Allah dan mengadakan muhasabah atas kekurangan dan kelemahan gerak kerja.
 
“Tujuan kita masuk pilihan raya adalah untuk sebar dakwah secara meluas di seluruh Malaysia dan bukan semata-mata bermatlamat kemenangan.
 
“Bila PAS bertanding lebih 150 kerusi PRU14 baru ini, bermakna mesej dakwah kita sampaikan kepada rakyat. 
 
“Dengan undi popular yang banyak diterima PAS, bererti terbukti penerimaan masyarakat semakin kuat,” ujar beliau.
 
Beliau turut mengingatkan Pemuda agar terus konsisten membina kekuatan dengan menambah keahlian dan memperbanyakkan Cawangan yang merupakan antara faktor kemenangan di Pantai Timur.
 
Beliau juga mengajak seluruh Pemuda PAS Wilayah Persekutuan untuk optimis terhadap perjuangan di bandar metropolitan itu hingga suatu masa Allah menganugerahkan kemenangan.
 
Selain berbuka puasa bersama, para Pemuda PAS yang hadir pada majlis itu turut melaksanakan solat Tarawikh dan Witir berjamaah di surau kolej universiti milik PAS itu. -HARAKAHDAILY 29/5/2018
Advertisement