Pelaburan dengan ketekunan wajar, bukan ‘bail out’

MAZLI

LAJNAH Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat ingin memberikan komen terhadap kenyataan oleh Tan Sri Abdul Wahid Omar, Pengerusi Permodalan Nasional Berhad kelmarin bahawa sebarang penurunan dalam pasaran akan sebaliknya menyediakan peluang pembelian kepada pelabur-pelabur, terutama kepada pengurus dana seperti PNB.

Advertisement

Selaku syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) utama negara yang menguruskan dana berjumlah RM279 billion yang dipegang oleh rakyat Malaysia sudah semestinya PNB akan terus menilai dan melihat semua potensi dan prospek pelaburan sama ada yang ada di pasaran tempatan atau pun di luar negara. Namun dalam merebut peluang dan ruang pelaburan yang mungkin wujud kami berharap ianya dibuat atas penilaian strategik dan setelah melakukan ketekunan wajar yang sepatutnya, berasaskan potensi dan fundamental yang kukuh. Seharusnya kriteria ini perlu menjadi satu-satunya asas menilai dan memilih pelaburan, bagi memastikan daya saing dan keuntungan kepada rakyat yang melabur.

Apa yang kami bimbangi adalah dalam usaha untuk merebut peluang-peluang yang wujud dalam suasana pasaran yang merudum sekarang, ianya dilakukan atas asas untuk melakukan “bail out” kepada syarikat-syarikat tertentu melalui pembelian saham secara besar-besaran syarikat tersebut, iaitu syarikat-syarikat yang terjejas dengan sentimen yang berlaku sekarang. Ini seharusnya tidak berlaku sama sekali.

Kami menyedari bahawa suasana pasaran saham terutama FBM KLCI masih dalam rejim mengalami kejatuhan berterusan dengan data terbaharu ianya ditutup pada 1,719.28 pada 30 Mei 2018, iaitu jatuh 56.56 mata. Antara sebab utama ketidakstabilan ini adalah penjualan berterusan pegangan oleh pelabur-pelabur asing disebabkan oleh ketidakkeyakinan kepada pasaran Malaysia yang merosot pasca Pilihan raya Umum ke-14. Setakat laporan pada 28 Mei 2018, jumlah terkini penjualan pegangan oleh pelabur asing adalah RM852.2 million.

Keyakinan pelabur-pelabur yang terjejas teruk ini terjetus daripada rangkaian beberapa pengumuman dan tindakan kerajaan pasca PRU14 yang bermula daripada pelaksanaan GST pada kadar 0% dan yang terbaharu pembatalan projek MRT3 dan HSR yang nilai projek berjumlah RM105 billion. Implikasi daripada ini bukan sahaja menjejaskan keyakinan pelabur asing malah menyebabkan beberapa kaunter khusus terutama syarikat-syarikat yang terlibat dengan projek MRT3 dan HSR telah mengalami kejatuhan.

Melihat kepada semua senario ini, kami menaruh kepercayaan penuh kepada pasukan pengurusan PNB bahawa sebarang keputusan pelaburan dan pembelian yang akan diambil adalah berdasarkan penilaian strategik dan setelah melakukan ketekunan wajar yang sepatutnya dan tidak ada unsur-unsur bail out, bagi memastikan dana pelaburan utama rakyat Malaysia ini, terutama kepada bumiputera, terjamin.

MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi
Lajnah Ekonomi & Pembangunan Usahawan PAS Pusat
15 Ramadhan 1439 / 31 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 31/5/2018