Perang Yakhliz: Islam menang atas Russia

PELANTIKAN Sultan Abdul Hamid II sebagai khalifah baru Daulah Othmaniyah pada 1293H (1876M) telah memberi nafas baru kepada umat Islam setelah beberapa lama berada dalam zaman kemunduran, termasuk munculnya aliran-aliran moden sejak awal 1800M yang menggugat kestabilan daulah ini.

Advertisement

Walau bagaimanapun, ia adalah satu beban yang sangat berat bagi khalifah Othmaniyah ke-34 ini untuk memulihkan semula kekuatan Kerajaan Islam yang bukan sahaja mengalami kerosakan dalaman, tetapi menghadapi pemberontakan tanah jajahan dan serangan musuh-musuh Islam.

Di dalam kerajaan sendiri, kemunculan kelompok Sekular dalam gerakan Ittihad wat Taraki yang membawa masuk pemikiran Eropah dan juga gerakan Wahabi sebagai separatis Islam telah menjadi punca kelemahan. Di Eropah, Wilayah-wilayah Balkan mulai memberontak, Russia pula melakukan perluasan ke atas Wilayah Othmaniyah sehingga Wallachia, Moldova dan Serbia terlepas dari tangan Othmaniyah.

Konflik Othmaniyah-Russia: Pergeseran politik yang panjang

Semenjak jatuhnya Pusat Kristian Orthodoks, Constantinople ke tangan Othmaniyah pada 1453M, orang-orang Kristian telah memindahkan Pusat kegiatan mereka ke Moscow. Sejak itu, Russia sentiasa menjadi musuh Othmaniyah dan dalam tempoh 300 tahun, tidak kurang 10 pertempuran telah berlaku antara kedua-dua empayar. Kejayaan Othmaniyah menguasai Wilayah-wilayah Orthodoks di Timur Eropah seperti Balkan, Bulgaria, Romania, Hungary, Poland, Wallachia, bahkan Moscow juga, telah menjadikan ia satu konflik politik yang panjang.

Dalam konteks ini, siri-siri peperangan besar berlaku antara kedua-dua empayar ini bermula dengan Perang Russia-Othmaniyah I (1568-1570M), Perang II (1676-1681M), Perang III (1686-1700M), Perang IV (1710-1711M), Perang V yang turut disertai oleh Austria (1735-1739M), Perang VI (1768-1774M), Perang VII (1787-1792M), Perang VIII (1806-1812M), Perang IX (1828-1829M) dan Perang Crimea (1853-1856M). Walaupun Othmaniyah memenangi perang yang terakhir ini, konflik dengan Russia tidak berakhir kerana permusuhan Russia terhadap Islam tetap wujud.

Perang Othmaniyah-Russia 1877-1878: Kemenangan di Yakhliz

Keadaan politik Othmaniyah yang tidak stabil ekoran permainan kelompok Yahudi Donma, golongan sekular dan gerakan freemanson telah membuka ruang pemberontakan wilayah-wilayah. Russia dan Austria telah menghasut supaya Serbia dan Montenegro memberontak. Austria ingin menguasai Bosnia dan Herzegovina, manakala Russia mahu mengambil Wallachia, Moldova dan Bulgaria dari Othmaniyah. Kerana pemberontakan ini, akhirnya tercetus perang besar pada 24 April 1877M (10 Rabiul Awal 1294H) di Balkan. Ia berlanjutan hingga 3 Mac 1878M.

Dalam peperangan di Balkan, pasukan Islam dipimpin oleh Uthman Pasya. Beliau dengan 50,000 tentera menghadapi 150,000 tentera gabungan Russia-Rumania dan hampir berjaya mengalahkan Russia. Hanya saja kerana Uthman Pasya tercedera parah, pasukannya menjadi kucar-kacir dan Russia berjaya menguasai mereka. Uthman Pasya ditawan dan dibawa ke Moscow.

Di Anatolia, pasukan Islam dipimpin oleh Ahmad Mukhtar Pasya. Dengan hanya 34,000 tentera, mereka pada awalnya berjaya mengusir Russia dengan 740,000 tentera. Russia mengalami enam kekalahan, termasuk berkemuncak dalam Perang Yakhliz pada 15 Ramadan 1294H, di mana Russia telah dikalahkan dan Ahmad Mukhtar Pasya mendapat pujian khalifah.

Walau bagaimanapun, pada 1295H (1878M), Russia membuat serangan balas selepas kejayaan mereka di Balkan dan berhasil mengalahkan Othmaniyah. Bimbang dengan semangat juang tentera Islam di Balkan dan Anatolia, kuasa-kuasa Eropah mengambil kesempatan di atas kemenangan kecil Russia di Balkan dan Anatolia ini untuk memaksa Othmaniyah mengaku kalah dan mengadakan perjanjian.

Campur tangan mereka telah memberikan kemenangan moral kepada Russia, terutama dalam Perjanjian San Steveno pada 15 Februari 1876M yang merugikan Othmaniyah sebagai pihak yang kalah. Serbia dan Montenegro dimerdekakan, Wallachia dan Moldova digabungkan sebagai Rumania yang dimerdekakan juga, kemerdekaan administratif kepada Bulgaria serta Russia mendapat ganti rugi perang dan boleh belayar di laut Othmaniyah. Kemudian satu lagi perjanjian, iaitu Perjanjian Berlin 1876M mengukuhkan lagi perjanjian sebelumnya. Kerana perjanjian inilah, Othmaniyah dikenali sebagai “orang sakit Eropah.”

MOHD FADLI GHANI
15 Ramadan 1439 / 31 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 31/5/2018