Geoeskatologi (16): Yaman

YAMAN termasuk di dalam negara Semenanjung Arab. Kedudukannya di bahagian Barat Daya Semenanjung Arab dan disempadani dengan Oman di sebelah Timur dan Arab Saudi di sebelah Utara. Selain berada di pesisir Lautan Hindi, Yaman turut berada di pintu masuk ke Laut Merah yang dinamakan sebagai Bab el Mandab.

Advertisement

Dikatakan Yaman dahulunya lebih besar dari peta politik yang ada hari ini meliputi sebahagian Timur dan Selatan Arab Saudi serta Barat Oman. Bahkan ada yang berpendapat bahawa Yaman meliputi hampir keseluruhan Semenanjung Arab. Pandangan inilah yang menjadi punca ketegangan yang sering berlaku dalam lipatan sejarah antara Yaman dengan negara-negara sekitar. Di zaman Nabi S.A.W, Yaman berada di bawah pengaruh Parsi.

Yaman merupakan penempatan banyak tamadun-tamadun silam seperti Tamadun Kaum Saba`, Ad, Iram dan Thamud. Malah Yaman dikatakan sebagai negara asal usul bangsa Arab. Bahkan ada pendapat dari kalangan ulamak Tafsir yang mengatakan di Yamanlah tempat pertama kewujudan manusia di atas muka bumi ini iaitu Nabi Adam A.S dan isterinya Saidatina Hawa.

Di era moden, Yaman sebelum ini dipecahkan kepada dua buah negara berbeza iaitu Yaman Selatan dan Yaman Utara ekoran pecahan yang berlaku terhadap koloni Eden. Ia hanya bergabung pada tahun 1990 dan dikenali selepas itu dengan Republik Yaman.

Yaman merupakan antara tempat yang didoakan keberkatan oleh Nabi S.A.W selain Syam. Sabda Rasulullah S.A.W:

اللهمَّ بَارِكْ لنا في شَامِنَا وفي يَمَنِنَا . قال : قالواْ : وفي نَجْدِنَا ؟ قال : قال :اللهمَّ بَارِكْ لنا في شَامِنَا وفي يَمَنِنَا . قال : قالوا : وفي نَجْدِنَا . ؟ قال : قال : هناكَ الزلازلُ والفِتَنُ ، وبها يطلُعُ قَرْنُ الشيطانِ .

“Ya Allah, berkatilah Syam dan Yaman kami. Sahabat bertanya, bagaimana pula dengan Najd kami? Nabi berkata Ya Allah, berkatilah Syam dan Yaman kami. Sahabat bertanya, bagaimana pula dengan Najd kami? Nabi berkata di sana bakal berlaku gempa dan ujian atau fitnah. Akan muncul tanduk atau era syaitan.”

[HR Bukhari]

Nabi S.A.W juga menyatakan kelebihan penduduk Yaman sebagai beriman dan berhikmah. Sabda Rasulullah S.A.W:

جاء أهلُ اليَمَنِ، هم أرَقُّ أفئدةً، الإيمانُ يَمانٍ، والفِقهُ يَمانٍ، والحِكمةُ يَمانِيَةٌ

“Telah datang penduduk Yaman. Mereka memiliki jiwa yang paling lembut. Keimanan adalah Yaman. Kefahaman adalah Yaman. Kebijaksanaan adalah di Yaman.”

[HR Bukhari & Muslim]

Di akhir zaman, Yaman juga menjadi tempat berhimpun tentera Islam selain Syam dan Iraq. Nabi juga memerintahkan agar bersama dengan tentera Yaman suatu masa nanti sekiranya tidak mampu untuk ke Syam. Sabda Rasulullah S.A.W:

سيصيرُ الأمرُ إلى أن تكونوا جُنودًا مُجنَّدةً جندٌ بالشامِ وجندٌ باليمنِ وجندٌ بالعراق قال ابنُ حوالةَ خَرْ لي يا رسولَ اللهِ إن أدركتُ ذلك فقال عليك بالشامِ فإنها خِيرةُ اللهِ من أرضِه يجتبِي إليها خِيرتَه من عبادِه فأما إن أبيتُم فعليكم بيَمنِكم واسقُوا من غدرِكم فإنَّ اللهَ توكَّلَ لي بالشامِ وأهلِه

“Akan berlaku berbagai perkara sehingga membawa kepada terbentuk beberapa pasukan tentera. Tentera di Syam, tentera di Yaman dan tentera di Iraq. Ibn Huwalah berkata: Pilihlah untuk kami wahai Rasulullah sekiranya kami sempat dengan suasana demikian. Jawab Rasulullah: Wajib kamu bersama dengan tentera Syam, sesungguhnya mereka adalah pilihan Allah di kalangan hambaNya di muka bumi ini. Sekiranya kamu enggan, maka bersamalah dengan tentera Yaman dan minumlah dari sumber airnya. Sesungguhnya Allah telah mewakilkan padaku Syam dan penduduknya.”

[HR Abu Daud]

Pada hari ini, nasib Yaman tidak kurang huru-haranya berbanding Syria dan Iraq. Berlaku perang saudara yang amat dahsyat diantara kabilah-kabilah dan aliran-aliran, ditambah dengan campur tangan asing dari berbagai kuasa politik termasuk Arab Saudi, UAE, US, NATO, Tentera Arab Bersekutu, Rusia dan Iran.

Yaman menjadi rebutan antaranya kerana lokasinya yang berada di Bab el Mandab. Ia adalah pintu keluar Barat dari Laut Mediterenean melalui Terusan Suez dan Laut Merah bagi menuju ke arah Timur. Barat tidak mahu Yaman jatuh ke tangan seteru mereka iaitu Rusia dan Iran, yang bakal mengancam keselamatan laluan perdagangan dan ketenteraan laut mereka ke arah Timur.

Walaupun Hadis menyatakan bakal terbentuk tentera di Yaman, namun sehingga kini kita masih belum mampu menetapkan tentera mana satukah yang dimaksudkan. Apakah telah wujud dan telah berlalu di zaman lampau, atau apakah sedang terbentuk sekarang ataupun belum terbentuk buat masa ini.

Maka Hadis ini tidak boleh dijadikan satu-satunya petunjuk bagi membenarkan kita mengikut mana-mana kumpulan di sana tanpa melihat kepada keseluruhan petunjuk ajaran Islam. Dibimbangi kita hanya akan diperkudakan oleh musuh-musuh Islam yang berniat jahat dan bernafsu tinggi demi kepentingan duniawi mereka.

Selain itu, Yaman juga bakal menjadi saksi keluarnya api yang menghimpunkan seluruh manusia Timur dan Barat. Sabda Rasulullah S.A.W:

إنها لن تقومَ حتى ترَون قبلَها عشرَ آياتٍ ” . فذكر الدخانَ ، والدجالَ ، والدابةَ ، وطلوعَ الشمسِ من مغربِها ، ونزولَ عيسى ابنِ مريم صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ ، ويأجوجَ ومأجوجَ . وثلاثةَ خُسوفٍ : خَسفٌ بالمشرقِ ، وخَسفٌ بالمغربِ ، وخَسفٌ بجزيرةِ العربِ . وآخرُ ذلك نارٌ تخرج من اليمنِ ، تطردُ الناسَ إلى مَحشرِهم

“Sesungguhnya tidak akan berlaku kiamat sehingga kamu melihat sebelumnya 10 tanda: (1) Dukhan, (2) Dajjal, (3) Dabbah, (4) matahari terbit dari arah Barat, (5) turun Nabi Isa, (6) Yakjuj dan Makjuj, tiga gempa bumi; (7) satu di Timur, (8) satu di Barat dan (9) satu di Semenanjung Arab, dan terakhir (10) api yang terbit daripada Yaman, menghimpunkan manusia ke tempat perhimpunan (Mahsyar).”

[HR Muslim]

Menurut sebahagian pendapat, ia berlaku sebelum detik kehancuran bumi iaitu kiamat. Dihimpunkan sebelum dibinasakan sekali gus di saat tiada lagi orang beriman di atas muka bumi ini. Ada juga pandangan yang menyatakan ia berlaku selepas peristiwa kiamat, iaitu di saat manusia dihidupkan kembali sesudah mati. Disitulah lokasi Padang Mahsyar menurut pandangan ulamak yang mengatakan di bumi ini jugalah manusia akan dibangkitkan semula. Yang berbeza cuma peralihan dari dimensi alam dunia kepada dimensi alam akhirat.

Ini disokong dengan satu lagi Hadis di mana Abdullah bin Salam bertanya apakah perkara pertama bakal berlaku di hari kiamat. Rasulullah S.A.W menjawab dengan sabdanya:

أما أولُ أشراطِ الساعةِ فنارٌ تَحشُرُ الناسَ منَ المشرقِ إلى المغربِ

“Adapun perkara pertama berlaku adalah api yang menghimpunkan seluruh manusia daripada Timur hingga Barat.”

[HR Bukhari]

Wallahualam.

(Petikan dari buku Geoeskatologi Islam yang bakal diterbitkan)

(ALANG IBN SHUKRIMUN)
16 Ramadan 1439
1 Jun 2018 – HARAKAHDAILY 1/6/2018

 FB IMG 1527846951360