Perutusan Badar Al-Kubra Ketua Dewan Ulamak PAS

Badar al-Kubra: Saksi kekuatan ummah

Advertisement

Firman Allah SWT:

{وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنْتُمْ أَذِلَّةٌ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ}

“Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).” [Aali Imran: 123]

Ramadhan yang sinonim dengan pensyariatan berpuasa mempunyai banyak pengajaran ke atas umat Islam dalam membina nilai taqwa dan kekuatan. Madrasah Ramadhan yang dilalui bukanlah sebagai alasan untuk lesu dan tidak produktif. Namun, fakta sejarah menunjukkan Ramadhan adalah bulan umat Islam mencapai kejayaan dengan kekuatan yang luar biasa sebagaimana dalam peperangan Badar al-Kubra yang berlaku pada bulan Ramadhan tahun ke-2 Hijrah.

Jika kita soroti kembali sirah peperangan Badar al-Kubra, maka didapati tentera Islam berada dalam keadaan serba kekurangan sama ada daripada sudut bilangan dan persiapan alat perang. Di sinilah Allah SWT mengingatkan umat Islam bahawa nusrah kemenangan itu hanya datang dengan bantuan Allah SWT.

Puasa pada hakikatnya, menjadi sumber kekuatan kepada umat Islam. Malah dalam persiapan menuju ke medan peperangan Badar al-Kubra, para sahabat menunjukkan keyakinan serta kepatuhan mereka kepada Rasulullah SAW. Antara ucapan Sa’ad bin Muadz RA pada ketika itu:

«فَقَدْ آمَنَّا بِكَ وَصَدَّقْنَاكَ، وَشَهِدْنَا أَنَّ مَا جِئْتَ بِهِ هُوَ الْحَقُّ، وَأَعْطَيْنَاكَ عَلَى ذَلِكَ عهودَنا وَمَوَاثِيقَنَا، عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ، فَامْضِ يَا رَسُولَ اللَّهِ لِمَا أَرَدْتَ فَنَحْنُ مَعَكَ، فَوَاَلَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ، لَوْ اسْتَعْرَضْتَ بِنَا هَذَا الْبَحْرَ فخُضته لَخُضْنَاهُ مَعَكَ، مَا تخلَّف مِنَّا رَجُلٌ وَاحِدٌ …»

“Maka sesungguhnya, kami telah beriman kepadamu dan membenarkan segala perjuanganmu, dan kami saksikan bahawa apa yang kamu bawa itu adalah benar. Untuk itu, kami telah ikatkan janji dan padukan kesetiaan kami. Maka majulah wahai Rasulullah, laksanakan apa yang kamu kehendaki dan kami akan pasti bersamamu. Maka, demi yang telah mengutus kamu membawa kebenaran, sekiranya kamu membawa kami menerjuni dan mangharungi lautan ini, akan kami terjuni dan harungi bersama, tidak akan ada seorang pun daripada kalangan kami yang akan berpaling.”

Sehubungan itu, berpuasa di bulan Ramadhan sebenarnya mendidik ummah untuk bersabar dan membina kekuatan jatidiri. Sifat sabar inilah menunjukkan nilai kebergantungan kepada Allah SWT sepenuhnya. Dengan kesabaran ini, pertolongan Allah SWT akan mendampingi umat Islam. Dalam peperangan Badar al-Kubra, kesabaran yang ditunjukkan oleh para sahabat itulah antara asbab besar datangnya bantuan tentera Malaikat dalam berhadapan dengan tentera musyrikin.

Allah SWT berfirman:

{إِذْ تَقُولُ لِلْمُؤْمِنِينَ أَلَنْ يَكْفِيَكُمْ أَنْ يُمِدَّكُمْ رَبُّكُمْ بِثَلَاثَةِ آلَافٍ مِنَ الْمَلَائِكَةِ مُنْزَلِينَ • بَلَىٰ ۚ إِنْ تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا وَيَأْتُوكُمْ مِنْ فَوْرِهِمْ هَٰذَا يُمْدِدْكُمْ رَبُّكُمْ بِخَمْسَةِ آلَافٍ مِنَ الْمَلَائِكَةِ مُسَوِّمِينَ}

“(Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): “Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera daripada Malaikat yang diturunkan?,” Bahkan, jika kamu bersabar dan bertaqwa dan mereka datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu Malaikat yang mempunyai tanda masing-masing.” [Aali Imran: 124-125]

Sesungguhnya Ramadhan menerusi peristiwa Badar al-Kubra menjadi saksi ke atas kekuataan ummah. Kekuatan ini bukanlah lahir semata-mata dengan makan minum. Walaupun secara fitrahnya makan dan minum adalah sumber tenaga bagi manusia, namun hakikat kekuatan adalah datang dari Allah SWT.

Justeru, untuk bekerja dan berjuang memerlukan kekuatan keimanan yang utuh. Tambahlah kekuatan iman untuk memperjuangkan kebangkitan Islam di negara kita. Sesungguhnya, kejayaan era awal pembinaan Negara Islam di Madinah adalah dengan kebangkitan atas dasar keimanan dan bukannya atas dasar kebencian dan dendam kesumat. Kita ingin membina negara kita dengan kesejahteraan hakiki tanpa meninggalkan jahiliah yang merosakkan tuntutan Islam.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Membina Negara Sejahtera”

USTAZ DATO’ DR. HAJI MAHFODZ MOHAMED
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
16 Ramadhan 1439H / 1 Jun 2018 (Jumaat) – HARAKAHDAILY 1/6/2018