Geoeskatologi (17): Hadramawt

HADRAMAUT merupakan kota lama yang kini berada di Barat Yaman. Disempadani dengan Negara Arab Saudi di sebelah Utara dan Lautan Hindi di sebelah Selatan. Dipisahkan daripada Negara Oman dari arah Timur dengan Wilayah al-Mahrah. Berada jauh dari ibu negara Sana’a tabg terletak di bahagian Barat atau Utara Yaman.

Advertisement

Hadramaut merupakan wilayah terbesar di Yaman. Menjadi sebahagian daripada wilayah kekuasaan Kerajaan Saba’ dan ratu Balqis. Ketika perang saudara, Hadramaut berada pada bahagian Yaman Selatan.

Di zaman umat Muhammad, Hadramaut telah melahirkan ribuan cendikiawan dan daie Islam yang menyebarkan Islam ke seluruh dunia terutama ke Asia Tenggara termasuk negara kita. Antara Institusi Pendidikan Agama popular di Hadramaut adalah Darul Mustafa dan Ribat di Tarim. Walaupun Yaman diwarnai dengan berbagai konflik, daerah tersebut tidak dilanda perang saudara dan perang proksi yang teruk sebagaimana kawasan lain. Ini kebanyakan kebanyakan mereka beraliran sufi yang tidak mencampuri urusan politik dan tidak memberi ancaman kepada penguasa dalam dan luar.

Maksud perkataan Hadramaut dalam Bahasa Arab ialah ‘telah datang kematian’. Tiada pendapat yang muktamad berkenaan dengan nama Hadramaut. Antara pendapat yang masyhur adalah kerana Hadramaut dahulu merupakan kawasan yang sering bergolak. Mereka yang pergi ke sana seolah-olah mencabar maut. Lama-kelamaan dinamakan dengan nama tersebut.

Mungkin atas faktor inilah Nabi S.A.W memberikan bidalan mengenai keamanan akhir zaman dengan Hadramaut. Ketika Khabba datang menemui Rasulullah bagi mengadu nasib Islam yang sering ditindas di era Makkah, serta meminta Rasulullah berdoa agar Allah menyegerakan bantuanNya, maka Rasulullah S.A.W bersabda:

لَقدْ كان مَن قَبْلَكم لَيُمْشَطُ بِمِشاطِ الحَديدِ، ما دونَ عِظامِه مِن لَحْمٍ أو عَصَبٍ، ما يَصرِفُه ذلكَ عن دينِه، ويُوضَعُ المِنْشارُ على مَفرِقِ رَأسِه، فيُشَقُّ بِاثنَينِ ما يَصرِفُه ذلكَ عن دينِه، ولَيُتِمَّنَّ اللهُ هذا الأمرَ حتَّى يَسيرَ الرَّاكبُ مِن صَنعاءَ إلى حَضْرَموتَ ما يَخافُ إلَّا اللهَ والذِّئبَ على غَنمِه.

“Sesunggunya umat sebelumnya ada yang disikat dengan sikat besi hingga luruh daging daripada tulangnya, ada yang digergaji badan mereka hingga terbelah dua. Namun itu semua tidak membuatkan mereka berpaling dari agama. Allah akan menyempurnakan urusan agama ini, sehingga seorang boleh mengembara dari Sana’a ke Hadramaut sendirian, tidak takutkan sesiapa kecuali Allah, dan serigala terhadap kambingnya.”

[HR Bukhari]

Jarak antara Sana’a dan Hadramaut adalah lebih kurang 700 km. Di zaman Nabi S.A.W, perjalanan sejauh itu sendirian amat berbahaya. Terdedah kepada penyamun jalanan dan bermacam pihak.

Namun Rasulullah S.A.W menggambarkan akan tiba suatu masa apabila Islam memerintah, keamanan bakal dikecapi sehingga tiada sebarang jenayah boleh berlaku. Bahkan dinyatakan dalam Hadis yang lain, sehingga binatang pun tidak bergaduh antara satu sama lain.

Hadramaut turut menjadi kawasan yang menjadi saksi terbitnya api yang menjadi tanda besar kiamat. Sabda Rasulullah S.A.W:

ستخرجُ نارٌ من حضْرَمَوْتٍ – أو من نحو بَحْر حضْرَمَوْتٍ – قبلَ يومِ القيامة ، تُحْشرُ الناسَ . قالوا : يا رسولَ اللهِ فما تأمُرُنا ؟ فقال : عليكُم بالشّامِ

“Akan terbit api dari Hadramaut atau dari arah laut Hadramaut sebelum berlaku kiamat yang menghimpunkan manusia. Sahabat bertanya apa yang kamu perintahkan kepada kami pada masa itu? Jawab Rasulullah: Wajib untuk kamu pergi ke Syam.”

[HR Tirmizi]

Api yang dimaksudkan berkemungkinan adalah api yang sama dimaksudkan dalam Hadis pada Siri 16 (Yaman) yang lalu. Ia menyebutkan jelas bakal berlaku sebelum kiamat. Bermakna seluruh manusia akan dihimpunkan di satu tempat sebelum mereka dibinasakan sekali gus. Selepas itu baharulah mereka dibangkitkan kembali dan dihimpunkan sekali lagi dalam dimensi alam akhirat.

Jika dimurnikan dengan Hadis lepas yang mengatakan perkara pertama berlaku pada waktu kiamat adalah cahaya yang menghimpunkan manusia dari Timur hingga Barat, ini bermakna kejadian ini adalah perkara pertama yang berlaku di saat hari bumi dihancurkan. Pada masa itu tidak ada lagi orang beriman kerana hari kiamat hanyalah peristiwa bagi membuktikan kebenaran kiamat yang diingkari oleh orang-orang yang tidak beriman.

Wallahualam.

(Petikan dari buku Geoeskatologi Islam yang bakal diterbitkan)

(ALANG IBN SHUKRIMUN)
17 Ramadan 1439
2 Jun 2018 – HARAKAHDAILY 2/6/2018