Media diraikan PAS S’wak berbuka puasa

KUCHING: PAS Negeri Sarawak telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa bersama warga media bertempat di Restoran Muara, Icomm Square, di sini kelmarin.
 
Program tersebut bertujuan meraikan pengamal media Sarawak yang telah bertungkus lumus melaksanakan tugas pada PRU14 lalu, selain mengukuhkan hubungan.
 
Ketua Penerangan PAS Sarawak, Muhammad Afiq Mhd Khazar dalam ucapannya berharap Kerajaan Persekutuan menunaikan hasrat rakyat negeri itu yang mahu konsep federalisme dilaksanakan.
 
Beliau menyeru agar jawatankuasa khas bagi pembangunan pendidikan di semua peringkat negeri itu terutama infrastruktur asas bekalan air dan elektrik disediakan sewajarnya.
 
Beliau berharap, pihak media dapat melaporkan perkara sedemikian sebagai satu usaha agar tuntutan seperti itu dapat dinikmati rakyat Sarawak sebagai hak mereka.
 
Manakala Ketua Pemuda PAS Sarawak, Mohamad Arifiriazul Paijo menyeru agar pihak media menjadi agen yang dapat menjayakan usaha mewujudkan politik matang dan sejahtera.
 
Seramai 15 anggota pengamal media hadir mewakili agensi Borneo Post, Utusan Borneo, See Hua Daily, Si Chew Daily, RTM dan Dayak Daily serta lain-lainnya.
 
Turut hadir adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Zulkifli Ramzi dan Penolong Setiausaha Pemuda PAS Malaysia, Ir Hadi Amat. -HARAKAHDAILY 4/6/2018
 
 
Advertisement