Peguam Negara: Tommy Thomas tidak sesuai

(1)     KEPUTUSAN Pakatan Harapan (PH) untuk mencadangkan Tommy Thomas sebagai  Peguam Negara adalah bercanggah dengan Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut “Menjadi kewajipan Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang”. Ini kerana seorang yang bukan Islam sudah tentulah tidak akan dapat membantu Yang di-Pertuan Agong “memeliharakan pada setiap masa Agama Islam” seperti yang termaktub di dalam Sumpah Jawatan bagi Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi “Islam ialah agama bagi Persekutuan”, khususnya di dalam apa-apa perkara undang-undang yang menyentuh prinsip-prinsip Islam. Malah pendirian tegar Tommy Thomas dan peguam-peguam Islam yang sealiran dengannya kononnya Malaysia adalah negara Sekular jelas bercanggah dengan Sumpah Negara di bawah Perkara 37(1) itu. Justeru mereka yang berpemikiran sedemikian tidak layak sama sekali untuk dicadangkan sebagai Peguam Negara.

Advertisement

(2)     Keputusan PH untuk mencadangkan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara boleh mendatangkan kerumitan kepada penggubalan dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan yang menyentuh isu-isu membabitkan Islam. Ini kerana di dalam buku-buku beliau bertajuk “Anything But The Law” dan “Abuse Of Power” terbitan tahun 2016, Tommy tegar berhujah mengenai betapa Malaysia bukan sebuah negara Islam. Maka pendirian sebegini jelas bertentangan dengan pelbagai peruntukan Perlembagaan seperti Perkara 3(1), Perkara 11(4), Perkara 12(2) Perkara 37(1) komitmen SPB YDP Agong sebagai The Supreme Head of Federation untuk mendaulatkan Islam pada setiap masa, Butiran 1 kepada Perkara 74, Perkara 121(1A) dan semua dasar yang menyentuh kepentingan Islam.

(3)     Keputusan PH untuk mencadangkan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara boleh mendatangkan kerumitan kepada penggubalan dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan yang menyentuh isu-isu membabitkan Islam. Ini adalah kerana di dalam buku-buku beliau bertajuk “Anything But The Law” dan “Abuse Of Power” pada 2016, Tommy menyebut betapa keputusan-keputusan Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang akur kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah bila timbul pertikaian membabitkan konflik antara Undang-undang sivil dan Undang-undang Syariah, adalah merupakan satu keputusan yang salah; betapa keputusan Mahkamah Rayuan di dalam kes penggunaan Nama “Allah” oleh Gereja Katolik adalah keputusan yang salah serta betapa rayuan dalam isu pertikaian antara Islam dan Kristian perlu diputuskan oleh hakim-hakim yang beragama Hindu, Buddha, ateis atau agnostic.

(4)     Keputusan PH untuk mencadangkan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara boleh menjejaskan dasar kerajaan dan boleh mendatangkan keresahan kepada rakyat Malaysia kerana pandangan beliau yang bercanggah dengan pendirian kerajaan terhadap Dasar Ekonomi Baru dan Rukun Negara. Ini kerana di dalam buku beliau bertajuk “Anything But The Law” pada 2016 Tommy menyifatkan Dasar Ekonomi Baru dan Rukun Negara sebagai tidak mempunyai asas perlembagaan dan perundangan.

(5)     Keputusan PH untuk mencadangkan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara boleh mendatangkan keresahan kepada rakyat Malaysia kerana pandangan beliau yang kontroversi terhadap pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng yang diharamkan. Ini kerana di dalam buku beliau bertajuk “Anything But The Law” pada 2016 Tommy menceritakan mengenai kedudukan beliau sebagai Peguam Chin Peng dan PKM selain mendesak Kerajaan Malaysia membenarkan mayat Chin Peng ditanam di Sitiawan, Perak, serta mengisytiharkan Chin Peng sebagai “one of the great liberation fighters of the second half of the twentieth century” dan “a major contributor to Merdeka” sedangkan ini bercanggah dengan pandangan majoriti rakyat Malaysia terhadap Chin Peng yang menyifatkan Chin Peng sebagai musuh negara.

(6)     Keputusan PH untuk mencadangkan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara adalah bercanggah dengan Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi “Yang di-Pertuan Agong hendaklah, atas nasihat Perdana Menteri, melantik seorang yang layak menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Peguam Negara bagi Persekutuan”. Ini adalah kerana, telah menjadi pengetahuan umum bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenankan hasrat PH untuk melantik Tommy sebagai Peguam Negara dan mengikut Perlembagaan Persekutuan, pelantikan Peguam Negara hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

(7) Keputusan PH untuk mencadangkan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara adalah bercanggah dengan Janji 11 di dalam “Manifesto PH” yang berbunyi “Kerajaan PH akan sentiasa meletakkan pandangan dan teguran Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu di tempat tertinggi, iaitu sesuai dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dalam negara kita” yang menghendaki Kerajaan PH akur dengan keputusan Raja-raja Melayu. Ini juga adalah kerana, telah menjadi pengetahuan umum bahawa Raja-raja Melayu tidak memperkenankan hasrat PH untuk melantik Tommy sebagai Peguam Negara.

(8)     Keputusan PH untuk mencadangkan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara adalah bercanggah dengan prinsip keadilan sejagat kerana ia membabitkan kepentingan YB Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan. Ini kerana Lim Guan Eng sedang menghadapi dua pertuduhan rasuah di mahkamah yang kuasa untuk meneruskan atau menghentikannya berada di dalam tangan Peguam Negara di mana kedudukan Tommy sebagai Peguam Lim Guan Eng dan sebagai Peguam Kerajaan Negeri Pulau Pinang sewaktu Lim Guan Eng menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang sebelum ini memungkinkan Tommy memihak kepada Lim Guan Eng.

(9)     Tommy Thomas akan menghadapi masalah untuk bekerja dengan YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kerana beliau adalah pengkritik tegar Tun Dr Mahathir sebelum ini. Di dalam buku beliau bertajuk “Abuse Of Power” pada 2016 Tommy menyifatkan Tun Dr Mahathir sebagai “a very authoritarian leader who did not brook dissent”. Di dalam The International Bar Association (IBA)’s 3rd Asia Pacific Regional Forum Conference di Kuala Lumpur pada 25–27 November 2012 Tommy berkata: “The darkest days were in the authoritarian leadership of our 4th Prime Minister, Dr Mahathir, who ruled for 22 years from 1981 to 2003.”

(10) Keputusan PH untuk mencadangkan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara adalah bercanggah dengan Janji 15 di dalam Manifesto PH yang berbunyi “Peguam Negara akan dilantik dari kalangan ahli Parlimen yang berkelayakan, dan beliau akan menjadi seorang Menteri yang boleh meneruskan peranan sebagai penasihat undang-undang bagi kerajaan”. Ini adalah kerana Manifesto PH berjanji untuk melantik Peguam Negara dari kalangan ahli Parlimen sedangkan Tommy Thomas bukan seorang Ahli Parlimen.

Kesimpulannya, jawatan Peguam Negara perlu dicalonkan daripada kalangan hakim-hakim dan peguam-peguam kanan yang cakna dan peduli kepada agama Islam dan Raja-raja, bukan hanya kepada prinsip undang-undang dan demokrasi yang selalunya sangat tertakluk kepada political will pemerintah.

(DATO’ PROF HJ MAHAMAD NASER DISA berpengalaman lebih 25 tahun sebagai Peguam Kanan Persekutuan)

Institut Kajian Strategik Islam Malaysia
3 Jun 2018 – HARAKAHDAILY 3/6/2018