Othmaniyah kalahkan Napoleon di Mesir

MELETUSNYA Revolusi Perancis pada 1789 telah menimbulkan persaingan politik di antara Perancis dengan Empayar Britain yang sedang menguasai perdagangan di India dan Tanah Melayu ketika itu. Napoleon Bonaparte, pemimpin terbesar Perancis mengatur strategi untuk melemahkan British dengan menguasai Mesir. Dalam konteks politik dan ekonomi, Mesir adalah negara yang sangat strategik kerana ia menghubungan Afrika, Eropah dan Asia. Bagi maksud mengukuhkan kedudukan Perancis dalam persaingan dengan British ini, Napoleon mengatur langkah untuk menjajah Mesir.

Advertisement

Mesir sejak menerima Islam pada tahun 21H, telah menjadi Wilayah Daulah Umaiyah, sebelum jatuh ke tangan Daulah Abbasiyah pada 750M. Pada zaman Daulah Abbasiyah, Mesir terlepas total apabila Daulah Fatimiyah menguasainya pada 362H (969M), sebelum Sultan Salahuddin al-Ayubi mengembalikan ia kepada Daulah Abbasiyah pada 1171M. Selepas 1260M, Kesultanan Mamalik yang menguasai Mesir mengangkat semula Khalifah Abbasiyah sehingga ia jatuh ke tangan Daulah Othmaniyah pada 1517M. Memasuki abad ke-19, Daulah Othmaniyah mulai melemah dan menerima banyak pengaruh Perancis, sehingga Napolean mengambil kesempatan di atas kelemahan ini untuk mereka menguasai Mesir.

Penguasaan Perancis ke atas Mesir

Kelemahan Daulah Othmaniyah dan pergolakan politik Mamalik di Mesir telah mendorong Napoleon bertindak menguasai Mesir. Pada Julai 1798M, Napolean dan tenteranya telah mendarat di Iskandariah bagi menguasai Mesir. Dengan alasan kaum Mamalik sebagai Muslim yang tidak baik, Napoleon melancarkan propaganda kepada orang Mesir, di samping meneruskan serangan ke atas kedudukan Mamalik di Iskandariah, sehingga mereka berundur ke Kaherah. Dalam Perang Piramid pada 21 Julai 1798, rakyat Mesir tidak menyokong Mamalik yang menyebabkan mereka tewas dan Mesir jatuh ke tangan Perancis.

Napoleon yang menutup Universiti al-Azhar dan membuka Institut d’Egypte telah memperkenalkan pendidikan Barat dan moden kepada Mesir, selain budaya percetakan dan Undang-undang Perancis. Namun begitu, di sebalik gerakan kebudayaan Perancis yang begitu berkesan, tentera Perancis tidak dapat bertahan di Mesir. Pada awal Ogos 1798, tentera Perancis kalah di Teluk Aboukir, diikuti oleh tindakan Napoleon meninggalkan Mesir pada 18 Ogos 1798. Beliau digantikan oleh Jeneral Kleber sehingga 1801, sebelum Panglima Mohamad Ali Pasya menghalau Perancis pada 31 Ogos 1801.

Kekalahan Perancis di tangan Othmaniyah: Kemerdekaan semula Mesir

Kejayaan Napoleon menguasai Mesir telah menghentikan sementara perbalahan antara Othmaniyah dengan Russia dan Britain. Kebimbangan Britain terhadap penguasaan Perancis terhadap negara-negara Eropah dan Utara Afrika telah menyebab tiga kuasa politik (Othmaniyah, Britain dan Russia) bersatu dan dapat menyekat Napoleon dari menguasai Akka pada 1799M, setelah Gaza, Ramallah dan Jaffa dikuasai oleh Perancis. Jeneral Othmaniyah, Ahmad Pasya al-Jazzar telah berjaya menyekat Napoleon dengan bantuan Britain, kemudian satu gerakan diatur di Iskandariah pada Februari 1799 untuk melumpuhkan tentera laut Perancis dengan bantuan Britain.

Peperangan yang tercetus pada 19 Ramadan 1213H (24 Februari 1799M) ini akhirnya berjaya menghancurkan kekuatan tentera Perancis di Iskandariah. Kejayaan mengalahkan Perancis ini telah menyebabkan pemberontakan rakyat di seluruh Mesir terhadap Perancis. Akhirnya satu pemberontakan besar berlaku pada 1800M (1215H) yang membawa kepada pembunuhan Jeneral Kleber. Ekoran itu, pada 31 Ogos 1801, dengan masuknya tentera Othmaniyah dan Britain ke Kaherah, Perancis telah menyerah kalah dan meninggalkan Mesir.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
19 Ramadan 1439 / 4 Jun 2018 – HARAKAHDAILY 4/6/2018