Peguam Negara: Mesti dapat perkenan YDPA

MUSLIMAT PAS berdiri teguh di belakang Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Majlis Raja-raja Melayu dalam keputusan melantik dan memperkenan seorang nama sebagai Peguam Negara daripada Kerajaan Persekutuan.

Advertisement

Sehingga hari ini masih belum ada satu kata putus persetujuan daripada pihak Putrajaya dan Istana Negara berhubung kes ini yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan netizen.

Kami sedia maklum, suatu persidangan Raja-raja akan diadakan pada esok hari iaitu 5 Jun 2018 bagi membincangkan isu ini, Muslimat PAS dengan sepenuh hati mendoakan agar jawapan terbaik khususnya untuk kedaulatan Malaysia dapat diputuskan berkat daripada syura yang dijalankan.

Di kesempatan ini, kami ingin mengajak semua untuk mengahayati beberapa ayat al-Quran yang Islam anjurkan sebagai usaha untuk memberikan tanggungjawab kepada seseorang:

“Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang Kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam suatu apa pun,……”

[ali-‘Imran: 28]

“Salah seorang di antara dua perempuan itu berkata, Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah”

[al-Qasas: 26]

“Yusuf berkata, jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir) sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya lagi mengetahui cara mentadbirkannya”

[Yusuf: 55]

Mudah-mudahan Kerajaan Persekutuan di bawah teraju Yang Amat Berhormat Tun Dr Mahathir Mohamad sentiasa menjadikan al-Quran sebagai prinsip dalam membuat sesuatu keputusan dan dibimbing oleh Allah dalam apa jua tindakan untuk membina Malaysia yang sejahtera.

NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
4 Jun 2018 bersamaan 19 Ramadan 1439 – HARAKAHDAILY 4/6/2018