Pelantikan Peguam Negara Malaysia

PAS percaya isu pelantikan Peguam Negara yang baru bagi menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai isu yang perlu diberikan perhatian serius selain ditangani dengan penuh bijaksana kerana jawatan terbabit merupakan jawatan tertinggi dalam Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, khususnya dalam Badan Perundangan (Judiciary).

Advertisement

PAS akur dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung pelantikan ini, iaitu Perkara 145(1) yang jelas memperuntukkan bahawa Yang DiPertuan Agong hendaklah melantik seorang Peguam Negara atas nasihat Perdana Menteri dalam kalangan seseorang yang berkelayakan untuk dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Berdasarkan peruntukan di atas, sepintas lalu PAS berpandangan orang yang tidak boleh dipertikaikan kelayakannya untuk dilantik sebagai Peguam Negara adalah para Hakim Mahkamah Persekutuan yang sedang berkhidmat sekarang ini mahu pun mereka yang telah bersara dari jawatan tersebut. Ini memandangkan selain daripada mereka dalam kategori di atas, tiada siapa pun yang boleh dianggap mempunyai segala ciri-ciri yang perlu untuk dilantik sebagai seorang Hakim Mahkamah Persekutuan, sama ada dari sudut pengetahuan undang-undang, pengalaman dalam pelbagai bidang perundangan dan menunjukkan sifat bijaksana serta berintegriti.

Dari segi sejarah pula, setakat ini hanya seorang sahaja peguam yang dilantik terus sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu Tun Zaki Tun Azmi pada tahun 2007. Itupun beliau berpengalaman luas dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan selama hampir 30 tahun sebelum menjadi seorang peguam. Mengikut rekod juga, pelantikan beliau telah dibantah termasuk oleh para peguam sehingga turut dibahaskan di Parlimen.

Salah satu peranan penting Peguam Negara adalah memastikan tindakan penyeragaman dan pemurnian perundangan Syariah dapat dilaksanakan secara berkesan dan berdiplomasi tinggi kerana ia turut melibatkan prerogatif Yang DiPertuan Agong serta Raja-raja Melayu sebagai Ketua Agama di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri. Oleh itu Peguam Negara juga mestilah seorang yang memahami dengan tinggi prinsip perundangan Islam selain daripada perundangan Sivil.

PAS berpandangan sesuai dengan perkembangan kesedaran beragama yang sihat dalam kalangan rakyat Malaysia dan juga di peringkat global, ditambah dengan prinsip Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara kita, amatlah wajar Peguam Negara adalah seorang yang ‘peduli agama dan peduli Raja’.

PAS turut berpandangan sekiranya Peguam Negara seorang yang bukan ‘peduli agama dan peduli Raja’, timbul kebimbangan termasuk dalam apa-apa tindakan perundangan ke atas Raja-raja Melayu di Mahkamah Khas yang memerlukan Persetujuan (consent) Peguam Negara, tidak mengambil kira mudarat besar kepada keyakinan rakyat terhadap institusi DiRaja secara umumnya.

PAS juga berpandangan adalah lebih tertib dan bijaksana sekiranya soal pelantikan Peguam Negara ini dibincangkan secara konsultasi tertutup di antara Perdana Menteri dan Yang DiPertuan Agong bagi mengelakkan sebarang persepsi negatif serta menimbulkan provokasi yang tidak menguntungkan mana-mana pihak. Pendedahan kepada umum cadangan tersebut juga sudah pasti meletakkan Yang DiPertuan Agong dalam keadaan yang tidak selesa malah
tertekan.

PAS berharap isu pelantikan Peguam Negara ini tidak dieksploitasi oleh mana-mana pihak sehingga menimbulkan kerugian, keresahan serta krisis yang tidak menguntungkan rakyat dan Negara.

Terima kasih.

TAKIYUDDIN HASSAN,
Setiausaha Agung.
Bertarikh: 04 Jun 2018 – HARAKAHDAILY 4/6/2018