Tafakkur dan Tafaqquh Juz 19

ALLAH S.W.T memberitakan dalam al-Quran berkaitan ayat-ayat supaya manusia mengkaji dan meneliti fenomena alam agar mereka memahami serta mencapai ilmu pengetahuan tinggi. Allah menjadikan bayang-bayang yang dapat dilihat oleh manusia sebenarnya mempunyai rahsia dan hikmah tertentu. Firman Allah S.W.T:

Advertisement

أَلَمْ تَرَ إِلَىٰ رَبِّكَ كَيْفَ مَدَّ الظِّلَّ وَلَوْ شَاءَ لَجَعَلَهُ سَاكِنًا ثُمَّ جَعَلْنَا الشَّمْسَ عَلَيْهِ دَلِيلًا

“Tidakkah engkau melihat kekuasaan Tuhanmu? Bagaimana Dia menjadikan bayang-bayang itu terbentang luas dan jika Dia kehendaki tentulah Dia menjadikannya tetap (tidak bergerak dan tidak berubah). Kemudian Kami jadikan matahari sebagai tanda yang menunjukkan perubahan pada bayang-bayang itu.”

[al-Furqan: 45]

Bayang-bayang yang terjadi adalah salah satu bentuk nikmat Allah kepada makhluk di bumi. Dengan adanya bayang-bayang, manusia dapat mengambil manfaat mendirikan tempat tinggal bagi mencari keselesaan dan cuaca yang nyaman lagi tenteram.

Bayang-bayang sebenarnya terjadi apabila cahaya terhalang sesuatu benda. Kita tidak dapat bayangkan apa akan terjadi kepada makhluk di dunia ini sekiranya cahaya matahari memancar tanpa terhalang kepada benda lain, manusia dan haiwan pasti akan terdedah kepada kepanasan yang boleh memudaratkan mereka.

Mengikut ahli Sains, bayang-bayang merupakan indikator yang penting dalam kehidupan manusia. Ia tidak akan terjadi sekiranya tidak ada sumber cahaya yang sangat terang. Bayang-bayang sebenarnya dapat dimanfaatkan untuk menentukan arah dan jarak antara dua tempat di permukaan bumi. Seorang Saintis yang dilahirkan sebelum Masihi, Erastothenes pernah menentukan radius planet bumi kira-kira lebih daripada 2,200 tahun silam melalui bayang-bayang.

Selain itu, penggunaan teknik bayang-bayang akibat cahaya matahari adalah mudah dan paling tepat untuk menentukan arah kiblat kerana pada masa tersebut, matahari berada tepat di langit latitud Kaabah. Sekiranya semua orang yang dapat melihat matahari dan menghadapkan wajahnya ke sana pada ketika itu, maka dia telah menghadapkan wajahnya tepat ke kiblat.

Ini dapat dibuktikan juga melalui bayangan sesuatu objek yang tegak lurus di atas tanah yang tidak terlindung, maka bayangan tersebut akan membentuk garis arah ke kiblat. Cara mengukur arah kiblat melalui cara yang dinyatakan di atas adalah lebih tepat dan teliti jika dibandingkan dengan penggunaan teknik kompas.

Sama-samalah kita tafakkur ayat-ayat suci al-Quran.

USTAZ DATO’ BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
19 Ramadan 1439H – HARAKAHDAILY 4/6/2018