Bangunan berisiko tinggi berbahaya

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) bimbang dengan berita bahawa hampir separuh daripada 8,638 bangunan berisiko tinggi di negara kita gagal mendapat Sijil Perakuan Kebakaran (FC) yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Advertisement

Empat bulan yang lalu satu insiden kebakaran di bangunan KWSP di Jalan Gasing, Petaling Jaya di mana kebakaran yang bermula mampu merebak dengan cepat akibat dinding bahagian luar yang diperbuat daripada bahan bukan kalis api.

Kepada kami, pendedahan mengenai bahan yang digunakan bukan hanya mengejutkan tetapi juga memalukan, memandangkan ia adalah bangunan kerajaan yang melanggar spesifikasi yang telah ditetapkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Selepas insiden itu, CAP menggesa pihak berkuasa supaya menjalankan pemeriksaan mandatori ke atas semua bangunan tinggi di seluruh negara untuk memastikan spesifikasi keselamatan dipatuhi.

Baru-baru ini, satu laporan berita melaporkan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat memastikan lebih daripada 4,000 bangunan di negara ini tidak mempunyai ciri-ciri ini: sistem pencegah kebakaran, pasukan pengurusan keselamatan kebakaran, dan struktur bangunan yang mematuhi spesifikasi keselamatan kebakaran (hasilnya perlu diubah suai); tetapi pihak jabatan tidak mengambil tindakan terhadap pemilik bangunan ini melainkan ia berada dalam keadaan “kritikal”.

Dilaporkan juga sebaik bangunan mendapat FC, pemilik bangunan akan mengubah suai bangunan sehingga ia tidak lagi mematuhi spesifikasi keselamatan kebakaran.

Laporan berita itu menunjukkan bahawa orang ramai pada umumnya masih tidak menganggap isu keselamatan kebakaran sebagai sesuatu yang serius seperti yang sepatutnya.

CAP menggesa Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk mengambil tindakan segera terhadap semua bangunan berisiko tinggi yang tidak mengikuti spesifikasi keselamatan kebakaran (malah jika senarai spesifikasi keselamatan kebakarannya panjang dan tidak dianggap dalam keadaan “kritikal”); dan menjadikan ia mandatori bahawa bangunan berisiko tinggi mestilah diperiksa oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat selepas setiap kerja ubah suai malah jika sudah mempunyai FC. Jabatan Bomba dan Penyelamat perlu menjalankan pemeriksaan secara rambang dan mengejut ke atas bangunan lama.

SM MOHAMED IDRIS
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)