Fathul Makkah: Islam kuasai Tanah Suci

MAKKAH, tanah suci yang terletaknya Baitulllah adalah bumi dicinta oleh Rasulullah S.A.W. Di sinilah Baginda S.A.W dilahirkan dan diangkat menjadi Rasulullah. Setelah 13 tahun berdakwah, dan dakwahnya ditolak oleh orang Makkah, Nabi S.A.W telah berhijrah ke Madinah dalam tahun 622M, tetapi Baginda S.A.W tetap berdoa supaya Baitullah menjadi kiblat bagi umat Islam. Dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiyah pada 6H, Nabi S.A.W telah disekat daripada memasuki Makkah, maka berlaku gencatan senjata selama 10 tahun melalui perjanjian ini.

Advertisement

Perjanjian Hudaibiyah yang mengikat umat Islam dan sekutu untuk tidak berperang dengan kaum Musyrikin Makkah dan sekutu mereka, ternyata akhirnya dicerobohi oleh Bani Bakr (sekutu Quraisy) yang menyerang Bani Khuzaah (sekutu Islam) yang merosakkan perjanjian ini. Bani Khuzaah yang banyak memeluk Islam telah diserang oleh Bani Bakr dengan dibantu oleh kaum Quraisy Makkah. Ini merupakan pengkhianatan terhadap Perjanjian Hudaibiyah. Usaha pemimpin Makkah, Abu Sufian pergi Madinah untuk memperkukuhkan semula perjanjian telah gagal, yang akhirnya membuka ruang untuk Islam menguasai Makkah.

Bergerak dari Madinah: Strategi Pembukaan Makkah

Nabi S.A.W telah menuntut kepada Abu Sufian supaya Quraisy membayar diyat di atas pembunuhan 20 orang Bani Khuzaah, Quraisy memutuskan hubungan dengan Bani Bakr dan Perjanjian Hudaibiyah terbatal. Kegagalan rundingan Abu Sufian lantaran pengkhianatan orang Quraisy dan Bani Bakr, telah menyebabkan Nabi S.A.W menyusun langkah menuju ke Makkah. Dengan 10,000 tentera, Baginda S.A.W bergerak dari Madinah tanggal 10 Ramadan 8H dan mengambil masa lapan hari untuk tiba di sempadan Makkah. Kota Madinah ditinggalkan kepada Abu Ruhm al-Ghafiri sebagai imam menggantikan Nabi S.A.W.

Sebaik sahaja tiba di perbatasan Makkah di Dzu Tuwa, Nabi S.A.W menyusun pergerakan dengan membentuk empat pasukan yang bergerak dari arah berbeza untuk mengepung Makkah. Khalid al-Walid bergerak dari bahagian Selatan Makkah melalui Kota al-Lith, Zubir al-Awwam memimpin ketumbukkan di Bukit Kada’ dan memacak bendera Islam di al-Hajun, Abu Ubadah al-Jarrah pula bergerak bersama pasukannya ke tengah-tengah Kota Makkah, sedang Saad bin Ubadah memimpin pasukan Islam yang masuk dari Barat arah Jeddah. Dengan strategi yang tersusun ini, pada 20 Ramadan 8H, tentera Islam telah berjaya mengepung dan memasuki Kota Makkah tanpa sebarang pertempuran besar. Nabi S.A.W sendiri memasuki Makkah dari al-Hajun dengan diiringi oleh kaum Muhajirin dan Ansar, sebelum mereka bertawaf di Baitullah.

Penguasaan ke atas Makkah: Berakhirnya zaman berhala

Ketika memasuki Makkah, Nabi S.A.W telah menyenaraikan 17 orang yang dikehendaki kerana sangat memusuhi Islam, dan mengarah supaya orang Makkah yang berlindung di Baitullah dan rumah Abu Sufian dibiarkan selamat. Bapa saudara Nabi S.A.W, al-Abbas juga mengisytiharkan ke-Islamannya menjelang Nabi S.A.W masuk ke kota ini. Turut berbuat demikian ialah pemimpin Makkah sendiri, Abu Sufian bin Harb yang memeluk Islam pada hari yang sama di hadapan al-Abbas. Mereka kemudiannya menyaksikan tentera Islam memasuki dan menguasai Kota Makkah sepenuhnya menjelang 21 Ramadan 8H. Ketika serangan dibuat oleh Ikrimah bin Abu Jahal dan Sofwan bin Umayyah ke atas pasukan Khalid al-Walid, 28 orang Musyrikin berjaya dibunuh.

Setelah keadaan Makkah menjadi tenang dengan kejayaan Islam menguasainya dan peng-Islaman Abu Sufian, maka Rasulullah S.A.W mula bertindak untuk meruntuh ke semua 360 berhala di kawasan Baitullah dan juga menghancurkan berhala Ibrahim dan Ismail yang berada dalam Kaabah. Baginda S.A.W memerintahkan supaya Khalid al-Walid meruntuhkan tiga berhala utama Manat, Latta dan Uzza pada 25 Ramadan 8H. Hal ini sekali gus menjadikan ia penguasaan penuh Islam ke atas bumi Makkah dan menamatkan penyembahan berhala di tanah suci itu.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
20 Ramadan 1439 / 5 Jun 2018 – HARAKAHDAILY 5/6/2018