Temui staf UKOM, lawat Manis.fm

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah telah mengadakan satu pertemuan mesra dengan kakitangan Unit Komunikasi Terengganu (UKOM).
 
Pertemuan muhibah seluruh kakitangan diketuai Timbalan Pengarah UKOM, Muhd Aimin Tahir itu telah diadakan di bilik mesyuarat Exco tersebut di Wisma Darul Iman, di sini kelmarin.
 
Turut hadir ialah Pengarah UKOM baharu dilantik, Ustaz Sood Said yang kali pertama diperkenalkan kepada umum.
 
Mantan Timbalan Pengarah UKOM, Roslan Abdul Rahman yang turut hadir memaklumkan bahawa, dalam ingatan beliau inilah kali pertama Exco mengadakan perjumpaan dengan kakitangan UKOM.
 
Dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira 40 minit itu, sesi perkenalan dan soal jawab diadakan bagi mengenal pasti arah tuju baharu UKOM setelah bertukar kepimpinan.
 
Antara yang ditanya adalah kekuatan jentera, rutin tugasan dan aset, serta kedudukan kakitangan UKOM setelah kerajaan baharu mengambil alih.
 
Ustaz Mohd Nor turut mengumumkan nama baharu yang bakal menggantikan UKOM iaitu Agensi Penerangan dan Media Terengganu (APMT), selepas mendapat kelulusan mesyuarat Exco nanti.
 
Untuk rekod, UKOM ditubuhkan bagi membantu kerajaan negeri terdahulu memberi penerangan polisi-polisi kerajaan kepada rakyat Terengganu dan kebanyakan jawatan yang ada adalah lantikan politik.
 
Ustaz Mohd Nor dan Ustaz Sood kemudiannya bergerak ke stesen Manis.fm di Chabang Tiga bagi lawatan seterusnya seusai pertemuan dengan kakitangan UKOM itu.
 
Mereka berdua disambut oleh kakitangan Manis.fm dan diberikan penerangan oleh Pengurus Besar Manis.fm, Ozarizan Mohd Nor berkaitan operasi stesen radio milik kerajaan negeri itu.
 
Menurut Ozarizan, sepanjang tempoh dua tahun yang lalu, Manis.fm telah mencatatkan peningkatan pendengar sebanyak lebih tiga kali ganda iaitu dari 70 ribu kepada 240 ribu pendengar.
 
Beliau percaya, Manis.fm yang kawasan penyiarannya meliputi di negeri-negeri Pantai Timur itu berpontensi menjadi salah satu stesen penyiar utama dan berharap agar kerajaan negeri membantu mereka menjayakan cita-cita itu.
 
Beliau turut melahirkan keinginan untuk mengadakan lebih slot rancangan keagamaan yang mempunyai ramai peminatnya, memandangkan kerajaan sekarang mempunyai ramai tenaga ilmuan Islam.
 
Lawatan diakhiri dengan temuramah bersama Ustaz Mohd Nor dalam program bual bicara dan promosi kepada program Madinah Ramadan anjuran kerajaan negeri yang sedang berlangsung di Dataran Syahbandar. -HARAKAHDAILY 6/6/2018
 
Advertisement