PAS sambut baik titah Sultan Selangor

KOTA BHARU: PAS menyambut baik titah Tuanku Sultan Selangor yang menzahirkan kebimbangan terhadap orang Melayu yang cuba mengkritik institusi raja.

Advertisement

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, institusi Raja Melayu menjadi asas pembentukan negara dan perpaduan rakyat.

“Kita minta kerajaan segera membendung perbuatan menghina raja. Jangan sampai ia menjadi satu budaya.

“Pihak yang menghina raja-raja perlu dibawa ke mahkamah,” katanya ketika ditemui media selepas penyampaian kelengkapan Aidilfitri kepada golongan asnaf di Parlimen Kubang Kerian semalam.

Kelmarin Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dilapor melahir dukacita terhadap perbuatan pihak tertentu yang secara terbuka menghina dan memperlekeh institusi raja.

Menurut baginda, paling mendukacitakan hasutan supaya membenci Raja-raja Melayu itu dilakukan segelintir orang Melayu.

Oleh itu Tuan Ibrahim berharap kerajaan menangani segera isu menghina institusi raja khususnya Yang di-Pertuan Agong oleh pihak tertentu sekarang.

Menurutnya perkara itu harus dibendung sejak awal bagi memastikan ia tidak menular dan menjadi budaya baharu masyarakat di negara ini.

“PAS memandang serius isu tersebut kerana ia menyentuh soal pokok berkaitan perlembagaan negara iaitu institusi raja,” ujarnya.

Sebaliknya beliau berkata, konsep Malaysia Baharu yang dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan sekarang dilihat cuba memberi ruang kepada kebebasan media. – HARAKAHDAILY 10/6/2018