AKSB atasi gangguan bekalan air

KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) memberi jaminan gangguan bekalan air yang berlaku membabitkan beberapa kawasan akan diselesaikan menjelang hari lebaran.

Advertisement

Pengurus Besar AKSB, Ir Wan Mohd Zamri Wan Ismail berkata, kejadian itu berpunca dari kerosakan teknikal di loji rawatan air Merbau Chondong beberapa hari lalu.

Katanya, kerja-kerja penyelenggaraan sedang dilakukan bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air yang dihadapi pengguna di Machang, beberapa kawasan di Salor dan Gaal di Pasir Puteh.

“Kita telah berusaha membaiki pam dan berjaya mengoperasikan sepenuhnya, kini kita memerlukan masa agar bekalan air stabil semula pada bahagian agihan terutamanya di kawasan hujung.

“Hari ini di kawasan Salor terutamanya di Aur Duri, Pengkalan Kubor dan Dewan Beta telah mendapat air, jadi menjelang Aidilfitri kita jangka bekalan air akan pulih,” katanya selepas majlis berbuka puasa bersama anak yatim di Wisma Air Kelantan di sini petang semalam.

Seramai 90 anak yatim dari Rumah Kebajikan Anak Yatim Balkis, Taman Kenangan; Madrasah Raudhah Lundang dan Rumah Kebajikan Peyatim, Taman Sabariah diraikan pada program itu.

Mereka juga dibawa melawat dan diberikan taklimat mengenai operasi Loji Rawatan Air Kampung Puteh. Selain itu menerima sumbangan daripada Pengurus Besar AKSB.

Wan Zamri juga berkata, pengguna yang tinggal di kawasan hujung dan kedudukan tinggi seperti di Bukit Bakar, Machang dan Gaal Pasir Puteh belum pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun bagi mengatasi masalah itu AKSB menyediakan lori dan tangki statik sebagai persediaan sekiranya berlaku gangguan bagi lokasi-lokasi tersebut.

“Bagi menyambut hari lebaran semua fasiliti digerakkan ke seluruh jajahan selain mengenal pasti kawasan bermasalah kerana permintaan air meningkat dan akan berlaku gangguan.

“Cuma kita berharap pengguna menggunakan air secara berhemah, kalau penggunaan yang melampau akan menjejaskan kestabilan bekalan air,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/6/2018