Urwah Mas’ud syahid, Islamnya Bani Thaqif

KEPULANGAN Nabi S.A.W dari medan Tabuk disambut meriah oleh orang yang beriman, tetapi menjadi penghinaan kepada orang Munafik yang bersekongkol dengan Rom untuk menyerang Islam. Ketibaan Nabi S.A.W rupanya ditambahi keberkatannya oleh Allah S.W.T kerana ia segera didatangi oleh Bani Thaqif, salah satu kaum yang menghina Baginda S.A.W sedekad yang lalu, ketika dakwah dikembangkan di Taif. Kerana gagalnya dakwah di Taif inilah, Nabi S.A.W berhijrah ke Yathrib, kota yang kini dikenali sebagai Madinah.

Advertisement

Taif, sebuah kota pertanian yang bersuhu rendah di Tenggara Makkah menjadi pilihan Rasulullah S.A.W dalam misi dakwahnya. Ia berpunca daripada seorang pemimpin Bani Thaqif di Taif telah berkahwin dengan wanita Quraisy, manakala moyang Baginda S.A.W sendiri, Hasyim bin Abdul Manaf, juga mempunyai seorang isteri dari Bani Salim yang tinggal di Taif. Mereka diharapkan oleh Baginda S.A.W supaya dapat menerima Islam. Bani Thaqif ialah anak cucu kepada Amr bin Umair bin Auf bin Aqdah bin Ghirah bin Auf bin Thaqif. Mereka adalah pemimpin utama penduduk Taif.

Gagalnya dakwah ke Taif: Allah makbulkan doa

Selepas kematian Abu Talib bin Abdul Mutallib dan Khadijah binti Khuwailid, Nabi S.A.W berasa sangat sedih, dalam masa yang sama orang Quraisy mulai mengganggu kerja-kerja dakwah setelah Himayah (perlindungan) dari Abu Talib telah tiada. Baginda S.A.W cuba mendapatkan pertolongan dari Bani Thaqif di Taif, sekali gus melebarkan dakwahnya ke sana. Tetapi usaha Nabi S.A.W gagal apabila pemimpin Taif tiga bersaudara, Abdu Yalil, Mas’ud dan Habib bin Amr bin Umair bin Auf telah menolak dakwah Nabi S.A.W. Mereka sebalik merancang untuk berbuat jahat kepada Nabi S.A.W tetapi bimbang orang Quraisy membalas dendam, lalu diupah orang-orang bodoh untuk menghalau dan mencaci Nabi S.A.W sehingga Baginda S.A.W keluar dari Taif. Dalam peristiwa inilah Baginda S.A.W bertemu dengan seorang pemuda Nasrani bernama Addas di kebun milik Utbah bin Rabiah.

Ketika berada di kebun ini, Nabi S.A.W didatangi Jibrail yang meminta izin untuk bertindak ke atas penduduk Taif, tetapi Nabi S.A.W menolaknya kerana mengharapkan dari sulbi mereka lahir orang-orang beriman. Sebalik Nabi S.A.W berdoa:

“Ya Allah berilah petunjuk kepada kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui.”

Diriwayatkan bahawa, selain Addas yang beriman dengan Nabi S.A.W, turut beriman ialah delegasi Jin Nashibin yang bertemu dengan Baginda S.A.W di Nakhlah. Mereka telah beriman dan menyeru kaum jin untuk turut beriman kepada Nabi S.A.W. Selepas 10 hari di Taif, Nabi S.A.W kembali semula ke Makkah dengan harapan Bani Thaqif akan beriman kepada Allah suatu hari nanti.

Bani Thaqif mendatangi Nabi S.A.W dan menerima Islam

Ibnu Ishak mencatatkan bahawa ketika Nabi S.A.W menuju ke Madinah dari Tabuk, Baginda S.A.W didatangi oleh pemimpin Bani Thaqif, Urwah bin Mas’ud as-Tsaqafi. Beliau adalah anak kepada Mas’ud bin Amr bin Umair at-Tsaqafi yang pernah menolak dakwah Nabi S.A.W di Taif sebelumnya. Setelah beliau memeluk Islam, beliau diperintahkan mengajak kaumnya kepada Islam. Pada 27 Ramadan 9H, Urwah bin Mas’ud tiba di Taif dan mengajak kaumnya kepada Islam, tiba-tiba dia dipanah ketika sedang menyeru kepada Islam, lalu syahid. Kerana syahidnya Urwah bin Mas’ud ini, penduduk Taif telah bermesyuarat dan bersetuju untuk masuk Islam. Mereka mengirimkan Abdu Yalil bin Amr bersama pemimpin Bani Malik, Bani Yasar, Bani Salim dan Bani al-Harith untuk menemui Rasulullah S.A.W dalam bulan Ramadan itu juga.

Bermula dengan Islamnya Bani Thaqif dan penduduk Taif, maka dalam tempoh selepas kepulangan dari Tabuk menyaksikan Kabilah-kabilah Arab berbondong-bondong memeluk Islam sehingga turunnya Surah al-Fath, dan tahun 9H dinamakan Tahun Delegasi kerana banyaknya delegasi Kabilah Arab datang memeluk Islam. Antara kabilah yang penting memeluk Islam ialah Bani Tamim, Bani Saad bin Bakr, Bani Abdul Qais, Bani Khanifah, Suku Thayyi, Kabilah Hamdan, Bani Zubaid, Bani Kindah, Bani Jurasy, Gabenor Rom Farwah bin Amir, penduduk Najran dan Raja-raja Himyar. Sehingga wafat Nabi S.A.W pada Rabiul Awal 10H, seluruh Wilayah Tanah Arab telah tunduk kepada Islam.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
27 Ramadan 1439 / 12 Jun 2018 – HARAKAHDAILY 13/6/2018