Antara dipengaruhi dengan mempengaruhi

KETIKA dunia di zaman Falsafah Yunani, masyarakat ketika itu sangat mengkagumi Tokoh-tokoh Falsafah yang ada di sekeliling mereka. Nama-nama seperti Socrates, Plato, Aristotle dan ramai lagi, menjadi sebutan dan idola bagi masyarakat setempat, menunjukkan akan kekuatan mereka mempengaruhi khalayak. Sehingga kini falsafah-falsafah mereka masih didengari oleh generasi sekarang. Hidup rakyat ketika itu dikelilingi oleh ahli-ahli falsafah yang mana, jika mereka yang diangap kurang ternama berbanding dengan Tokoh-tokoh itu, hidup pada zaman sekarang, tidak mustahil mereka akan menjadi ahli falsafah terhebat berbanding kita yang ada sekarang ini. Begitulah gambaran kekuatan ilmu falsafah yang mereka miliki berbanding kita kerana faktor sekitar.

Advertisement

Begitu juga ketika zaman Firaun, ahli sihir mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Firaun kerana waktu itu ialah waktu ketinggian ilmu sihir yang diamalkan oleh masyarakat setempat. Apabila Firaun mendapat mimpi buruk, ahli sihirlah yang menjadi rujukannya. Ketika Nabi Musa diajak berlawan oleh Firaun, ahli sihir juga yang menjadi pertaruhannya, sehingga menjanjikan kedudukan yang mulia di sisinya. Sehinggakan Musa dikurniakan mukjizat seumpama sihir untuk melawan Firaun. Maka beramai-ramailah rakyat Mesir berusaha untuk menjadi ahli sihir kerana kedudukannya di sisi Firaun.

Suatu ketika, di negara-negara seperti Austria, Jerman dan sekitarnya, lahir begitu ramai ahli muzik seperti Beethoven, Bach, Mozart, Strauss dan lain-lain. Alunan muzik-muzik, kedengaran di sana-sini hasil daripada ciptaan-ciptaan mereka ini. Mereka yang digelar sebagai pintar muzik itu, mengepalai Orkestra bagi hiburan orang ramai di waktu itu. Ada muzik ciptaan mereka yang disiapkan hanya beberapa ketika sebelum persembahan tetapi lagu itu kekal menjadi siulan orang ramai sehingga kini. Begitu hebatnya mereka dan bakat mereka ini dikagumi sehingga kini kerana lahirnya mereka di sekeliling ahli di bidang muzik.

Di Brazil, bola sepak dianggap sebagai agama atau kepercayaan oleh rakyat mereka. Jika pasukan mereka menang, itu biasa kerana mereka hanya tahu bahawa mereka mesti menang. Tetapi jika kalah, maka siaplah pasukan mereka untuk dihina dan dicaci. Tiada tempat bagi kekalahan untuk pasukan Brazil. Pemain-pemain yang lahir dari Brazil bertebaran ke seluruh pelusuk dunia mencari tempat bagi bermain di kelab-kelab ternama. Pemain yang biasa di Brazil, boleh jadi menjadi antara pemain terbaik di negara yang tidak menjadikan bola sepak sebagai sukan utama. Semua ini kerana pengaruh persekitaran.

Di zaman kegemilangan ilmu Islam, Ulamak-ulamak menjadi nadi penting masyarakat. Kebanjiran Ulamak-ulamak ini membuka dimensi baharu ilmu Fiqh dan memberikan pandangan-pandangan baharu tentang hal berkaitan dengannya. Masing-masing berusaha menjadi salah seorang Ulamak yang mengeluarkan Fatwa, mengajak manusia dan membuka jalan ke arah kebaikan kerana mereka memahami akan betapa besarnya pahala yang akan diperolehi jika ilmu yang bermanafaat itu disebarkan. Tidak pelik jika Ulamak biasa pada zaman itu mungkin menjadi orang penting dalam agama di zaman ini. Perlumbaan itu adalah hasil daripada kehendak ketika itu.

Inilah keadaan yang lahir, hasil daripada pengaruh keadaan sekeliling yang dibentuk oleh suatu gelombang yang mengubah pemikiran masyarakat mengikut kepada acuan kehendak sekeliling pada waktu-waktu itu. Sangat janggal jika ada yang tertinggal atau tidak mahu mengikut arus perubahan itu kerana mereka akan dipandang sebagai pelik, menyalahi kebiasaan zaman. Pun begitu, bukan semestinya yang majoriti itu betul dan minoriti itu salah. Ianya adalah tekanan sekeliling kehidupan yang boleh mencorakkan manusia setempat.

Pada waktu ini, Malaysia sedang dilanda pengaruh fitnah yang sangat dahsyat. Apa sahaja yang dikatakan dari sebuah pihak yang menguasai sekarang, dianggap betul walaupun tiada bukti. Apa sahaja yang cuba dinafikan oleh pihak tertuduh, adalah penipuan walaupun ada buktinya. Saya amat takut keadaan ini telah mempengaruhi cara hidup kita. Apa lagi apabila melihat sang agamawan turut galak terlibat dalam membentuk persepsi negatif ini dalam kalangan masyarakat kerana pengaruh mencipta persepsi ini begitu membahang di sekeliling, mereka terpengaruh.

Dengan hanya menunjukkan beberapa keping gambar di FB, ada agamawan sama ada sengaja atau tidak, telah membuka seluas-luasnya pintu fitnah untuk masyarakat turut sama mencipta fitnah. Beberapa keping resit Infaq wajib oleh organisasi parti yang sebenarnya boleh jika beliau mahu memanggil pihak terlibat untuk penjelasan rasmi, bersesuaian dengan kedudukannya, tetapi beliau menyerahkan urusan itu kepada netizen untuk mengadilinya. Sama perangai dengan seorang Menteri Kewangan yang menyebarkan apa yang didakwa sebagai keburukan pemerintahan yang lalu di alam maya, tetapi tiada satu pun tuduhan dibawa ke mahkamah, sebaliknya pasaran saham negara pula yang jatuh.

Agamawan sebegini mungkin tidak diperlukan dalam masyarakat yang inginkan kedamaian. Sebelum ini juga ada agamawan telah secara sinis menyindir Raja di negeri Antah Berantah yang katanya walaupun permaisurinya memakai tudung, tetapi istana yang mereka duduki bernilai lebih berbillion ringgit. Sayang kerana beliau gagal menyentuh tentang kisah Raja di negeri Entah Apa-apa iaitu negeri beliau berkhidmat yang bukan sahaja permaisurinya langsung tidak memakai tudung, malah puteri dan puteri menantunya juga. Itu belum dikira lagi premis judi yang ada yang tidak ditutup. Sangat suka beliau dengan sebaran cerita sensasi keburukan orang lain yang nyata bukan daripada ajaran Rasulullah. Ironinya, apabila orang yang beliau suka membuat onar, mulutnya terkunci atau No Big Deal. Begitu jelas dipengaruhi dengan keadaan sekeliling yang suka membuat persepsi dan fitnah.

Kini kita yang ada, yang sukakan kebenaran, terpaksa menongkah arus melawan segala tohmahan, persepsi dan juga fitnah yang sedang menggila. Kita terpaksa memilih untuk mempengaruhi dan bukannya dipengaruhi keadaan sekeliling ini. Kita, sebenarnya takut dengan hari pertemuan dengan Allah, sedaya upaya menghindari sikap mengfitnah ini dan berkerja keras menepis segala fitnah ini walaupun kita kalah. Jangan kita dipengaruhi oleh mereka. Sebagaimana jawapan Presiden PAS ketika ditanya adakah boleh menggunakan sedikit penipuan bagi membalas kempen fitnah lawan? Dengan tegas beliau menjawab, buatlah apa yang sepatutnya, tetapi jangan sampai haram. Jika boleh apabila makhruh pun, berhentilah.

Itulah Presiden kami dan kami bangga dengan sikapnya yang tegas dengan kehendak Islam. Ibarat ikan di dalam lautan yang tidak menjadi masin dek kerana air laut di sekelilingnya, ada jati diri kita sendiri, kalah menang sebenar adalah di akhirat, bukan di dunia. 

MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar
21 Jun 2018 – HARAKAHDAILY 21/6/2018