Umno di ambang revolusi

UMNO dengan tiga juta ahlinya yang dilihat padat menjelang PRU14 tidak siapa dapat menduga ia boleh diumbang-ambingkan dalam waktu yang terdekat. Demikian juga tidak siapa dapat meremehkan PKI – Partai Komunis Indonesia – yang anggotanya dua juta – disokong pula oleh Presiden Sukarno boleh diapa-apakan sebelum kegagalannya merampas kuasa yang dinamakannya Gestapu (Gerakan September Tiga Puluh), 1965.

Advertisement

Kegagalan Gestapu itu menjadikan dua juta ahli PKI itu hancur tidak berbenih hingga hari ini.

Umno nampak padat itu seolah-olah lompang di dalam. Berikut kekalahan yang tidak disangka ramai malam 10 Mei lalu, tiga juta ahlinya termangu-mangu, hilang taring dan melutut kepada kehendak demokrasi.

Ada suara terpinggir dari mereka menuntut Najib berundur justeru menerima tanggungjawab atas kekalahan pertama kali itu. Sebelum suara itu merebak seperti reaksi umum terhadap suara seorang kanak-kanak yang bertanya mengapa Raja tidak berbaju dalam cerita rakyat Raja Berbaju Baru, maka Najib melepaskan jawatan Presidennya.

Jika Najib tidak cepat berundur mungkin ruap panas hati Umno meletup. Najib tinggalkan Umno kepada Zahid Hamidi dan Hishammuddin Hussein bagi menyempurnakan Perhimpunan Agung Umno Jun 30 ini. Tidak tahan dengan ujian itu Hishammudin tinggalkan Zahid seorang diri.

Justeru Majlis Tertinggi Umno bubar berikutan pemilihan pimpinan pada Jun 30 ini, semua ahli Umno bangun memburukkan amalan dan tradisi kepimpinan lamanya kecuali yang di Pekan, buruk baik mereka bersama Najib seperti setianya Hang Tuah kepada Raja Melaka.

Tidak pernah jawatan Presiden itu dicabar kecuali ia kosong dalam dua sejarah. Pertama ketika ia dikosongkan oleh Dato Onn. Tunku Abdul Rahman Putra dan Haji Ahmad Fuad bertanding. Ada yang kata calon ketiga Mustapa Hussein dari Larut-Matang. Sejarah kedua berikutan kematian Tun Razak. Pemangku Presiden Perdana Menteri Hussein Onn dicabar oleh Haji Sulaiman Palestin.

Tiada yang berani mencabar pemimpin kecuali Sulaiman Palestin. Sama tidak beraninya orang menegur Najib termasuk Khairy Jamaluddin. Semuanya takut jadi macam TS Muhyiddin Yassin.

Sesudah Umno tidak berketua, Zahid yang digerun semasa Najib berkuasa dan diamanah Najib sebagai warisan pertamanya memimpin parti tidak dipeduli lagi oleh setengah Umno. Enam orang mencabar Zahid dan yang popularnya Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaludin.

Kebanyakan ahli berbagai lapisan menyalah dan memburukkan pimpinan selama ini. Kerana Najib melepaskan diri dari awal, Zahid yang setia itulah memikul luahan semua terhadap Umno selama ini. Ku Li tawar diri jadi calon Presiden dari zaman Mahathir hingga zaman Abdullah Badawi setiap kali ada pemilihan. Tetapi tidak pernah tawar diri semasa Najib. Sesudah tinggal Zahid dan dipercayai selepas istikharah, dia jadi calon.

Khairy melepaskan diri dari belenggu yang ditinggalkan Najib, menggunakan politik beri laluan kepada anak muda untuk memenangi pertandingan Presiden itu. Politik anak muda ini mendominasi seruan semua parti politik dalam PRU14.

Khairy tinggalkan TN50, tumpu isu anak muda. Zahid tiada pilihan bergantung kepada siapakah agaknya yang masih setia kepada Najib. Satu cara mudah menang ialah memburukkan Najib, tetapi Zahid tidak mampu memburukkan Najib. Jika dia memburukkan Najib, seperti memburukkan diri sendiri.

Selepas Umno dan Najib tumpas ini, semua oang Umno bangun. Mana-mana ketua bahagian pertahankan jawatan dicabar. Shahidan Kassim dan Noh Omar kiranya masih kekal, belum tentu selamat tiga tahun lagi.

Umno kini berada di ambang revolusi dalaman. – HARAKAHDAILY 24/6/2018