Apabila prinsip dibuang

KIRA-kira tiga hari, saya berpeluang duduk bersama teman-teman di Wisma Darul Iman bagi membantu beberapa kerja yang ada. Dalam masa tiga hari itu, dapat saya kongsikan perihal pengalaman melihat beberapa kes yang agak menarik untuk dijadikan iktibar bersama.

Advertisement

Pada hari pertama, saya menyertai beberapa orang teman dalam satu sesi pengenalan kepada beberapa jawatan yang baharu dilantik bersama dengan kakitangan yang terdahulu. Senang diungkapkan di sini ialah kakitangan lantikan politik oleh Umno. Kebanyakkan mereka masih terkejut dengan kekalahan Umno, tetapi mereka mengawal keadaan dengan lakonan-lakonan yang kita sedia maklum.

Keesokan harinya muncul salah seorang daripada orang Umno yang masih berjawatan kontrak (walaupun sudah berpuluh tahun berkhidmat dengan Umno. Hairan sungguh) di pejabat. Saya hanya sempat bercakap dengan beliau ketika beliau sudah keluar dari pejabat. Dengan mata yang merah, nada suara yang sugul, beliau hanya mengatakan bahawa, beliau telah menerangkan segala-galanya kepada bos dan meminta saya mendengar sendiri daripada bos. Kemudian beliau berlalu.

Setelah ada sedikit ruang dengan bos, saya bertanya apa isi kandungan perjumpaan itu. Bos memaklumkan orang Umno itu merayu dan menangis mohon kontraknya disambung dan bersedia bila-bila masa untuk menghantar borang menjadi ahli PAS. Saya terdiam mendengarnya tanpa meminta komen daripada bos kerana saya rasa saya sudah dapat menjangkakan keputusan bos. Saya tidak mahu campur. Agak lucu, walaupun beliau merayu kepada bos, tetapi beliau sebenarnya telahpun meminta sokongan daripada MB. Jika benar ikhlas mahu merayu disambung kontrak, kenapa MB turut dilibatkan bersama. Belum apa-apa sudah memberi tekanan. Kebiasaan Umno, begitulah lagaknya.

Keesokan harinya, ketika saya ke tingkat 16, saya terjumpa dengan seorang rakan sekampung. Walaupun dia ingat-ingat lupa tetapi saya memang mengenalinya. Kami mulanya berbual-bual kosong, bertanya khabar. Dia yang sememangnya saya tahu pernah menjadi ejen kiraan undi untuk BN di kampung, sekarang sudahpun berkopiah putih. Entah kenapa, tiba-tiba tanpa ditanya, beliau kemudian bercerita mengenai kehebatan beliau yang baru sahaja berjumpa dengan Tun Daim Zainuddin. Tun Daim selalu meminta pertolongan beliau membuat pemindahan wang, katanya.

Tidak berhenti di situ sahaja, beliau juga memaklumkan bahawa beliau juga pernah menjadi broker balak, sentiasa membantu orang kampung. Malah Pangsapuri Ladang Gemilang yang berjaya diduduki oleh orang kampung dengan cara sewa beli itu adalah hasil bantuan beliau berurusan dengan MB ketika itu, Dato’ Seri Ahmad Said, dakwanya lagi. Lebih jauh sembang beliau, beliau memberitahu baharu sahaja balik dari Turki, berjumpa dan berpelukan dengan Erdogan. Saya mengangguk-anggukkan kepala, tanda boring sebenarnya. Tetapi mungkin dia tidak faham. Sebelum lebih banyak lagi beliau bercerita, saya terlebih dahulu meminta diri.

Sebenarnya saya tahu yang dia hanya tinggal di pangsapuri itu dan kelulusan sekolah biasa-biasa sahaja. Bukan mahu menghina, tetapi mana ada orang kuat Umno yang baik dengan Tun Daim, baik dengan MB Umno duduk di pangsapuri sebegitu? Sekurang-kurang ada rumah atas tanah sendiri dan ada kontrak juta-juta. Paling lekeh kontrak potong rumput. Dia kemudiannya masuk ke Pejabat MB, bertemu kawan katanya. Cara cakap sudah macam berubah kepada PAS. Entahlah, jenis cari makan, biasalah.

Dua watak yang saya bawakan kepada anda ini adalah watak-watak yang tidak pernah gagal ada di mana-mana, terutama dalam politik. Sekarang ini di Wisma Darul Iman, terlalu banyak watak sebegini. Mereka hidup berdasarkan ihsan orang. Takut mengaku siapa mereka sebenarnya, tiada jati diri. Mereka takut miskin, takut hilang pendapatan, hilang jawatan, tetapi tidak takut hilang maruah. Walaupun ada sifat belas kasihan, tetapi melalui sejarah lampau, golongan inilah yang kembali menerkam orang yang menolong mereka apabila mereka menang kembali. Maka Kerajaan Negeri Terengganu perlu berhati-hati.

Kita juga boleh melihat kehilangan prinsip oleh wakil-wakil rakyat Umno di seluruh negara. Mereka bertempiaran terjun meninggalkan kapal mereka yang mereka anggap akan karam bila-bila masa. Ketika ini belian borong wakil rakyat Umno berlaku. Hilang prinsip oleh kedua-duanya, Umno dan penerimanya. Dahulu Umno ini dianggap sebagai golongan yang perlu dihapuskan. Sekarang disucikan sehingga ada yang diangkat menjadi Pegawai Khas Menteri Besar. Begitu drastik kebencian bertukar menjadi kesayangan. Tidak ketinggalan juga parti-parti komponen BN yang lain, secara berjemaah meninggalkan BN dan merapatkan diri dengan PH. Hipokrit terlalu jelas.

Saya juga melihat ramai teman-teman saya dari PAS juga sekarang berubah arah. Selepas PRU, mereka semakin galak mengaku ‘orang gomen’ sebab menyokong PH. Jauh daripada itu, aktiviti-aktiviti mempertahankan Kerajaan PH yang mereka lakukan, jauh lebih hebat daripada orang asal PH sendiri. Tanpa mengira fitnah atau tidak, mereka sebarkan segalanya bagi menjulang Kerajaan PH. Terus terang saya katakan di sini kepada teman-teman dalam PH, berhati-hatilah dengan golongan ini. Oportunis seperti ini hanya akan menyusahkan anda semua. Lakonan mereka hebat, tindakan mereka bijak. Lebih PH daripada PH.

Ketika ini, saya secara peribadi menghormati rakan-rakan saya yang asalnya dari dahulu Umno dan kekal sehingga kini dengan Umno. Bukan saya katakan perjuangan mereka benar, tetapi ketahanan prinsip itu yang menjadi nilai. Mereka yang kekal dalam parti sekarang ini tidak takut dengan kekalahan perjuangan mereka. Mereka merasakan mereka masih berpeluang. Tidak hanya ketika senang bersama parti, tetapi sewaktu susah juga. Kita tidak perlukan lalang bagi membina negara. Apatah lagi kita sememangnya mengenali spesis lalang yang menyusahkan ini.

Namun untuk bait terakhir ini, suka saya coretkan pendapat saya berkenaan prinsip pimpinan PH. Bagi saya, prinsip Siti Kassim iaitu penyokong tegar PH, untuk menghapuskan keistimewaan Islam seperti sekolah Tahfiz, Jakim dan sebagainya, walaupun ianya salah tetapi Siti tetap dengan pendiriannya semenjak PH belum menang sehingga sekarang. Dalam hal ini, prinsip Siti Kassim lebih dihormati berbanding dengan Menteri PH yang dikatakan beragama, tetapi gagal menepati janjinya bagi menghapuskan tol pada Hari Raya baru-baru ini walaupun baik tujuannya. Ditambah lagi dengan ugutan beliau kepada Naib-naib Canselor, yang suatu ketika dahulu tindakan sebegini dikutuk golongan mereka sebagai mengongkong Pendidikan Negara. Di sebalik janji-janji yang gagal beliau tunaikan, beliau memberikan sesuatu yang tidak dijanjikan. Begitulah apabila prinsip sudah dibuang.

MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar
26 Jun 2018 – HARAKAHDAILY 26/6/2018