PAS sedia bekerjasama atas perkara baik

DrAhmadFakh

PAS bebas untuk bertemu dengan mana-mana parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) atau sesiapa sahaja untuk bertukar-tukar fikiran, berbincang bagi menyelesaikan sesuatu masalah menerusi konsep taawun yang diamalkan.

Advertisement

Tindakan seumpama ini bertepatan sepertimana yang terkandung di dalam Al-Quranul Karim agar bertawaaun yakni saling bantu membantu serta tolong menolong dalam perkara baik dan tidak sesekali bekerjasama dengan perkara kemungkaran dan maksiat.

PAS juga boleh bersetuju dan membuka ruang kerjasama seandainya sesuatu perkara baik terutama mendatangkan kesejahteraan kepada rakyat namun tegas menentang serta menolak akan perkara yang boleh membawa kesan buruk terhadap rakyat, tanah air dan agama.

Oleh itu, PAS berpendapat adalah tidak menjadi kesalahan menerima persepakatan baik dari Adun Barisan Nasional (BN) yang mempunyai peranan yang sama sebagai pembangkang di dalam Dewan Undangan Negeri untuk berfungsi selaku ‘semak dan imbang’ dalam jumlah 18 kerusi agar menjadi lebih efisyen serta berkesan keatas kerajaan negeri pimpinan Blok Pakatan Harapan hari ini.

Malah budaya seumpama itu telah pun dilakukan pada penggal lalu bersama Adun-adun DAP, PKR, PAN dan Bersatu untuk menjalinkan sepakatan jitu khususnya dari pembangkang untuk menghadapi kerajaan negeri ketika itu dipimpin oleh Barisan Nasional.

Selain itu, PAS juga bertemu dan berbincang dengan YAB Menteri Besar Kedah yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan Kedah bagi mencari ruang kesepakatan untuk menyelesaikan kemelut isu speaker atas jemputan beliau. Malangnya, ada dikalangan pimpinan dari parti blok Pakatan Harapan Kedah yang membantah tanpa alasan munasabah selain melontarkan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas dengan cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan yang ditawarkan oleh PAS.

Pemimpin parti-parti politik Blok Pakatan Harapan terutama dari PAN seharusnya memahami akan situasi kedudukan Kedah sekarang iaitu 18-18 yang bukan sahaja menimbulkan masalah berkaitan pelantikan Speaker Dun malah untuk membentuk kerajaan juga menjadi satu kesukaran.

PAS mengambil pendekatan berbincang dengan bersandarkan konsep taawun bagi mengelak daripada berlakunya pilihan raya negeri (PRN) walau pun ada suara-suara sumbang yang menuduh kononnya PAS tamak dan gila kuasa. Walau bagaimanapun sekiranya Pakatan Harapan merasakan PRN merupakan jalan penyelesaian tuntas, PAS bersedia menghadapinya.

DR AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKHRURAZI
Pesuruhjaya PAS Kedah
25 Jun 2018 – HARAKAHDAILY 25/6/2018