PH tumpang gelombang rakyat tolak Najib

MUNGKINKAH kerana terlalu ghairah mengatur dendam politik menyebabkan ekonomi negara menjadi lembab? Apabila pelabur menjual saham mereka alamatnya ekonomi negara tidak sihat.

Advertisement

Kata calon Presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, kenyataan Menteri Kewangan daripada DAP menjadi punca pelabur menjual saham. Sebelum ini Lim Guan Eng mendedahkan hutang kerajaan mencecah RM1 trilion.

Bagi seorang pensyarah, penurunan nilai saham syarikat utama sekiranya berlanjutan beberapa bulan akan memberi kesan terhadap pelaburan jangka panjang.

Begitu juga pensyarah Univesiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng dilapor menyebut kerugian tersebut berlaku disebabkan beberapa siri pengumuman kerajaan.

Maka tidak hairanlah ada pihak menggambarkan pemimpin DAP belum mampu mengubah rentak politik biar pun sudah bergelar menteri persekutuan.

Agenda mencanang hutang RM1 trilion sebelum ini kerja pembangkang. Sebaliknya di bawah Malaysia Baharu, tugas itu dipikul sendiri kerajaan.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mungkin berniat baik bagi memberitahu rakyat keadaan sebenar. Namun di sebalik niat yang dikatakan baik itu ada pihak mengambil kesempatan.

Ruang kesempatan itu bukan direbut orang politik sebaliknya pelabur. Inilah ketakutan baru yang dicetus kerajaan PH yang masih lagi belum mampu keluar dengan ‘stail’ lama.

Mereka membangkang sejak merdeka sehingga 9 Mei lalu. Namun tiba-tiba pada Pilihan Raya Umum ke-14 mereka dianugerah kuasa yang begitu besar.

Menguasai kerajaan persekutuan dan banyak negeri mungkin tidak pernah diimpikan mereka. Mohamad Sabu yang dikenali sebagai pejuang rakyat sebelum tiba-tiba sekarang berjawatan Menteri Pertahanan. Begitu juga Salahuddin Ayub bukan lagi pemimpin pembangkang, sekarang beliau Menteri Pertanian.

Tidak kurang juga dengan Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Anthony Loke sudah sudah bergelar menteri. Inilah anugerah yang tiba-tiba menukar watak mereka sebagai pembangkang tegar kepada menteri kabinet.

Dalam tempoh dua bulan untuk menukar watak dan perilaku pembangkang kepada kerajaan tentunya agak kekok dan canggung.

Maka tidak hairanlah ramai yang mengomel apabila Menteri Pertanian mengadakan majlis iftar di Kota Bharu pada Ramadan lalu, pesertanya ramai daripada PAN.

Sedangkan kata nitizen program itu anjuran Kementerian Pertanian. Berapa kerat pegawai yang hadir, kata mereka.

Inilah yang dikatakan politik versi baharu yang sedang melanda tanah Melayu sekarang. Bagi makcik dan pakcik di kampung, ramai seakan-akan tidak percaya Mat Sabu muncul setiap malam di televisyen.

Sedangkan sebelum ini sejak berpuluh tahun lampau mereka sering melihat Mat Sabu ditahan polis ketika demontrasi diadakan.

Politik tanah Melayu sekarang sudah bertukar 360 darjah. Dato’ Seri Najib Razak dan Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang saban malam muncul di kaca tv sudah jarang kelihatan.

Inilah kepelikan yang memberi wajah baru kepada politik Malaysia dewasa ini. Mungkinkah perubahan yang berlaku secara total itu kerana kekuatan PH dengan akar umbinya.

Namun bagi Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, fenomena yang berlaku sekarang hanya sekadar kebetulan. PH menumpang arus penolakan rakyat terhadap Najib dan Umno. – HARAKAHDAILY 25/6/2018