Tahniah, takziah Asyraf Ketua Pemuda Umno

TIDAK pasti apakah patut diberi tahniah atau takziah kepada Asyraf Wajdi Dusuki atas pemilihannya menjadi Ketua Pemuda Umno menggantikan kekosongan jawatan yang ditinggalkan oleh Khairy Jamaludin?

Advertisement

Awalannya boleh diberi tahniah jadi Ketua Pemuda Umno Malaysia itu, satu jawatan politik yang ketiga pengaruhnya bagi parti sekular Melayu/Islam itu selepas Presiden dan Timbalan Presidennya.

Pada zaman parti itu berkuasa, ia selalu dilihat pada Umno dan kerajaan kerana ia memang satu sayap yang penting dan kedudukannya Ketua Pemuda dilihat sebagai pelapis yang terdekat dengan tampuk kekuasaan.

Tetapi Asyraf adalah Ketua Pemuda Umno yang pertama sesudah ia tidak berkuasa dan sesudah parti itu tidak dipastikan berduit lagi atau tidak. Keadaannya mungkin boleh disamakan pembentukan sayap itu di bawah Kapten Hussein Onn seletah ia ditubuhkan. Tiada kuasa dan perjungan parti itu adalah untuk menegakkan kerajaan sendiri. Setelah ketiadaan Dato Onn dan Kapten Hussein perjuangannya ditingkat kepada kemerdekaan.

Lepas kemerdekaan ia sepatutnya mengisi kemerdekaan dengan cita-cita penubuhan Umno. Tidak pasti perjuangan itu ada atau tidak tetapi yang dilihat ia jadi tempat orang cari makan, makan gaji dan mencari kekayaan.

Sekarang ia sudah bukan jadi empat orang cari makan. Berlambak anak muda tidak dapat makan gaji. Apa lagi ia sudah tidak berkuasa dan tidak dipastikan jadi parti berduit lagikah selepas ini.

Apakah anak muda sedia bersukarelawan jadi Pemuda Umno tidak mengutamakan duit seperti Unit Amal Pemuda PAS? Unit Amal keutamaannya amal, duit kedua atau ketiga.

Jika tiada kuasa itu setakat menjelang PRU15 boleh tahan lagi. Jika menunggu PRU16, takut Asyraf dibawa gelombang dulu dari Pemuda Umno.

Ia antara cabaran yang Asyraf terpaksa hadapi dan lalui. Jika boleh bertahan seperti Pemuda PAS sudah cukup, tetapi takut jadi Pemuda Parti Rakyat, hujung hilang pangkal lesap.

Hari-hari menjelang dua bulan tidak berkuasa ada saja orang keluar Umno, pemimpin Umno memberi laluan kepada anak muda dan mengumum diri bersara dari politik. Setiap pagi membaca akhbar bagi mengetahui siapa pula keluar Umno. Jika ini tidak dapat disekat, maka kita kena beri takziah kepada Asyraf.

Asyraf adalah anak muda beragama dan ahli agama dari Kelantan. Ibu bapanya membesar di tengah rakyat Kelantan yang menolak Umno. Orang Kelantan khususnya yang beragama berkampung bersama PAS. Amat kurang benih beragama di Kelantan bersama pimpinan Umno. Tun Razak pergi ke Mesir mencari benih beragama untuk bersama Umno. Dia dapat bapa Asyraf. Dia tidak jadi pemimpin Umno tetapi hingga pencen makan gaji dengan Umno.

Paling lama anak muda bersama Umno di Kelantan Tengku Razaleigh. Dia dikenali sebagai pemimpin Umno Gua Musang, bukan Kelantan atau persekutuan. Umno ambil Awang Adek dari Bank Negara untuk memimpin Kelantan. Orang lain jadi Gabenor Bank Negara, dia makan gaji dengan Mara.

Sekarang Umno ambil ahli agama memimpin Pemuda Umno. Ahli agama yang lain di Kelantan memilih PAS. Dia dilihat antara beragama yang rasional tetapi memilih Umno. Sudah dua kali dia mencuba nasib di Kelantan, rakyat Kelantan belum mahu Umno.

Bila orang persekutuan pula tidak mahu Umno lagi, bagaimana Asyraf hendak suap Umno kepada Kelantan. Jika dia memilih Pemuda PAS, politiknya mungkin senang. Tetapi dia memilih Umno ketika orang tak mahu Umno. Mungkin perlu diucap takziah. – HARAKAHDAILY 26/6/2018