Daripada mana harta keluarga Najib?

BANYAKNYA harta yang dirampas daripada milik keluarga Datuk Seri Najib Razak. Nilai lebih RM1 bilion. Wang tunai RM116.7 juta? Seutas rantai leher saja bernilai RM6 juta? Daripada mana kekayaan ini diperolehi? Gaji, menabung, pesaka atau daripada mana?

Advertisement

Sebab itu kita harapkan supaya SPRM dan pihak berkuasa boleh menyiasat terus mereka yang hidup mewah melebihi pendapatan. Jangan tunggu tidak ada kuasa baru ambil tindakan. Bertindaklah kepada siapa yang disyaki mendapat harta yang tidak sepadan dengan pendapatan walaupun masih berkuasa. Jangan sampai sudah jadi barah tahap 4, baru hendak bertindak.

Kesannya rakyat yang menderita. Keluar universiti kerja tidak ada. Biasiswa tidak ada. Hospital tidak cukup doktor pakar. Kos sara hidup meningkat. Harga rumah meningkat. Rakyat masih ramai tidak memiliki rumah dan lain-lain lagi.

Prinsip “kebenaran apabila berkuasa” kena buang. Bila tidak ada kuasa baru salah. Kerana prinsip ini akan menghancurkan negara. Tangkap sama ada yang berkuasa atau tidak berkuasa. Tidak ada siapa yang boleh mengatasi undang-undang. Kita tidak mahu apabila ada kuasa semua betul dan benar, kes boleh digugurkan. Apabila tidak ada kuasa , semuanya salah.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS
27 Jun 2018 – HARAKAHDAILY 27/6/2018