Perlak kembang dan baharukan pentadbiran

KERAJAAN Perlak telah berkembang menjadi sebuah kerajaan yang kukuh dalam tempoh 452 (840-1292M) tahun. Namun begitu, dalam tempoh kewujudannya, Perlak terpaksa berhadapan dengan beberapa kuasa besar yang menghalang ia dari berkembang pesat. Antara kuasa besar tersebut ialah Sriwijaya yang berpusat di Palembang, Langkasuka di Utara Semenanjung dan juga Kerajaan Chola (300-1279M) yang berpusat di Pantai Timur India. Ketiga-tiga kuasa politik ini berada di sekeliling Perlak, sedangkan Sriwijaya dan Langkasuka beragama Buddha, manakala Chola pula beragama Hindu. Halangan besar yang dihadapi oleh Perlak untuk berkembang ialah penduduknya beragama Hindu-Buddha, sedangkan kerajaannya telah Islam. Laporan Marco Polo pada 1292M jelas menunjukkan hakikat ini. Kerana itu, dalam tempoh 452 tahun itu, Kerajaan Perlak lebih memberikan fokus kepada dakwah daripada perluasan wilayah.

Advertisement

Perluasan Wilayah Perlak boleh dikatakan terumpu di daerah Aceh sahaja, sedangkan seluruh kawasan lain di pulau Sumatera dikuasai oleh Sriwijaya, manakala Utara Semenanjung dikuasai oleh Langkasuka. Pada dekad kedua abad ke-10, Sriwijaya telah melakukan perluasan kawasan dan menyerang Perlak, sebelum Rajendra Chola Dewa I pada 1026M menyerang Langkasuka yang telah jatuh ke tangan Sriwijaya pada abad sebelumnya. Persaingan kuasa Hindu-Buddha ini agak merumitkan proses Islamisasi ketika itu, berbanding abad ke-13 dan 14 yang menyaksikan keruntuhan Sriwijaya akibat serangan Chola pada 1026M dan kebangkitan Kerajaan Dharmasraya pada 1081M. Seluruh pergolakan dan persaingan politik ini memberi kesan terhadap Perlak yang merupakan satu-satu Kerajaan Islam di Nusantara saat itu.

Perkembangan Kerajaan Perlak, 840-1292M

Dengan mengabaikan perkembangan Empayar-empayar Buddha dan Hindu di seluruh Nusantara dan India, kita dapat melihat bagaimana kerajaan-kerajaan di Aceh telah berkembang setelah memeluk Islam. Pada asalnya, dua kerajaan iaitu Perlak dan Juempa telah memeluk Islam di tangan Nakhoda Khalifah, sebelum kedua-kedua kerajaan ini membentuk Kerajaan Islam Perlak di bawah Sultan Alaiddin Maulana Sayyid Abdul Aziz pada 840M (225H). Mereka menjadikan pelabuhan Perlak sebagai Pusat Pentadbirannya. Pada peringkat pertama, pembangunan kerajaan, pertumbuhan ekonomi perdagangan dan perkembangan dakwah berlaku dengan begitu pesat di bawah tiga orang Sultan yang pertama dari Dinasti Sayyid. Kemasukan pengaruh Sunni pada sekitar dekad 880-anM, telah membawa kepada konflik, iaitu lanjutan daripada persaingan politik Sunni-Syiah yang berlaku di Asia Barat. Ekoran daripada itu, pada zaman Sultan Alaiddin Maulana Sayyid Ali Mughyat Shah, telah berlaku perang saudara antara keluarga Sayyid dengan keturunan Meurah Shahrun Nuwi yang bermazhab Sunni. Walaupun perang selama dua tahun ini dimenangi oleh Sultan Sayyid Ali Mughyat Shah, tetapi Perlak telah berpecah menjadi dua.

Di Selatan, Perlak Paroh telah dikuasai oleh Sultan Sayyid Ali Mughyat Shah yang bermazhab Syiah dan berpusat di Bandar Khalifah. Manakala di Utara, Perlak Tunong dikuasai oleh Sultan Alaiddin Malik Ibrahim yang berpusat di Biang Perak (Kroeeng Tuan) dengan mendukung aliran Ahli Sunnah wa al-Jamaah. Selepas Sultan Sayyid Ali Mughyat Shah wafat pada 918M, tercetus semula pergolakan selama hampir satu dekad sehingga Sultan Alaiddin Makhdum Malik Abdul Kadir Shah Johan Berdaulat (928-932M) dapat berkuasa dan menyatukan semula Perlak untuk menghadapi serangan Sriwijaya. Ternyata ancaman Sriwijaya menjadi faktor penyatuan semula Perlak. Sejak itu, Perlak dikuasai sepenuhnya oleh Dinasti Johan Berdaulat yang bermazhab Sunni sehingga Kerajaan Perlak runtuh pada 1292M. Agak menarik juga, walaupun kemasyhuran Empayar Sriwijaya di Palembang, Padjajaran (923-1579M), Kediri (1045-1221M) dan Singhasari (1222-1292M) di Jawa mengatasi Perlak, tetapi Kota Islam ini banyak dikunjungi oleh pelawat dari China, Arab, India dan Rom termasuk Marco Polo yang tiba pada 1292M. Salah satu faktornya ialah kerana inilah satu-satu Kerajaan Islam di Nusantara, selain faktor lokasi perdagangan yang strategik.

Pembaharuan pentadbiran bermodel Islam

Pembentukan Kerajaan Islam Perlak pada 840M telah dimulakan dengan Sultan Sayyid Abdul Aziz Shah (840-864M) mengisytiharkan nama baru pelabuhan Perlak sebagai Bandar Khalifah yang menjadi Pusat Pentadbiran, di mana pada peringkat awal tumpuan kerajaan adalah kepada perdagangan dan dakwah. Dari segi pentadbiran, Sultan Sayyid Abdul Aziz Shah dikatakan telah mencontohi Daulah Abbasiyah dengan mewujudkan lembaga-lembaga kerajaan sebagai Wazir Sultan, iaitu Wazir al-Siyasah (Menteri Politik Dalam Negeri), Wazir al-Harb (Menteri Pertahanan), Wazir al-Maktabah (Menteri Pentadbiran), Wazir as-Sunduk (Menteri Kewangan) dan Wazir al-Hukkam (Menteri Kehakiman). Pembaharuan penting kemudiannya diperkenalkan lagi oleh Sultan Sayyid Abdul Rahim Shah (864-888M) dengan menubuhkan Dayah Bukit Ce Breek untuk membina generasi baru Islam. Sultan Malik Abdul Kadir Johan Berdaulat (928-932M) kemudiannya telah membuat pembaharuan pentadbiran yang lebih progresif dengan membentuk Majlis Kesultanan sebagai Majlis Fatwa, melantik Mufti Besar, Qadhi Besar dan menubuhkan Baitul Mal untuk menguruskan kewangan negara.

Pembaharuan-pembaharuan yang mengukuhkan Mazhab Sunni ini diteruskan oleh Sultan Makhdum Alaiddin Muhammad Amin Shah Johan Berdaulat (832-956M) dengan membuka Dayah Cot Kala sebagai Pusat Pengajian Tinggi Islam yang pertama di Nusantara, melantik Tun Pepatih Pandak sebagai Mangkubumi dan Benderang sebagai pahlawan negara. Baginda juga meluaskan Wilayah Perlak hingga ke Kuala Jambu Air, selain menggalakkan para ulamak, putera-putera Istana dan pendakwah membuka Pusat-pusat Pengajian Islam di sekitar Perlak sehingga berdirinya beberapa dayah di Aceh. Bahkan, diwajibkan bagi setiap mukim (gabungan beberapa kampung) mempunyai sebuah dayah, dengan Dayah Cot Kala sebagai Pusat Pengajian Tingginya. Beberapa institusi pendidikan Islam seperti Balee (balai) dan Meunasah (madrasah) dijadikan tempat ibadat, belajar al-Quran dan pendidikan asas agama. Pada zaman Sultan Makhdum Alaiddin Abdul Jalil Shah Johan Berdaulat (1200-1230M), Fekah Syafie mula dikembangkan bagi mengukuhkan lagi aliran Sunni di sini, di samping kemasukan ulamak India, Arab dan Parsi, sehingga akhirnya bukan sahaja Perlak, tetapi seluruh Nusantara bermazhab Syafie.

Kerajaan-kerajaan Islam yang baru di Aceh

Sebelum kemasukan Islam, rata-rata daripada beberapa kerajaan kecil yang wujud di Aceh adalah beragama Hindu, termasuk Perlak walaupun diperintah oleh Raja berketurunan Parsi. Orang-orang Parsi mungkin beragama Majusi atau Mazdak, tetapi diterima menjadi pemimpin di Perlak kerana kebolehan magis dan sihir, selain faktor kemasyhuran Empayar Sasan (224-651M) di Parsi sebagai kuasa besar dunia sebelum zaman Islam. Bukti-bukti artifak menunjukkan Aceh adalah Wilayah Hindu sebelum kedatangan Islam, selain kelompok Mante (orang asli) yang menganut anamisme di pedalaman Aceh dan masih ada penganut Buddha yang minoriti. Tiga Kerajaan Hindu yang dikenal pasti di Aceh ialah Kerajaan Indraparta, Indrapuri dan Indrapurba. Kedatangan Islam di Aceh disambut secara terbuka oleh penduduknya sehingga Islam berkembang pesat dan mendirikan daulah. Proses dakwah yang berlaku telah menyebabkan Islam berkembang dan melahirkan Kerajaan-kerajaan Islam yang baru. Antara tempat awal yang dikembangkan dakwah ialah Basma yang terletak antara Perlak dan Samudera, kemudian Pase (dekat Lhok Seumawe), Pane (Pannai), Lamuri hingga Aru. Pidie, Fansur (Barus), Singkel dan Teumiang juga di-Islamkan. Indrapurba dan Indrapuri juga turut didakwah. Teumiang adalah antara kerajaan terakhir memeluk Islam menjelang jatuhnya Perlak pada akhir abad ke-13M.

Antara kerajaan baru Islam, sama ada raja memeluk Islam atau mendirikan Kerajaan Islam yang baru ialah Kerajaan Daya, Kerajaan Pidie dan Kerajaan Samudera. Beberapa kerajaan lama seperti Pase (Pasai), berhampiran dengan Basma dan Salasari, bergabung dengan Samudera membentuk Samudera-Pasai. Kerajaan Beunna yang dikenali juga sebagai Indra atau Alas yang terketak di Aceh Tengah, menjadi Teumiang. Kerajaan Samaindra yang disebut sebagai Syahir Poli menjadi Pidie. Kerajaan Hindu Indrapurba yang terkenal dengan Bandar Lam Urik dikenali sebagai Lamuri, manakala Kerajaan Indrajaya yang disebut sebagai Panto Bie membentuk Kerajaan Seudu. Peng-Islaman kerajaan-kerajaan kecil ini tidak memberi dampak yang besar kepada kekuatan politik Perlak sebenarnya, tetapi ia menjadi bermakna ketika Sultan Ali Mughayat Shah menyatukan semua kerajaan ini pada 1496M kerana semua wilayah ini bergabung membentuk Kerajaan Aceh Darussalam bagi menghadapi kedatangan Portugis.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
14 Syawal 1439 / 28 Jun 2018 – HARAKAHDAILY 28/6/2018