Menjawab penggubahan wang haram akaun PAS

najhan

Menjawab penggubahan wang haram dalam akaun PAS: Tuduhan lama pun tiada bukti, inikan tuduhan baru

Advertisement

Firman Allah swt dalam Surah al Maidah ayat 8,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

Keceluparan peguam PAN, Faiz Fadzil, Timbalan Ketua Pemuda PAN sepatutnya berasaskan kepada undang-undang dan apa yang dipelajarinya dan diamalkan sebagai pengamal undang-undang.

Sewenang-wenangnya cubaan buat kesekian kalinya para pimpinan PAN sejak tahun 2016 untuk cuba membina persepsi buruk terhadap PAS sama ada dengan memfitnah PAS bergabung dengan Umno atau menerima duit Umno walaupun telah diperjelaskan oleh pimpinan PAS sebelum ini.

Itulah modus operandi mereka bertahun lamanya dan tak pernah berasa menyesal dan bersalah walaupun kaedah itu bercanggah dengan prinsip Islam dan prinsip undang-undang itu sendiri yang kononnya mereka adalah pembela dan pejuang prinsip itu.

Pembuktian terhadap tuduhan PAS sehingga hari ini masih sekadar tuduhan melulu, telahan tiada berasas, berbentuk fitnah dijaja ke sana ke sini, malah PAS telah berjaya di beberapa peringkat prosiding mahkamah samannya di London langsung tidak diendahkan.

Cadangan membekukan akaun PAS hanya berpandukan tuduhan ciptaan lidah bercabang PAN bahawa PAS mesra Umno menjadi ratib setiap saat para pimpinan PAN, walaupun kini kelihatan bekas pimpinan Umno yang kalah pilihan raya berbondong-bondong menyertai PH samada PKR atau PPBM. Ini mesra apa? Mesra fulus dan pangkat\?

Saya ingin menegur dan mengecam keceluparan Faiz Fadzil ini, janganlah berlagak sombong menjadi kerajaan ingin menggunakan kuasa yang rakyat beri dengan semudah menghukum pembangkang.

Saya berharap Kerajaan PH tidak hanya laju dan pantas mencari dan mendedahkan kesilapan dan kepincangan bekas pimpinan kerajaan yang kalah, tapi menutup membuta mata dan memekakkan telinga kepincangan yang pernah dilakukan di kalangan pimpinan kerajaan PH sekarang.

PAS tidak terkejut dan tidak hairan apa yang sedang dibuat oleh Kerajaan PH sekarang dalam mendedahkan korupsi pimpinan Umno dan bekas pimpinan kerajaan kerana mereka bukan lagi berkuasa. Apa yang mengkagumkan ialah kejayaan mendedahkan korupsi pimpinan kerajaan yang sedang berkuasa sekiranya ada bukti.

Saya ingin mengingatkan pimpinan Kerajaan PH bahawa tiada kerajaan yang kekal di dunia ini kalau sikap begini diamalkan untuk menghukum pembangkang, bagaimana nasib mereka nanti sekiranya Kerajaan Persekutuan dipegang oleh Umno kembali?

Beristiqamah Sehingga Kemenangan

Muhammad Najhan Halim
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
29 Jun 2018 / 15 Syawal 1439H – HARAKAHDAILY 29/6/2018