Mekanisme tangani budaya liar pelancong asing

KEJADIAN pelancong asing yang menari di hadapan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu baru-baru ini perlu ditangani secara bijaksana. Tindakan segera pihak berkuasa harus mendapat pujian.

Advertisement

Pun begitu, untuk memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang, satu mekanisme menyeluruh perlu diwujudkan. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah penuh yakin kejadian seumpama ini terjadi akibat pelancong tidak memahami budaya masyarakat setempat, khususnya budaya masyarakat Islam.

Saya yakin pelancong yang datang ke Sabah bukan hanya untuk menikmati keindahan semula jadi Negeri Sabah tetapi juga untuk melihat budaya masyarakat setempat. Sepatutnya antara peranan pihak berkuasa dan juga agensi pelancongan adalah untuk memahamkan pelancong mengenai budaya dan pantang larang budaya dan agama masyarakat Sabah.

PAS Sabah amat berharap kejadian seumpama ini tidak lagi berulang. Selain daripada denda yang dikenakan kepada pelancong, mereka juga harus dididik dan diberikan maklumat jelas mengenai cara hidup masyarakat Sabah.

PAS Sabah juga mencadangkan supaya pihak pengurusan masjid yang menjadi tumpuan pelancong mesti mewujudkan satu peraturan yang ketat. Kita tidak mahu ada pelancong yang masuk ke kawasan masjid dengan pakaian yang terlalu mencolok mata. Memanglah dakwah menjadi antara matlamat kita tetapi jangan sampai jemaah yang hadir ke masjid terpaksa berhadapan dengan perkara-perkara mungkar.

DR ALIAKBAR GULASAN
Setiausaha PAS Sabah
30 Jun 2018 – HARAKAHDAILY 30/6/2018