Adakah kotak Pandora sudah terbuka?

MUNGKIN ramai yang sudah tahu kewujudan kisah dongeng Kotak Pandora (Pandora’s Box) yang berasal dari Greek. Ia mengisahkan tentang kehidupan suami isteri yang bahagia. Ketika mereka berkahwin, si isteri yang cantik bernama Pandora telah dihadiahkan sebuah kotak. Dikatakan tuhan Zeus yang masih marahkan manusia kerana menerima api daripada Prometheus telah memberikan kotak itu sebagai membalas dendam. Tetapi kotak itu diberikan berserta amaran, untuk tidak dibuka. Sebagai manusia, perasaan ingin tahu, sangat membuak-buak. Dan Zeus tahu sikap manusia.

Advertisement

Setelah sekian lama, akhirnya Pandora membuka juga kotak itu. Saat dibuka kotak itu, maka keluarlah segala macam kejahatan, kebencian, kesengsaraan serta banyak lagi, dan ianya tersebar dengan pantas. Pandora berjaya menutup kembali kotak itu dan satu-satunya yang tinggal di dalamnya ialah harapan. Namun penyesalan, sudah tidak bermakna lagi. Keadaan dunia telah menjadi kacau bilau dek kerana terbebasnya unsur-unsur kejahatan itu.

Kisah dongeng ini hampir sama dengan kisah Nabi kita Adam dan isteri Baginda, Hawa yang tidak dapat menahan keinginan memakan buah Khuldi. Kedua kisah ini berkisar tentang nafsu manusia, yang tidak sabar, tidak suka mendengar arahan tuhan, bertindak di luar kewarasan dan tidak memikirkan kesan juga akibat daripada perbuatan gelojoh itu. Hasil tindakan itu, ia sangat mengecewakan. Mereka terpaksa menghadapi kesan jangka panjang yang sangat sukar untuk dibaiki.

Di Malaysia ketika ini, pasca 60 hari pemerintahan PH, selepas satu, satu perkara yang tidak disukai majoriti rakyat berlaku hasil daripada kesilapan rakyat membuat pilihan dalam PRU baru-baru ini. Bermula daripada mungkirnya janji mahu menunaikan manifesto dalam 100 hari yang mereka sendiri sasarkan, rakyat sebaliknya diminta agar menyerahkan harta mereka atas nama derma. Berselang dengan berita kegagalan itu, mereka memperbesarkan berita rampasan harta bekas PM yang sehingga sekarang masih belum ditangkap atau didakwa.

Juga kisah kesalahan mengira hutang negara juga menyebabkan ramai pelabur menarik pelaburan mereka, menyaksikan aksi Menteri Kewangan yang masih belum melepaskan pakaian ‘pembangkang’nya. Keluar lagi berita ECRL yang dahulunya dimomokkan sebagai pembaziran mega, kini atas alasan terpaksa, mereka menambah pula kos hampir RM 20 billion dan saham syarikat kontraktor ECRL dibeli oleh kroni yang kemudiannya mendakwa sudah menjual saham-sahamnya (yang sudah naik harga) kerana kononnya mahu membuktikan beliau bersih.

Harga petrol? Hapus tol? Ah, usah diungkit, terasa amat kebodohannya. Mulut rakyat sekarang tidak boleh lagi ditutup daripada membicarakan tentang idea penarikan balik subsidi-subsidi yang telah diberikan dahulu kepada rakyat marhaen. Nelayan yang diketahui majoriti mereka kais pagi makan pagi itu, tidak akan merasa lagi elaun sara hidup. Grab tidak dibatalkan lesen mereka walaupun telah berjanji dengan pemandu teksi dahulu.

Tidak puas dengan rakyat, badan-badan kerajaan yang terlibat dengan agama seperti Jakim juga, menerima ugutan secara langsung daripada beberapa kumpulan yang telah lama meyemai dendam. Yang DiPertuan Agong dan Raja-raja Melayu juga tidak tersisih daripada diugut dan dihina, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini tanpa tindakan oleh pihak berkuasa.

Mata wang jatuh, ada wajah yang tersenyum, ada pula yang berduka. GST enam peratus diganti SST 10 peratus. Demi untuk menunjukkan penurunan harga barang, Menteri sanggup menipu, tiada bezanya dengan Menteri dahulu. Walaupun subsidi kepada rakyat ditarik, siaran langsung Piala Dunia sebanyak RM 40 juta pula dibayar.

Syiah sudah mengeluarkan kenyataan untuk mahu mendapat perlindungan daripada kerajaan. Adakah ini bermakna nikah Mutaah akan menjadi suatu budaya Malaysia di masa hadapan? Mereka mendakwa jumlah mereka telah mencapai sejuta orang. Suatu keadaan yang tidak pernah terfikir sebelum ini, Syiah menjadi berani mengaku diri mereka Syiah di khalayak Malaysia. Ada lagi, dewan orang ramai telah dijadikan pejabat parti memerintah, sama seperti parti kerajaan sebelum ini. Dan terbaharu, tarif elektrik naik hari ini.

Di sebalik semua ini, saya terfikir, adakah pada 9 Mei lalu, kotak-kotak atau peti-peti undi itu ialah kotak Pandora secara simboliknya telah dibuka? Dan ketika ia dibuka, Malaysia yang menyaksikan perubahan pemerintahan pada hari itu, malangnya berubah menjadi lebih teruk daripada Kerajaan BN yang lalu. Pilihan buruk ini berlaku hasil sebahagian daripada rakyat yang mengikut nafsu, sangat membenci sehinggakan perkara bohong juga turut diambil sebagai panduan. Akibatnya terlepaslah segala kejahatan dan keburukan daripada peti dan kotak undi itu pada 9 Mei lalu.

Kini yang tinggal hanyalah “Harapan” iaitu Islam bagi menyelamatkan keadaan Malaysia. Masih sempat lagi untuk menyelamatkan negara dengan memberikan sokongan kepada jemaah yang membawa obor Islam iaitu PAS. Telah terbukti sehingga kini, PAS di kedua-dua Negeri Kelantan dan Terengganu telah melaksanakan sebahagian daripada apa yang telah dijanjikan di dalam manifesto mereka. Walaupun cuba diselewengkan fakta, namun bukti pelaksanaannya oleh PAS menghapuskan segala fitnah itu.

Mungkin ramai yang sinis dengan kenyataan ini, tetapi kebenaran adalah jelas dan nyata. PAS telah disahkan sebagai sebuah parti yang mempunyai teras kebaikan oleh cendekiawan-cendekiawan setelah berakhirnya PRU. Dengan yakin mereka mengatakan pengundi-pengundi yang mengundi PAS adalah pengundi yang sukakan kebaikan. Ia tiada di dalam parti lain. PAS berada dalam kelasnya yang tersendiri. PAS adalah harapan kepada semua.

MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar
1 Julai 2018 – HARAKAHDAILY 1/7/2018