Analisis Kabinet Malaysia, Kerajaan Negeri

ALHAMDULILLAH. Dengan pembentukan Kabinet penuh Kerajaan Malaysia yang mengangkat sumpah jawatan semalam (3 Menteri Persekutuan lagi yang akan dilantik Senator akan diumumkan kemudian), maka lengkaplah pembentukan Kabinet Kerajaan Malaysia dan Kabinet Kerajaan Negeri-negeri.

Advertisement

Sebagaimana dimaklumi, pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Pakatan Harapan (PH) menguasai 7 buah negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Gagasan Sejahtera atau secara spesifik Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pula menang di 2 buah negeri iaitu Kelantan dan Terengganu.

Sementara itu, Barisan Nasional (BN) yang majoritinya dari United Malays National Organization (Umno) menguasai Perlis dan Pahang, manakala gabungan parti pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) menunjangi Sabah. Seterusnya Gabungan Parti Sarawak (PBS) yang juga mantan BN ditunjangi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memerintah di Sarawak pasca Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) pada tahun 2016.

Di peringkat Kabinet Kerajaan Persekutuan, boleh dikatakan ianya adalah pembahagian hampir sama rata antara 4 komponen PH dan turut dianggotai Warisan. Bahkan ia tidak dibuat berdasarkan jumlah kerusi dimenangi dalam PRU14, malah dibuat mencerminkan peratusan penduduk di Malaysia. Saya secara peribadinya bersetuju dengan komposisi Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri, meskipun tidak disukai oleh DAP yang telah menzahirkan kekecewaan mereka!

Berikut merupakan pecahan Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri Kerajaan Malaysia. Ia terdiri dari:

●     Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu): Perdana Menteri, 5 Menteri dan 4 Timbalan Menteri.

●     Parti Keadilan Rakyat (PKR): Timbalan Perdana Menteri, 7 Menteri dan 7 Timbalan Menteri.

     Demokratic Action Party (DAP): 6 Menteri dan 6 Timbalan Menteri

     PAN: 5 Menteri dan 4 Timbalan Menteri

     Warisan: 3 Menteri dan 2 Timbalan Menteri.

Satu fakta yang menarik juga ialah hanya 7 Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak terpilih menyertai Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri iaitu berkurangan daripada 17 dalam pentadbiran lalu. Untuk Sarawak, hanya seorang Menteri iaitu Menteri Kerja Raya, Baru Bian (PKR) dan seorang Timbalan Menteri memegang portfolio Perdagangan Dalam Negeri iaitu Chong Chien Jen (DAP).

Manakala di Peringkat Negeri pula, terdapat 3 Menteri Besar atau Ketua Menteri dari PPBM (Johor, Perak dan Kedah), PKR 2 (Selangor dan Negeri Sembilan), PAS 2 (Kelantan dan Terengganu), Umno 2 (Perlis dan Pahang), DAP 1 (Pulau Pinang), PAN 1 (Melaka), Warisan 1 (Sabah) dan PBB 1 (Sarawak).

Secara keseluruhannya, DAP menguasai kerusi Exco terbanyak di 5 buah negeri iaitu Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, PKR 2 (Selangor dan Kedah), PAS 2 (Kelantan dan Terengganu), Umno 2 (Perlis dan Pahang), Warisan 1 (Sabah) dan PBB 1 (Sarawak).

Jumlah Kerusi Exco termasuk Menteri Besar atau Ketua Menteri di seluruh negara mengikut parti adalah seperti berikut: 33 DAP, 23 PKR, 22 PAS, 19 Umno, 14 PAN, 10 PPBM, 8 PBB, 6 Warisan, 2 Parti United Pasokmomogun Kadazan Organization (UPKO) dan masing-masing satu Parti Rakyat Sarawak (PRS), Sarawak United People Party (SUPP), United People Party (UPP) dan Malaysian Chinese Association (MCA).

Maka tidak salahlah status posting saya seusai PRU14 yang lepas bahawa pemenang sebenar PRU14 ialah DAP, meski ramai pada masa tersebut tidak bersetuju dengan posting tersebut!

Perincian Kedudukan Menteri Besar, Ketua Menteri, Timbalan Ketua Menteri dan Exco mengikut Negeri adalah seperti berikut:

●     Perlis Indera Kayangan
Menteri Besar: Umno
Exco: 7 Umno dan 1 MCA

●     Kedah Darul Aman
Menteri Besar: PPBM
Exco: 4 PKR, 3 PAN, 2 PPBM dan 1 DAP

●     Pulau Pinang
Ketua Menteri: DAP
Timbalan Ketua Menteri 1: PKR
Timbalan Ketua Menteri 2: DAP
Exco: 6 DAP dan 2 PKR

●     Perak Darul Ridzuan
Menteri Besar: PPBM
Exco: 5 DAP, 3 PAN dan 2 PKR

●     Selangor Darul Ehsan
Menteri Besar: PKR
Exco: 4 PKR, 3 DAP, 2 PAN dan 1 PPBM

●     Negeri Sembilan Darul Khusus
Menteri Besar: PKR
Exco: 5 DAP, 3 PKR dan 2 PAN

●     Melaka Bandaraya Bersejarah
Ketua Menteri: PAN
Exco: 5 DAP, 2 PKR, 2 PPBM dan 1 PAN

●     Johor Darul Takzim
Menteri Besar: PPBM
Exco: 4 DAP, 2 PKR, 2 PAN dan 2 PPBM

●     Pahang Darul Makmur
Menteri Besar: Umno
Exco: 10 Umno

●     Terengganu Darul Iman
Menteri Besar: PAS
Exco: 10 PAS

●     Kelantan Darul Naim
Menteri Besar: PAS
Exco: 10 PAS

●     Sabah Negeri Di Bawah Bayu
Ketua Menteri: Warisan
Timbalan Ketua Menteri 1: UPKO
Timbalan Ketua Menteri 2: PKR
Timbalan Ketua Menteri 3: Warisan
Menteri: 4 Warisan, 2 DAP dan 1 UPKO

●     Sarawak Bumi Kenyalang
Ketua Menteri: PBB
Timbalan Ketua Menteri 1: PBB
Timbalan Ketua Menteri 2: PRS
Timbalan Ketua Menteri 3: PBB
Menteri: 5 PBB, 1 SUPP dan 1 UPP

Saya dan seluruh rakyat mendoakan semoga semua Pimpinan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri-negeri mampu melaksanakan amanah dengan baik dan menunaikan manifesto yang dijanjikan!

Insha-Allah penulisan ini akan bersambung dengan harapan saya kepada Kabinet Kerajaan Malaysia. – HARAKAHDAILY 3/7/2018