Daulah Islam Kesultanan Samudera-Pasai

PENYERAPAN Kerajaan Perlak ke dalam Kerajaan Samudera-Pasai telah menamatkan satu episod sejarah bagi Daulah Islam yang pertama di Alam Melayu, sekali gus membuka sejarah baru bagi Kerajaan Samudera-Pasai sebagai penyambung legasi yang terbina lebih awal. Samudera-Pasai mempunyai latar belakang sejarah yang hampir sama dengan Perlak dari segi mazhabnya, tetapi ia bukanlah Kerajaan Islam yang baru, kerana Samudera-Pasai dikatakan telah memeluk Islam 200 tahun sebelumnya. Pada peringkat awal, Samudera dan Pasai (Pase) adalah dua buah kerajaan yang berbeza, kemudian bercantum. Kerajaan Samudera-Pasai yang terletak lebih Utara dari Perlak hanya terpisah oleh Wilayah Basma yang terletak di Utara Perlak. Secara geografi, Samudera-Pasai terletak di bahagian yang lebih Utara ke arah Lamuri (Banda Aceh), sedangkan Perlak lebih hampir dengan Aru dan Deli (sekarang Medan), iaitu menghampiri sempadan provinsi Aceh dan Sumatera Utara.

Advertisement

Pada zaman Samudera-Pasai (1297-1521M), kedudukan Islam, khususnya di Aceh telahpun kukuh, berbanding zaman Perlak (840-1292M) di mana Islam baru berkembang. Lawatan Marco Polo dan Ibnu Batutah ke Aceh masing-masing pada saat kejatuhan Perlak dan kebangkitan Samudera-Pasai telah mencatatkan bagaimana Islam telah menjadi kuasa politik yang berpengaruh di wilayah ini. Salah satu faktor penting yang membuka ruang kebangkitan Kerajaan Samudera-Pasai ialah kejatuhan Sriwijaya selepas serangan Kerajaan Chola pada 1026M. Kemunculan kerajaan-kerajaan kecil Islam di Aceh dan peng-Islaman negeri-negeri Utara Semenanjung seperti Kedah (1136M), Kelantan (1181M), Jawaka (1235M) dan Terengganu (1303M) telah mengukuhkan lagi kebangkitan Kerajaan Islam di Samudera-Pasai. Tempoh perkembangan Kerajaan Samudera-Pasai ini menjadikan ia satu-satunya Daulah Islam yang berpengaruh di Nusantara sehingga kebangkitan Melaka pada awal abad ke-15M.

Samudera-Pasai sebelum Islam

Perkataan Samudera dikatakan asalnya dari perkataan Sanskrit iaitu Samundra atau Samandara yang bermaksud lautan. Namun begitu, dalam Hikayat Raja-raja Pasai, dikatakan Meurah Silu bertemu dengan seekor semut gergasi sebesar kucing. Selepas menangkap dan memakan semut itu, Meurah Silu menamakan negeri ini sebagai Samandara. Tempat tersebut dikenali sebagai Semerlanga kemudiannya. Ketika Marco Polo mengunjungi Utara Sumatera pada 1292M, beliau mencatatkan Samudera sebagai Samara, yang wujud serentak dengan Basman (Basma) dan Ferlec (Perlak). Sedangkan, Ibnu Batutah yang melawat Samudera-Pasai pada 1345M, mencatatnya sebagai Samatrah (Samudera atau Sumatera). Berdasarkan catatan China pula, Samudera disebut Sa-wen-ta-la pada 1275M, sementara itu catatan bertarikh 1282M menyebutnya sebagai Su-mu-ta-la. Kerajaan berhampiran Samuda yang turut dicatatkan oleh China ialah A-lu (Aru) dan Lan-po-li (Lamuri) iaitu dua kerajaan yang berada sekitar Samudera-Pasai. Sedangkan catatan Arab pada 903M, menyebutkan mengenai kunjungan mereka ke Lambri (Lamuri), Fansur, Zabaj dan Kalah-bar, tanpa menyebutkan mengenai Samudera.

Berdasarkan bandingan catatan China dan Arab ini, berkemungkinan Samudera hanya wujud sebagai sebuah kerajaan atau pelabuhan pada abad ke-11M sebagaimana yang disebut oleh Wan Hussein Azmi. Sumber lain mendakwa, bahawa Raja yang mendirikan Kerajaan Samudera-Pasai, Meurah Silu adalah berasal daripada keturunan Sukee Imeum Peuet (Suku Imam Empat), pemimpin Mon Khemer (Champa). Baginda dikatakan mempunyai hubungan darah dengan Raja Perlak, Juempa, Samaindra dan Indrapurba sebelum zaman Islam. Berdasarkan kajian Wan Hussein Azmi, menunjukkan bahawa belum wujud pengaruh Islam di Samudera sebelum 1000M, dan Islam hanya berkuasa dengan berdirinya Kerajaan Samudera pada 1042M. Kerajaan Samudera-Pasai yang terletak di Utara Aceh (sekarang Lhoksaumawe) pada awalnya mungkin beragama Hindu, kemudian di-Islamkan oleh Perlak menjelang abad ke-11M.

Kerajaan Samudera-Pasai: Kebangkitan awal

Kerajaan Samudera-Pasai dikatakan wujud sejak awal alaf kedua, iaitu sesudah berdirinya Perlak sebagai sebuah Kerajaan Islam. Menurut Wan Hussein Azmi, Kerajaan Samudera telah didirikan pada 1042M sebagai sebuah Kerajaan Islam yang kecil oleh Meurah Ghari (Khairi) yang bergelar Maharaja Mahmud Shah. Pada peringkat ini, Samudera yang menerima Islam dari Perlak adalah bermazhab Syiah, sebagaimana Perlak juga. Namun begitu, Islam hanya berkembang pesat di Samudera pada zaman Maharaja Ghiyayuddin Shah (1133-1355M) dan kerajaan ini menghadapi krisis pada 1210M apabila Sultan al-Kamil (Maharaja Nuruddin) mangkat tanpa meninggalkan putera. Perbalahan dalam Istana Samudera mengenai pewaris takhta berlangsung selama 50 tahun sehingga 1260M. Raja-raja Samudera yang awal ialah:

i.     Maharaja Ghairi (1042-1078M)

ii.     Maharaja Mansur Shah (1078-1133M)

iii.     Maharaja Ghiyayuddin Shah (1133-1155M)

iv.     Maharaja Nuruddin Sultan al-Kamil (1155-1210M)

Ketika berlakunya krisis dalam Istana Samudera, seorang putera Pasai, Meurah Silu telah datang menyerang Samudera dan merampas kuasa pada 1261M. Dikatakan Meurah Silu merampas kuasa daripada Sultan Malik an-Nasir. Meurah Silu menurut setengah pendapat yang lain adalah dari keturunan Sultan Makhdum Alaiddin Malik Ibrahim Shah Johan Berdaulat, Sultan Perlak (970-1012M). Baginda pada awalnya juga bermazhab Syiah dan menjadi Raja Samudera-Pasai melalui rampasan kuasa ini. Pada ketika ini juga, Perlak telah dikunjungi oleh Sheikh Ismail dari Hijaz dan Faqir Muhammad dari India yang dikirimkan oleh Syarif Makkah. Dari Perlak mereka berdakwah ke Samudera-Pasai pada 1267M dan berjaya menukar mazhab Meurah Silu kepada Ahli Sunnah. Inilah peristiwa yang disebut oleh Hikayah Raja-raja Pasai sebagai peng-Islaman Meurah Silu. Sejak itu, Meurah Silu dikenali sebagai Sultan Malik as-Salleh, mengikuti nama Malik as-Salleh (m.1249M), Sultan terakhir Dinasti Ayubbiyah di Mesir. Sultan Malik as-Salleh yang berkahwin dengan Puteri Ganggang Sari, puteri Sultan Makhdum Alaiddin Muhammad Amin Shah Johan Berdaulat II (1230-1267M), Sultan Perlak, sehingga Sultan Malik as-Salleh dapat menguasai Kerajaan Perlak pada 1292M dan menggabungkannya ke dalam Kerajaan Samudera-Pasai pada 1297M.

Sultan-sultan Samudera-Pasai

Setelah Malik as-Salleh atau Meurah Silu dapat menguasai Kerajaan Samudera pada 1261M, seterusnya membentuk dinastinya sendiri dalam Kerajaan Samudera-Pasai dengan menggabungkan Perlak ke dalamnya, seramai 20 orang sultan telah memerintah sehingga 1521M seperti berikut:

i.     Sultan Malik as-Salleh (1267-1297M)

ii.     Sultan Muhammad Malik az-Zahir I (1297-1326M)

iii.     Sultan Ahmad I (1326-1330M)

iv.     Sultan Mahmud Malik az-Zahir (1330-1349M)

v.     Sultan Zainal Abidin I (1349-1406M)

vi.     Sultanah Nahrasyiyah (1406-1428M)

vii.     Sultan Zainal Abidin II (1428-1438M)

viii.     Sultan Salahuddin (1438-1462M)

ix.     Sultan Ahmad II (1462-1464M)

x.     Sultan Abu Zaid Ahmad III (1464-1468M)

xi.     Sultan Ahmad IV (1466M)

xii.     Sultan Mahmud (1466-1468M)

xiii.     Sultan Zainal Abidin III (1468-1474M)

xiv.     Sultan Muhammad Shah II (1474-1495M)

xv.     Sultan al-Kamil (1495M)

xvi.     Sultan Adlullah (1495-1506M)

xvii.     Sultan Muhammad Shah III (1506-1507M)

xviii.     Sultan Abdullah (1507-1509M)

xix.     Sultan Ahmad V (1509-1514M)

xx.     Sultan Zainal Abidin IV (1514-1521M)

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
16 Syawal 1439 / 30 Jun 2018 – HARAKAHDAILY 3/7/2018

Screenshot 20180703 101925 Facebook