Jangan ada unsur dendam politik

KOTA BHARU: PAS berharap siasatan terhadap salah guna dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berpandukan undang-undang untuk menegak keadilan dan bukan tersembunyi dendam politik.

Advertisement

Naib Presidennya, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, kes itu perlu bukti pendakwaan yang lengkap dan bukan mempunyai agenda lain.

Katanya, semua pihak perlu menunggu proses undang-undang berjalan mengikut peraturannya.

“Kes ini juga bertujuan mencari keadilan dan diharap bukan ada agenda tertentu apa lagi dendam. Asas keadilan penting,” katanya yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan kepada media selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim hari ini.

Mohd Amar memberitahu beliau bersimpati sekiranya bekas Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak dianiaya atau difitnah.

Tambah beliau, pihaknya berharap pendakwaan dan keputusan dibuat berasaskan bukti lengkap.

Najib hari ini dihadap ke mahkamah atas tiga pertuduhan pecah amanah dengan dakwaan menyalahguna kedudukan untuk kepentingan peribadi melibatkan RM 42 juta berkaitan syarikat SRC International Sdn. Bhd. – HARAKAHDAILY 4/7/2018