Najib, tahanan ke atas yang lemah

MEMANDA Najib sudah ditahan dan dimahkamahkan atas dakwaan skandal dan segala macam penyelewengan semasa berkuasa.

Advertisement

Apa yang dapat dikata atas musibahnya itu? Ialah kata-kata ibadah yang Islam ajar kepada umat Islam: Inna lillah wainna ilaihirajiun.

Bukan sekadar mati. Atas apa saja musibah, itulah reaksi oleh setiap umat.

Apa yang dapat kita komen atas tindakan terhadapnya? Sistem kita hanya berupaya bertindak ke atas rakyatnya yang lemah.

Belum dapat kita kata tindakan Kerajaan Harapan yang baru itu tegas dan berani. Sekalipun Najib itu orang bangsawan besar dan anak orang besar, tetapi tindakan itu masih dikira bertindak ke atas orang yang lemah.

Kita hanya ada Kerajaan baru, tetapi kita masih dalam pemerintahan sistem yang sama. Kerajaan Harapan menyambung sistem yang terpakai dalam Barisan Nasional (BN) dan Umno.

Baik keadilannya, mahkamahnya, polisnya dan apa-apa institusinya berupaya bertindak ke atas rakyatnya yang lemah yang orang ramai bahasakan bilis. Tidak ke atas jerung.

Sekalipun Najib itu pernah jadi sebesar-besar jerung, tetapi hari ini sudah jadi jerung yang kecil lagi lemah. Yang baru jadi jerung sekarang Guan Eng, Menteri Kewangan. Dia dikatakan ada skandal dan masih dalam takluk mahkamah. Justeru dia jerung, berupayakah sistem ini bertindak ke atas jerung?

Apa jua tindakan terhadap Najib, ia adalah sudah menjadi orang yang lemah.

Padahal segala yang dikatakan skandal bagi Najib itu bukan sekadar sesudah jadi Perdana Menteri (PM) dan adalah angkara 1MDB. Gemanya sudah seawal menjadi Menteri Pertahanan di bawah PM Dr Mahathir dan PM Abdullah Badawi.

Justeru dia adalah orang gagah dalam sistem masa itu, Kerajaan dan sistem tidak terfikir untuk mengenakan apa-apa terhadapnya. Bahkan dia boleh naik jadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan PM.

Bila jadi PM Najib seolah-olah lebih besar dari Kerajaan dan lebih besar dari sistem. Mana Kerajaan dan sistem boleh kuatkuasakan undang-undang, pertahankan wibawa integriti dan kebebasan institusinya sekalipun ia dilengkap dengan polis, SPRM, kehakiman dan demokrasinya.

Seantero alam dari hal ehwal Najib diperkatakan, Kerajaan dan sistem tidak upaya mengusiknya. Wibawa dan kebebasan semua institusi itu jadi hiasan indah saja tetapi bukan untuk dikuatkuasa terhadap semua.

Orang berkuasa itu tidak lebih tinggi dari Kerajaan dan sistem. Bagi Malaysia Raja-raja ada kekebalan. PM tidak kebal. Tetapi demokrasi kita secara amalinya Ketua Kerajaan itu kebal.

Keadaan demikian menjadikan kuasa rakyat tiada makna, demokrasi tidak begitu berguna dan Kerajaan serta institusinya serba lemah. Yang tidak lemah ialah orang-orang yang berkuasa. Tidak seperti Korea Selatan, Jepun dan Israel. Presiden dan PM boleh dimahkamahkan. Lebih ramai Presiden Korea dipenjara. Mereka boleh bertindak terhadap orang kuat dan orang lemah.

Najib tidak kena apa-apa semasa dia kuat. Jika dia PM lagi semuanya tidak buat apa-apa.

Setelah PRU14 menjadikannya bertukar lemah, barulah tindakan dikenakan ke atasnya. Apa hebatnya jika kita bertindak atas orang lemah? Hanya Kerajaan yang lemah mampu bertindak terhadap orang lemah seperti Najib sekarang.

PM Mahathir dan Kerajaan Harapan belum boleh dikira tegas, telus dan berani sekadar bertindak atas orang lemah. Sekurang-kurangnya ia berani membersihkan kes Guan Eng dulu. – HARAKAHDAILY 5/7/2018