Seks songsang, pelacuran isu lebih besar

KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah melahirkan rasa kesal kerana isu perkahwinan di bawah umur menjadi tular di seluruh negara.

Advertisement

Katanya, isu itu tidak wajar disensasikan kerana tidak dibincangkan secara teliti sehingga menimbulkan prejudis dalam kalangan masyarakat.

Tambahnya, sewajarnya isu LGBT, pelacuran, gejala sosial lain yang perlu ditangani kerana ia penyakit yang amat bahaya jika melanda masyarakat.

“Kahwin pada usia muda adalah perkara biasa. Kalau kawan-kawan saya dulu khususnya yang tidak bersekolah umur 15 hingga 16 tahun sudah kahwin.

“Ianya sudah menjadi perkara normal dalam kehidupan malah agama juga tidak salah,” katanya.

Pada masa yang sama, Amar berkata perkahwinan itu berlaku di luar Kelantan iaitu di Thailand.

Untuk itu katanya, Kerajaan Negeri sudah menyerahkan kes berkenaan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) bagi menjalankan siasatan lanjut.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat Exco di Kota Darul Naim di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Amar berkata, isu lebih besar yang patut disensasikan adalah tentang budaya seks songsang yang semakin menjadi-jadi di negara ini.

“Isu kahwin bawah umur adalah terpencil sedangkan isu zina, seks songsang seperti gay dan lesbian lebih besar impaknya pada negara.

“Tidak sepatutnya kita overreact dalam isu ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/7/2018