Sg Kandis: JPrN S’gor nafi kerjasama Umno

SELAKU Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri Selangor saya menafikan ada mengesyorkan agar PAS dan Umno membentuk kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil Dun Sungai Kandis sebagaimana dilaporkan dalam sebuah akhbar harian hari ini.

Advertisement

Apa yang telah saya nyatakan pada wartawan akhbar berkenaan adalah bahawa dari penilaian awal kami, pertandingan satu lawan satu antara PAS dan PH adalah yang terbaik buat PRK ini berbanding apa yang berlaku dalam PRU lalu.

Jentera Pilihan Raya PAS sedia mengatur gerak kerja untuk bertanding sekiranya pimpinan parti memutuskan PAS masuk bertanding.

Saya turut memberi pandangan dalam keadaan Umno yang berhadapan pelbagai masalah dalaman khasnya di Selangor adalah lebih wajar Umno memberi laluan pada PAS untuk menghadapi PH dan tidak meletakkan calon mereka.

Saya tidak pernah mencadangkan sebarang bentuk kerjasama antara PAS dan Umno, sesuatu yang di luar bidang kuasa saya selaku Pengarah pilihan raya.

Semoga semua pihak bertindak profesional dalam melaksanakan tugas masing-masing khasnya rakan-rakan di bidang media.

ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR
Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor
5 Julai 2018 – HARAKAHDAILY 5/7/2018