Cadangan DPPM tangguh naik tarif elektrik

SELARI dengan tindakan dan cadangan kami, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) pernah mencadangkan kepada Kerajaan dan Tenaga Nasional Berhad (TNB ) pada tahun 2014 kaedah pengurangan dan penyerapan caj kepada pengguna sewaktu isu kenaikan tarif elektrik, sekali lagi kami mengulangi cadangan tersebut agar Kerajaan prihatin dan mengambil tindakan sewajarnya untuk menilai semula kenaikan tersebut.

Advertisement

IrKhairi02DPPM menyeru Kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga untuk menarik semula kenaikan tarif elektrik yang disebabkan oleh pelepasan surcaj ICPT (kos perlepasan tidak seimbang) kepada semua pengguna bukan domestik di Semenanjung Malaysia. Kos peningkatan penjanaan yang berjumlah RM698.19 juta (RM1.35 sen/kWj) hendaklah diserap bagi mengelakkan kesan kepada tekanan inflasi (cost push inflation) yang akan dibebankan ke atas rakyat secara keseluruhan.

Bagaimana Untuk Menyerap Peningkatan Kos Penjanaan Elektrik Berjumlah RM698.19 juta?

1. Tangguhkan sebarang kenaikan tarif elektrik kepada pengguna domestik dan bukan domestik selagi mana isu ketelusan Perjanjian Pembelian Kuasa (PPA) antara TNB dan Penjana Tenaga Bebas (IPP) masih belum diselesaikan. Adakah TNB terpaksa lagi membeli kuasa daripada IPP meskipun ‘reserve margin’ yang dianggarkan sekitar 25% telah mencukupi? Berapakah jumlah keseluruhan pembelian yang dibayar oleh TNB kepada semua IPP pada tahun 2017 dan sepanjang tahun 2018?

2. Berapakah kos pembelian arang batu oleh TNB Fuel Sdn Bhd (TNBF) dari negara-negara pengeksport dari Indonesia, Australia, Afrika Selatan dan Rusia? Berapakah pula margin keuntungan yang diperolehi oleh TNBF hasil daripada penjualan arang batu kepada pelanggan-pelanggan IPP iaitu Kapar Energy Ventures Sdn Bhd (40% pemilikan Malakoff), Tanjung Bin Power Sdn Bhd (90% pemilikan Malakoff), Jimah Energy Ventures Sdn Bhd (CGN Group-China) dan TNB Janamanjung Sdn Bhd? Adakah semua syarikat-syarikat ini mengalami kerugian akibat kenaikan kos arang batu?

3. Kerajaan digesa untuk memanfaatkan dana dari Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) yang ditubuhkan melalui Akta Bekalan Elektrik (Pindaan 2015) untuk menampung kesan kenaikan tarif elektrik terhadap pengguna. Dana ini terdiri daripada apa-apa jumlah yang dibayar oleh pemegang lesen, diperuntukkan oleh Parlimen dari masa ke semasa, dividen pelaburan KWIE dan hasil yang diperolehi daripada penjimatan rundingan dengan IPP boleh digunakan untuk menyerap kenaikan tarif elektrik yang dikenakan terhadap pengguna sekurang-kurangnya sehingga tahun 2020.

Ir. Khairil Nizam Khirudin
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
5 Julai 2018 | 21 Syawal 1439 – HARAKAHDAILY 5/7/2018