Jangan serah Dr Zakir Naik kepada India

zakir n

MEMANG Dr Zakir Naik tidak perlu diserahkan kepada kerajaan India kerana dia tidak melakukan jenayah. Dia sekadar menyebarkan agama Islam secara ilmiah melalui ceramah, dialog dan siaran media yang diasaskan olehnya.

Advertisement

Kerajaan Malaysia tidak perlu membuat ekstradisi beliau ke India kerana beliau menjadi mangsa politik perkauman dan keagamaan di India. Wujud sentiman perselisihan antara penganut Hindu dan Islam di India. Kes beliau di India berbentuk halangan ke atas beliau untuk mengamalkan kewajipan dan hak beragama iaitu menyampaikan ilmu kepada orang ramai. Jika dia dihukum, hukuman itu adalah berasaskan amalan agama beliau. Ini adalah antara sebab kerajaan Malaysia perlu mengenepikan ekstradisi.

Selain itu, pengaruh besar beliau memberi kesan kepada sokongan politik parti-parti tertentu. Hujah-hujah beliau dalam ceramah dan forum mampu mengurangkan sokongan politik kepada parti-parti radikal Hindu di India. Jadi penangkapan dan hukuman ke atas beliau diharapkan dapat mengukuhkan parti-parti politik tertentu. Dari aspek ini beliau boleh juga dikategorikan sebagai pemohon suaka politik yang tidak boleh diekstradisi.

Lagipun, Dr Zakir Naik hanya sekadar melaksanakan hak asasi beliau untuk menyampaikan ilmu. Beliau langsung tiada kaitan dengan aktiviti keganasan. Penangkapan dan hukuman yang mahu dikenakan ke atas beliau semata-mata kerana melaksanakan hak asasi ini tentunya bercanggah dengan perlembagaan Malaysia yang menjamin hak bersuara. Jadi Malaysia tidak perlu serahkan beliau kepada India.

DR FATHI YUSOF
Gombak
7 Julai 2018 – HARAKAHDAILY 7/7/2018