PAS Kelantan, Terengganu buktikan dogma pilihan salah

mb2

MUTAKHIR ini, masyarakat dalam negara ini telah dimomokkan dengan dogma berbahaya dan ditanamkan dalam pemikiran masyarakat bahawa Islam tidak berkeupayaan untuk memimpin, memerintah dan mengurus. Malah ditambahkan lagi dogma bahawa tiada orang Islam yang layak sebagai pemimpin dengan dakwaan “orang kafir yang jujur lebih baik Muslim yang korup”.

Advertisement

PEMERINTAHAN PAS KELANTAN DAN TERENGGANU MEMBUKTIKAN DOGMA PILIHAN ‘MUSLIM KORUP ATAU NON MUSLIM JUJUR’ ITU SALAH

FIRMAN Allah SWT dalam surah al Anbiya’ ayat 105-107:

وَلَقَدْ كَتَبْنَا فِي الزَّبُورِ مِنْ بَعْدِ الذِّكْرِ أَنَّ الْأَرْضَ يَرِثُهَا عِبَادِيَ الصَّالِحُون. إِنَّ فِي هَٰذَا لَبَلَاغًا لِقَوْمٍ عَابِدِينَ. وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: “Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh”. Sesungguhnya Al-Quran ini mengandungi keterangan-keterangan yang cukup bagi orang-orang yang (cita-citanya) mengerjakan ibadat (kepada Allah dengan berilmu).Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”

NajhanAyat di atas mengkhabarkan bahawa janji Allah swt bahawa akan pasti ada di atas muka bumi ini hambaNya yang soleh mentadbir dan mengurus negeri dengan perintahNya.

Prinsip pemerintahan dalam Islam iaitu “Menegakkan Agama dan Mengurus Dunia dengan Agama” adalah teori yang bakal dipraktiskan dan dizahirkan dalam pemerintahan Kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu.

Mutakhir ini, masyarakat dalam negara ini telah dimomokkan dengan dogma berbahaya dan ditanamkan dalam pemikiran masyarakat bahawa Islam tidak berkeupayaan untuk memimpin, memerintah dan mengurus. Malah ditambahkan lagi dogma bahawa tiada orang Islam yang layak sebagai pemimpin dengan dakwaan “orang kafir yang jujur lebih baik Muslim yang korup”.

Dakyah sebegini memberikan situasi tiada pilihan kepada rakyat melainkan untuk menolak kepimpinan Islam daripada memerintah negara.

Dakyah ini sengaja dipromosikan kepada rakyat di negara ini oleh pihak yang tidak bertanggungjawab atau pihak yang sangat dengki terhadap Islam untuk mentadbir dan memerintah agar PAS yang memiliki cita-cita Islam yang syumul tidak diketengahkan dalam arus kepimpinan negara.

Mereka amat bimbang apabila Islam berjaya di dalam tampuk pemerintahan khasnya di peringkat persekutuan, pelbagai agenda Islam mampu dilaksanakan, yang akhirnya ramai yang akan terpikat dengan Islam dan bersama Islam. Ini yang mengkhuatirkan mereka.

Ini semacam satu propaganda berbahaya yang mampu merobek aqidah umat Islam yang cetek ilmu dan kefahaman Islam sehingga mampu merendahkan Islam dan Iman pada diri seseorang Muslim. Nilai Islam dan iman adalah satu yang tidak ternilai mahalnya dibandingkan dengan kekayaan dunia dan seisinya. Jangan disebabkan segelintir Muslim yang berdosa dan salahlaku lalu digeneralisasikan ungkapan sedemikian. Dikhuatiri apabila ungkapan itu ditanamkan dalam benak fikiran umat Islam, kelak nanti menjadi kafir atau keluar daripada Islam itu tidak lagi dianggap besar.

Islam itu tetap indah dan benar sekalipun sebahagian umatnya menyimpang jauh daripada ajarannya. Allah sendiri menjanjikan hambaNya yang soleh akan menguruskan bumiNya dengan kehendakNya.

Pasca PRU14, memperlihatkan PAS diberi kepercayaan untuk mentadbir dua negeri, dikekalkan Kelantan dan dan dikembalikan semula mentadbir Terengganu. Walaupun kepimpinan pusat ditadbir oleh Pakatan Harapan, namun ini adalah peluang kepada PAS untuk membuktikan kemampuan memerintah 2 negeri ini dengan lebih baik berbanding negeri dan negara yang diperintah oleh PH dan BN.

Kelantan yang ditadbir berasaskan kepimpinan ulama dengan moto “Membangun Bersama Islam” sejak kepimpinan al Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan diikuti Ustaz Dato’ Ahmad Yakob telah berjaya sejak 28 tahun lalu menolak tohmahan dan momokkan bahawa Islam itu gagal dalam pemerintahan.

Kelantan ketika pada zaman pentadbiran Al Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berjaya dalam pelbagai sudut, khasnya idea Islam dalam pengurusan yang akhirnya ditiru dan diciplak oleh Barisan Nasional sendiri. Sebagai contoh, perbankan Islam dan pajak gadai Islam yang mula berkembang meluas di seluruh negara setelah PAS memerintah negeri Kelantan. Kerajaan Kelantan juga sangat komited membanteras dan membendung amalan yang bercanggah dengan syarak seperti judi dan arak. Negeri Kelantan ini sahaja di kalangan negeri yang diperintah oleh orang Islam berjaya membendung aktiviti arak dan judi di kalangan masyarakat malah turut disokong di kalangan masyarakat bukan Islam.

Bukan idea hukum Islam sahaja menjadi agenda PAS, malah pelbagai idea pemerintahan yang beramanah dan berintergriti telah berjaya diterjemahkan dalam pengurusan sehinggakan kepimpinan negeri Kelantan diakui ditadbir dengan baik dan bebas daripada salahlaku dan rasuah.

Zaman Ustaz Dato’ Ahmad Yakob sebagai Menteri Besar, Kelantan telah melonjak lebih ke hadapan. Negeri Kelantan ditadbir cemerlang walaupun sering kali disembunyikan pencapaiannya oleh media arus perdana negara ini malah difitnah di setiap sudut.

Pencapaian demi pencapaian berterusan, pembangunan yang semakin rancak sekalipun negeri ini tidak memiliki sokongan kerajaan pusat sewaktu zaman BN sebagaimana negeri lain. Malah kekayaan minyak negeri sendiri pun tidak dapat dirasai oleh kerajaan negeri kerana sikap tidak menghormati amalan federalisme. Tunggulah nanti betapa hebatnya pencapaian yang bakal dilakar di negeri Kelantan apabila bayaran royalti petroleum bakal diterima oleh Kerajaan PAS Negeri Kelantan.

Pemerintah negeri Kelantan tetap terus berjuang untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat. Kepimpinan Ustaz Dato’ Ahmad berjaya membuktikan negeri Kelantan diurus tadbir dengan cekap sehingga diakui dalam laporan Jabatan Audit Negara pada tahun 2017. Termasuk juga perakuan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa negeri ini bebas daripada siasatan dan dakwaan rasuah berbanding pada masa yang sama, di pihak kepimpinan BN dan Pakatan Harapan memiliki 71 dan 21 siasatan dakwaan rasuah.

Terengganu pula telah kembali semula di pangkuan PAS selepas pru14. Negeri ini pernah diperintah PAS pada tahun 2000-2004 di mana Menteri Besarnya adalah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Di zaman pemerintahan ini, PAS berjaya meluluskan Enakmen Jenayah Syariah dan beberapa konsep pemerintahan Islam seperti Unit Hisbah bagi melengkapi ciri-ciri pemerintahan Islam. Walaupun tidak berjaya diimplementasikan secara sempurna, ia adalah komitmen yang bersungguh daripada PAS untuk menzahirkan keindahan pemerintahan berteraskan Islam.

Bukan itu sahaja, kesungguhan PAS untuk mengutamakan rakyat apabila PAS membuktikan bahawa negeri yang memiliki kekayaan minyak seharusnya dikembalikan kepada rakyat untuk dinikmati. Kerajaan Negeri Terengganu pada waktu itu berjaya menghapuskan satu-satunya tol iaitu di Jambatan Sultan Mahmud dan cukai pintu kediaman. Kecemerlangan pentadbiran Terengganu ini dicemburi Kerajaan Pusat yang akhirnya menarik hak royalti petroleum sebanyak RM1 bilion setahun itu.

Corak kehidupan bekas Menteri Besar Terengganu Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pun tidak sedikit pun berubah walaupun 5 tahun memerintah negeri. Berbanding menteri besar negeri-negeri lain, bukan 5 tahun, hanya beberapa bulan sahaja mampu mengaut kekayaan menakjubkan.

Rakyat negeri Terengganu melakukan tindakan bijak ketika PRU14 baru-baru ini apabila mengembalikan semula pemerintahan negeri daripada BN kepada PAS. Ini kerana rakyat telah melihat dengan mata dan merasai sendiri pengalaman mereka ketika di bawah pemerintahan BN dan PAS.

Kini, YAB Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Menteri Besar yang berlatar belakangkan profesional merupakan seorang yang pakar dalam bidang kapal angkasa dan penerbangan memimpin negeri. Sekalipun beliau bukan seorang ulamak, ia satu bukti bahwa PAS tidak pernah mengkesampingkan golongan profesional yang turut dipilih memimpin negeri yang kaya sumber asli ini.

Hanya baru 50 hari Terengganu dipimpin oleh PAS, kerajaan pimpinan YAB Dr Shamsuri berjaya melaksanakan sebahagian daripada 20 manifesto PAS Terengganu pada PRU14 lalu.

Antara pencapaian tersebut:

1. Mengembalikan semula tanah rakyat yang dirampas zaman pemerintahan BN
2. Menganugerahkan lot tanah kediaman untuk pasangan baru kahwin
3. Karnival kahwin percuma bagi meringankan beban rakyat dan galakkan berumahtangga
4. Air percuma 20 meter padu untuk golongan miskin
5. Menghapuskan cukai pintu kediaman

Insya Allah tidak lama lagi semua janji manifesto akan disempurnakan oleh kepimpinan YAB Dr Samsuri.

Maka ini adalah satu gambaran jelas bahawa propaganda dogma dan persepsi melalui dakyah “orang kafir yang Jujur lebih baik daripada Muslim yang korup” perlu dibuang sejauhnya dan jangan lagi dimomokkan dalam pemikiran rakyat negara ini dan umat Islam khasnya.

Di negara ini bukan ada dua pilihan sahaja samada di antara Umno-BN dan PH, tetapi di tengahnya PAS yang mampu menterjemahkan Islam sebagai ad-deen dalam kehidupan bernegara dan masyarakat dengan lebih baik sebagai bukti adanya Muslim Beriman Yang Jujur, Beramanah, Telus dan Cekap.

Ayuh rakyat Malaysia yang bijak, kita kembalikan Islam yang pernah menguruskan kehidupan manusia dengan hebat sebelum ini.

Islam Adalah Penyelesaian Terbaik
Sejahtera Bersama Islam

Muhammad Najhan Halim
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor/Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat
6 Julai 2018/23 Syawal 1439 – HARAKAHDAILY 6/7/2018