Melaka empayar Islam pertama Nusantara

SELEPAS 436 tahun tertegaknya Kerajaan Islam di Nusantara dengan berdirinya Kerajaan Perlak pada 840M, hanya pada tahun 1276M barulah Islam bangkit berkembang menjadi sebuah empayar di Nusantara dengan berdirinya Kerajaan Melaka. Kerajaan Melaka yang diasaskan oleh Parameswara yang merupakan seorang putera dari Palembang, dikatakan didirikan pada 1262M. Walaupun masih menjadi perbahasan mengenai tarikh sebenar penubuhan Kerajaan Melaka, sama ada 1278M atau 1360M atau 1401M, namun yang pasti ia telah mencapai kemuncaknya pada abad ke-15M. Islam dikatakan mulai masuk dan berkembang di Melaka sejak Islamnya Raja Melaka pada 1276M. Sejak itu Islam bukan sahaja berkembang pesat di Melaka, tetapi Melaka telah bangkit menjadi sebuah pusat penyebaran Islam yang paling berpengaruh di Nusantara pada abad ke-15M sehingga dapat menyaingi pengaruh Majapahit yang berpusat di Jawa.

Advertisement

Berbeza dengan Kerajaan-kerajaan Islam yang muncul lebih awal daripada Melaka, kerajaan baru yang bangkit di Semenanjung Tanah Melayu ini telah muncul sebagai sebuah empayar yang menguasai Selat Melaka dan Laut China Selatan. Penguasaan Melaka ke atas seluruh Semenanjung Tanah Melayu dari Singgora (Songkhla) hingga seluruh Kepulauan Riau, dan Pantai Timur Sumatera meliputi kawasan dari Aru hingga ke Jambi telah menjadikannya sebuah empayar besar seperti Sriwijaya dan Majapahit. Dengan luasnya jajahan Kerajaan Melaka dan penguasaan Melaka ke atas perdagangan rempah di Nusantara, Melaka telah bergerak sebagai sebuah Kerajaan Islam yang mengembang luaskan dakwah Islam di rantau ini. Kemunculan Kerajaan Melaka sebagai sebuah empayar telah meletakkan ia sebagai Empayar Islam yang pertama dalam sejarah Nusantara.

Hubungan Melaka-Sriwijaya

Kewujudan Kerajaan Melaka mempunyai kaitan dengan Kerajaan Sriwijaya yang runtuh pada akhir abad ke-12M. Keturunan Raja-raja Sriwijaya telah berpindah dari Sumatera dan membina kerajaan di Temasik (Singapura) pada 1324M (berdasarkan tarikh lama penubuhan Melaka, iaitu 1401M yang disepakati sebelum ini atau tarikh baru pada 1185M). Ia bermula apabila Maharaja Sang Nila Pahlawan (Sangsa Purba) yang disebut dari keturunan Iskandar Zulkarnain oleh Sejarah Melayu, dan dianggap sebagai bapa kepada Raja-raja Melayu tidak dapat lagi bertahan di Palembang akibat serangan berterusan daripada Majapahit. Kisah kerajaannya bermula dengan waad daripada pemerintah Palembang, Demang Lebar Daun untuk memberikan kesetiaan dan ketaatan kepada Sangsa Purba. Selepas menjadi Raja Palembang menggantikan mertuanya, Demang Lebar Daun, akibat serangan Majapahit, baginda berhijrah ke Pulau Bintan dan mangkat di sana. Anakandanya, Sang Nila Utama yang beraja di Bintan berpindah ke Temasik pada 1324M (atau 1185M) dan mendirikan kerajaan di pulau yang dinamakan Kota Singa (Singapura).

Kerajaan Singapura yang didirikan oleh Sang Nila Utama telah mewarisi Kerajaan Palembang yang berpusat di Bukit Siguntang. Ketika tiba di Temasik, baginda melihat seekor binatang yang diberitahu kepadanya sebagai “singa,” lalu pulau dinamakan sebagai Singapura. Selepas memerintah selama 48 tahun, pada 1372M (atau 1233M), baginda digantikan oleh anakandanya, Paduka Seri Pekerma Wira Diraja. Seramai empat Raja yang memerintah Singapura dari keturunan Sangsa Purba iaitu Sang Nila Utama (1324-1372M atau 1185-1233M), Paduka Sri Pekerma Wira Diraja (1372-1386M atau 1233-1247M), Paduka Seri Rana Wira Kerma (1386-1399M atau 1247-1260M) dan Paduka Seri Maharaja Parameswara (1399-19401M atau 1260-1262M). Walau bagaimanapun, pada pertengahan abad ke-13, Majapahit yang sedang meluaskan wilayah jajahannya, telah menyerang Singapura dan memaksa Paduka Seri Maharaja Parameswara berundur ke Semenanjung Tanah Melayu hingga ke Muar, kemudian ke Melaka. Baginda kemudiannya menamakan tempat tersebut sebagai “Melaka” dan membangunkan kerajaan di sana. Dari situlah bermulanya sejarah Kerajaan Melaka menurut Sejarah Melayu.

Tarikh sebenar penubuhan Melaka

Pendapat lama mengenai tarikh penubuhan Melaka yang dikatakan berlaku pada 1400M atau 1401M telah ditolak oleh para sarjana tempatan yang membuat pendirian berdasarkan manuskrip dan artifak-artifak lama Melaka. Teori baru yang dikemukakan mengenai tarikh penubuhan Melaka adalah pada 1262M, hampir serentak dengan penubuhan Kerajaan Samudera-Pasai pada 1267M. Teori baru yang dikemukakan oleh sekumpulan sarjana dan pengkaji sejarah ini telah diiktiraf oleh Kerajaan Melaka pada 2010M dengan menolak tiga tarikh yang dikemukakan sebelumnya, iaitu 1401M, 1360M dan 1278M. Penetapan tarikh baru ini adalah hasil Resolusi Seminar Tahunan Pengasasan Kerajaan Melayu Melaka anjuran Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (Iksep) bersama tiga buah universiti pada 31 Mei 2010M. Kajian turut disertai oleh sembilan orang pakar sejarah diketuai oleh Prof Dr Abdullah Zakaria Ghazali telah mencadangkan tahun 1262M sebagai tarikh sebenar penubuhan Kerajaan Melaka, berdasarkan bukti-bukti yang lebih kukuh, sekali gus menolak hujah-hujah sarjana sebelumnya yang mengatakan Melaka ditubuhkan pada awal abad ke-15.

Antara hujah yang dikemukakan oleh mereka untuk menolak tarikh yang lama dan menerima tahun 1262M sebagai muktamad ialah:

●     Tahun 1401M dan 1278M tidak mempunyai asas yang kukuh, sebaliknya ia hanyalah andaian yang dikemukakan oleh pengkaji awal berdasar sumber-sumber yang ada;

●     Tarikh yang dikemukakan oleh Silalatus Salatin (Sejarah Melayu) versi Raja Bongsu (MS 18 Stamford Raffles) iaitu 660H (1262M) adalah lebih tepat dan diterima sebagai tarikh sebenar pengasasan Kerajaan Melaka;

●     Para penyelidik menyimpulkan tarikh 1401M yang dikemukakan oleh penulis Barat dari Portugis bukan berdasarkan fakta sejarah; dan

●     Maklumat-maklumat yang dikemukakan oleh Tome Pires dalam Suma Oriental yang ditulis pada 1512-1514M adalah berdasarkan maklumat lisan yang didengar pada masa itu.

Berdasarkan fakta-fakta sejarah yang baru ini, maka tarikh sebenar penubuhan Melaka adalah 139 tahun lebih awal daripada tarikh yang diguna pakai sebelum ini. Silalatus Salatin versi Raja Bongsu yang mencatat dengan jelas tarikh penubuhan Kerajaan Melaka yang berlaku 660 tahun sesudah hijrahnya Nabi S.A.W telah menjadi bukti kukuh mengenai tarikh pembentukan kerajaan ini. Dalam kata lain, Kerajaan Melaka sebenarnya telah wujud ketika Kerajaan Perlak sedang berada pada 30 tahun terakhirnya, sebelum runtuh pada 1292M. Bahkan kewujudan Melaka adalah lebih awal daripada Samudera-Pasai yang berdiri pada 1267M, sedangkan ia hanya menguasai dan menggantikan Perlak selepas 1292M. Tarikh baru ini akan memudahkan kita memahami proses peng-Islaman Kedah, Kelantan dan Terengganu, bahkan Leran, Jawa juga yang berlaku sebelum abad ke-14M.

Parameswara dan Raja-raja Melaka

Sepanjang 249 tahun sejarah Kerajaan Melaka, ia telah diperintah oleh sembilan orang Raja dan Sultan. Raja pertamanya, Parameswara telah mengasaskan Melaka pada 1262M setelah memerintah Singapura selama tiga tahun, sebelum diserang oleh Majapahit pada sekitar 1260M. Sebagai putera Raja dari Palembang, Parameswara dan pembesarnya telah dapat membina sebuah negeri baru yang strategik di pesisir Selat Melaka dan dapat memerintah selama 20 tahun. Pada zamannya, Islam telah tiba di Melaka dan baginda memeluk Islam selepas 14 tahun menjadi Raja Melaka. Selepas memeluk Islam, baginda dikenali sebagai Raja Seri Iskandar Shah. Berikut adalah senarai Sultan-sultan Melaka:

     Paduka Seri Maharaja Parameswara atau Raja Seri Iskandar Shah (1262-1282M)

     Sultan Mahkota atau Raja Kechil Besar (1282-1284M)

     Sultan Mohammad atau Raja Tengah (1284-1341M)

     Sultan Abu Syahid atau Raja Ibrahim (1341-1343M)

     Sultan Muzaffar Shah atau Raja Kassim (1343-1373M)

     Sultan Mansur Shah atau Raja Abdul (1373-1446M)

●     Sultan Alaiddin Riayat Shah atau Raja Raden (1446-1479M)

     Sultan Mahmud Shah atau Raja Mamat (1479-1510M)

     Sultan Ahmad Shah (1510-1511M).

Keseluruhan tempoh pemerintahan Kerajaan Melaka adalah 257 tahun Hijriyah atau 249 tahun Masehi. Dan secara jelas bahawa Kerajaan Melaka jatuh dalam peperangan kedua dengan Portugis pada 24 Ogos 1511M. Selepas kejatuhan Kerajaan Melaka, Sultan Mahmud Shah (1479-1511M) telah berundur ke Johor, sebelum menguasai semua wilayah asalnya dan mendirikan Kerajaan Johor-Riau dan membentuk dinasti baru di Johor-Riau bermula dengan Sultan Alaiddin Riayat Shah II pada 1528M.

MOHD FADLI GHANI 
Pusat Penyelidikan PAS
23 Syawal 1439 / 7 Julai 2018 – HARAKAHDAILY 8/7/2018