Kesianlah Si Tommy Thomas

SAYA antara yang masyghul terhadap kebijaksanaan Perdana Menteri Dr. Mahathir mencadangkan Tuan Tommy Thomas menjadi Peguam Negara bukan kerana dia kekok berbahasa Melayu, tetapi bagi jawatan penting seperti bagi sebuah Negara Islam sewajarnya seorang Islam.

Advertisement

Orang Islam itu dengan sedikit sebanyak pengetahuannya tentang Islam, menjadi pertimbangan memandunya melihat aspek Islam dalam apa-apa tindakan dan prkembangan tentang Islam sekalipun undang-undang yang terpakai jauh Islamnya. Kerana perlembagaan memperuntukkan Islam agama persekutuan, maka penjawat Peguam Negara, Ketua Hakim Negara, Speaker apa-apa Dewan Perundangan dan lain-lain eloklah Islam supaya kehendak Islam itu diketahuinya.

Adapun kelayakan Tommy sebagai pengamal undang-undang tidak dipertikai. Kerana itulah Kelantan menggunakan khidmatnya dalam membela kepentingan Kelantan. Dalam kes yang khidmat dan nasihatnya diperlukan tidak menjadi Islam dan bahasa Melayu sebagai prasyarat.

Mungkin kecekapan dan kemahirannya menyamai Tan Sri Shafie Abdulah, ketua peguam yang membela kes DS Najib.

Tommy tidak pernah terfikir untuk jadi Peguam Negara. Mahathirlah yang mahukannya. Dia bukan dari pengamal undang-undang kerajaan. Dari luar kerajaan.

Dia tidak mahir berbahasa Melayu kerana kerajaan Umno selama 60 tahun memandang penggunaan bahasa rasmi iu secara sambil lewa. Tiada galakan supaya bahasa itu dimartabatkan. Bahkan rejim Najib sendiri meletak-rendahkan bahasa itu setaraf Mahkamah Syariah, terendah dari semua mahkamah.

Jangan marah Tommy jika dia tidak petah berbahasa Melayu. Marah semua Perdana Menteri yang lidah mereka made in England. Apa sumbangan Najib dalam memartabatkan bahasa rasmi? Lebih kurang saja dengan DAP. Apa sumbangan Umno memperkasakan bahasa kaumnya? Hanya sejurus sebelum merdeka dan sejurus selepas merdeka. Selepas tahun 1967, sepuluh tahun selepas merdeka, kalaupun ada pejuangan bahasanya ialah cacamerba.

Jika penyokong Najib menyorak Tommy tidak bertutur bahasa Melayu dalam mukadimah sidang medianya selepas Najib didakwa, adalah ibarat menyorak ketempangan kerajaan Umno dalam pelaksanaan bahasa.

Tiba-tiba tukang sibuk Umnomenyorak Peguam Negara atas kekurangannya. Sejak bila generasi Umno Najib peka dengan perjuangan bahasa. Umno terus membisu atas tuntutan para pendidik bagi memansuhkan pengajaran dan peperiksaan Sains dan Matametik dalam bahasa Inggeris.

Umno boleh marah, tapi jangan marah Tommy yang jadi mangsa cacamerba Umno atas isu bahasa. Pergi berarak ke pejabat Dr. Mahathir. Tempelak dia memilih pakar undang-undang tapi tidak pakar bahasa Melayu jadi Peguam Negara.

Saya difahamkan Tommy tidak berminat bila ditawarkan jawatan itu. Banyak susah dan kerugiannya. Tetapi malu alah atas tawaran Perdana Menteri baru, dia menerimanya. Perdana Menteri memerlukan sokongan semua pihak dalam usaha memandikan comot kerajaan yang dikosongkan oleh Umno dan Najib.

Istana sendii dikatakan bertanya akan kebijaksanaan PM mencadangkan seorang bukan Melayu bagi jawatan itu. Kononnya DS Anwar Ibrahim terpaksa memahamkan para baginda tentang rasional pemilihan Tommy.

Kesianlah Tommy beban yang tidak dicarinya. Dia diamanahkan, bukan dia mencari jawatan itu. Dia layak atas kepakarannya, cuma kekok berbahasa Melayu, kerana ia bukan isu yang dipentingkan oleh kerajaan dan Umno.

Jika pun kekurangan Tommy bertutur Melayu itu satu kelemahannya, tetapi ia amat kecil dibandingkan beban kelemahan Najib, yang bebannya mungkin seberat Gunung Uhud.

Kelemahan Tommy itu tidak mengurangkan pencarian keadilan dalam perbicaraan Najib. Ketika semua mahu Najib dilayan seadilnya, maka kita jangan tidak berlaku adil pula ke atas Tommy. Saya menghormati tinggi terhadapnya. – HARAKAHDAILY 9/7/2018